KERTIH, TERENGGANU, 4 JUN 2015: Malaysia bakal menjadi pemain utama di dunia dalam sektor bioteknologi perindustrian mesra alam dengan pembukaan fasiliti bersepadu bio-metionina dan tiokimia yang pertama di dunia milik CJ CheilJedang (CJ) dari Korea dan Arkema dari Perancis di Taman Biopolimer Kertih (KBP), Terengganu.
Fasiliti bersepadu ini, yang melibatkan pembangunan loji bio-metionina milik CJ dan platform tiokimia milik Arkema, telah dirasmikan pembukaannya hari ini oleh KDYMM Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Menteri Besar Terengganu,YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Nazlee Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Arkema, Thierry Le Henaff; dan, Pengerusi CJ Group, Sohn Kyung Shik.
Fasiliti pengeluaran bersepadu ini yang terletak di kawasan seluas 70 hektar di KBP adalah yang pertama di dunia yang menggunakan proses penapaian dalam menghasilkan bio-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalan pembuatan makanan haiwan.
Dengan pelaksanaan projek ini, Malaysia kini merupakan negara pertama di dunia yang menghasilkan bio-metionina “hijau” yang bersifat mesra alam. Fasiliti bersepadu ini telah mengeksport kumpulan pertama asid amino penting (EAA) yang dihasilkannya ke Indonesia pada bulan Januari 2015.
Dipromosikan secara bersama oleh BiotechCorp dan ECERDC, fasiliti pengeluaran bersepadu baharu yang bernilai RM2.1 bilion di KBP ini merupakan pelaburan terbesar dalam sektor bioteknologi Malaysia setakat ini. Projek ini mempunyai potensi pelaburan keseluruhan sebanyak RM3 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Untuk tempoh jangka panjang, projek ini dijangka akan menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM20.4 bilion dan mewujudkan 2,500 pekerjaan “hijau” di Malaysia menjelang tahun 2020. Ini termasuklah 474 pekerja yang akan diambil oleh CJ dan Arkema, di mana 60 peratus akan terdiri daripada pekerja teknikal dan pekerja berasaskan pengetahuan peringkat tinggi seperti ahli mikrobiologi, ahli kimia, jurutera dan ahli bioteknologi.
Ini adalah selaras dengan Model Ekonomi Baru kerajaan untuk membangunkan tenaga kerja berkualiti dan generasi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
CJ merupakan peneraju di dunia dalam bidang bioteknologi perindustrian dengan inovasi dalam bidang penapaian dan penulenan. Arkema yang memiliki teknologi platform tiokimia tersendiri adalah sebuah syarikat kimia bertaraf global dan pengeluar utama bahan kimia khusus.
Loji di KBP ini merupakan platform untuk CJ, melalui anak syarikatnya CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, memenuhi permintaan yang tinggi bagi metionina di Asia. Bagi Arkema pula, projek ini merupakan pangkalan pusat perindustriannya yang terbaharu di Asia demi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya di rantau ini, khususnya melalui anak syarikatnya Arkema Thiochemicals Sdn Bhd.
Projek ini mempunyai potensi untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang-bidang khusus seperti kejuruteraan kimia dan bioteknologi perindustrian, serta menyediakan peluang kerjasama dengan universiti-universiti dan institusi-institusi penyelidikan tempatan bagi mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan dalam bidang Bioteknologi.
Dari perspektif serantau, projek ini akan mewujudkan impak yang signifikan terhadap pembangunan industri bioteknologi perindustrian di Malaysia khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Lebih penting lagi, ia akan meningkatkan kesedaran pelabur asing terhadap potensi pelaburan dalam bioteknologi perindustrian di negara ini.
Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abdul Rahman turut berkata: “Kehadiran CJ dan Arkema, yang merupakan dua penggiat bioteknologi perindustrian dan industri bahan kimia terkenal dunia, merupakan satu detik yang amat membanggakan untuk negeri Terengganu. Pembukaan fasiliti bio-metionina milik CJ dan platform tiokimia Arkema di Taman Biopolimer Kertih akan meletakkan Terengganu di peta dunia bagi sektor bioteknologi perindustrian. Projek ini juga menandakan kepentingan bioteknologi sebagai salah satu sektor ekonomi utama bagi Terengganu, yang bersifat saling melengkapi dengan industri minyak dan gas yang sudah lama bertapak di negeri ini.”
Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, YBhg Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal berkata: “Malaysia berbangga menerima fasiliti bio-metionina berasaskan penapaian yang pertama dan terbesar di dunia dan juga platform tiokimia yang terbesar di Asia. Ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap kemajuan bioteknologi yang berterusan di negara ini, terutamanya dalam sektor bio-perindustrian. Ia merupakan testimoni sejauh mana pencapaian negara dalam tempoh sedekad yang lalu dan akan mengukuhkan lagi agenda bio-ekonomi Malaysia dengan menyediakan peluang-peluang komersial dan pekerjaan demi manfaat negara.”
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata: “Kewujudan fasiliti bersepadu CJ-Arkema di Taman Biopolimer Kertih ini merupakan satu lagi detik bersejarah bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kerana ia menandakan kesediaan Wilayah ini untuk menerima pelaburan dari sektor-sektor bernilai tinggi. Taman Biopolimer Kertih menawarkan pelbagai peluang komersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi dari seluruh dunia dan pihak kami yakin bahawa kehadiran gergasi global seperti CJ dan Arkema akan menarik kemasukan lebih banyak penggiat bioteknologi bertaraf dunia ke taman industri ini pada masa terdekat.”
Thierry Le Henaff, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Arkema dalam ucapannya berkata: “Setelah hampir tiga tahun sejak pembinaan fasiliti ini dimulakan, hari ini kami berasa amat bangga berada di sini untuk meraikan kejayaan kami. Pihak kami ingin menekankan sekali lagi bahawa Malaysia dan Ketih merupakan pilihan yang tepat untuk projek strategik ini.”
“Asia dan lain-lain negara dengan kadar pertumbuhan tinggi merupakan wilayah-wilayah yang menjadi fokus pembangunan bagi Arkema; mereka mewakili kira-kira 25 peratus daripada perolehan kami pada masa kini. Sasaran kami ialah untuk meningkatkan peratusan ini kepada 30 peratus dalam masa terdekat. Sehubungan itu, anak syarikat kami di Kertih yang bertaraf dunia ini merupakan padanan yang tepat untuk strategi global kami dan menandakan komitmen kami di Asia,” jelas Le Henaff.
John Kang, Ketua Pegawai Eksekutif CJ BIO Malaysia Sdn Bhd berkata: ““CJ telah berjaya membangun dan mengkomersialkan loji bio-metionina yang pertama di dunia di Taman Biopolimer Kertih (KBP). Kami percaya KBP akan menjadi hab utama bagi syarikat-syarikat industri bioteknologi untuk tahun-tahun akan datang. Loji biometionina di Kertih akan menjadi lokasi yang strategik untuk pasaran yang baharu muncul di China dan Asia. Saya percaya ini adalah permulaan inovasi utama dari CJ BIO.”
Projek ini merupakan satu pencapaian penting dalam agenda bio-ekonomi nasional bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab bio-penapisan. Pengeluaran asid amino penting (EAA) dan bio-metionina yang mesra alam dengan menggunakan teknologi penapaian dan enzimatik yang dicadangkan adalah merupakan aktiviti di bawah Senarai Teknologi Tinggi Dipromosikan untuk Bioteknologi pemakanan atau pelengkap bahan makanan.
Projek ini juga sejajar dengan dasar dan inisiatif kerajaan dalam bioteknologi perindustrian seperti Dasar Bioteknologi Nasional, Dasar Pertanian Negara Ke-3 (NAP3), Program Fidlot Nasional dan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Di samping itu, pengeluaran metil mercaptan dan dimetil sulfida (DMDS) adalah selaras dengan hasrat kerajaan unruk menggalakan aktiviti hiliran sektor minyak dan gas.
Fasiliti di Taman Biopolimer Kertih (KBP) ini terletak dalam Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), sebuah kawasan penumpuan projek-projek berimpak tinggi yang berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan di ECER. KBP merupakan sebuah taman perindustrian khas yang dibangunkan oleh ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan terletak berhampiran pelabuhan-pelabuhan di Kertih, Kuantan dan Kemaman. Dengan kewujudan mereka di KBP, CJ dan Arkema boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan sokongan dan logistik yang sedia ada serta kesalinghubungan yang ditawarkan oleh Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih ke hab-hab eksport utama.
Fasiliti pengeluaran bersepadu CJ-Arkema ini akan memperkukuhkan lagi sektor petrokimia hiliran dan mempertingkatkan rangkaian nilai dalam kluster petrokimia sedia ada di Kertih.
Projek ini akan memanfaatkan bahan mentah tempatan, serta perkhidmatan dan kemudahan yang sedia terdapat di Kertih, sekaligus akan menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan baharu untuk para pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan seperti PETRONAS, Terminal Kertih, Pelabuhan Kuantan, TNB dan lain-lain penyedia perkhidmatan.