KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG MERASMIKAN PEMBUKAAN MENARA KUANTAN 188

Destinasi Wajib Dilawati di Pahang Menerima Kunjungan Diraja Yang Pertama

PAHANG, 21 FEBRUARI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan pembukaan Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra malam ini, di majlis anjuran bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang (JKR) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Majlis ini dianjurkan bersempena dengan pengisytiharan Kuantan sebagai “Bandaraya Lestari”.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merasmikan acara tersebut secara maya, manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Raja Pahang mencemar duli menghadiri majlis pembukaan tersebut di Menara Kuantan 188 bagi mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pemangku Raja Pahang telah berangkat ke dek pemerhatian yang berketinggian 92 meter, di mana baginda menikmati pemandangan 360 darjah Bandaraya Kuantan dan Sungai Kuantan.

Pemangku Raja Pahang juga diberi taklimat mengenai pelbagai tarikan dan aktiviti di Menara Kuantan 188 yang akan merancakkan pelancongan domestik di Pahang dan menarik pelancong asing pasca COVID-19. Tarikan lain yang terdapat di menara tersebut termasuk sebuah restoran pada ketinggian 98 meter yang akan dibuka kelak, sebuah dek pemerhatian terbuka, jejantas udara dan pelantar terjunan berpandu dari aras 104 meter. Para pengunjung yang menggemari aktiviti lasak boleh melakukan pendakian tiang pada ketinggian 160 meter di puncak keluli setinggi 66 meter.

“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang untuk mempamerkan tarikan Menara Kuantan 188 kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang. Menara ikonik ini telah menjadi destinasi percutian yang baharu di Pahang dan kami yakin bahawa projek ini akan memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan pelbagai peluang untuk rakyat,” kata YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

Pemangku Raja Pahang telah diiringi oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail. Majlis tersebut diakhiri dengan pertunjukan bunga api dan persembahan perarakan bot berhias di Sungai Kuantan.

Menara Kuantan 188 adalah mercu tanda strategik yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang. Ia merupakan menara tertinggi di Pantai Timur dan menara tinjau kedua tertinggi di Malaysia, selepas Menara Kuala Lumpur. Menara tersebut telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang pada bulan Disember tahun lalu.

Menara Kuantan 188 adalah sebahagian daripada siri pembangunan untuk menambah baik Kuantan Waterfront, sebuah aset utama dan warisan budaya yang akan meningkatkan tarikan pelancongan bandar di kawasan ini. Kuantan Waterfront sedang dibangunkan sebagai sebuah tarikan pelancongan utama bagi pelancong tempatan dan asing.

Selain daripada Menara Kuantan 188, komponen lain di dalam projek Kuantan Waterfront termasuk Kuantan Esplanade, Mercu Junjung Duli, Laman Teruntum, hutan simpan bakau dan Serambi Teruntum, sebuah pusat sehenti untuk produk PKS dari Pahang. Destinasi-destinasi ini akan menjadi wadah bagi rakyat dan pengusaha tempatan untuk mendapat manfaat daripada industri pelancongan.

Jambatan Putra pula adalah jambatan baharu yang merentasi Sungai Kuantan dari Tanjung Lumpur ke Kemunting. Projek ini yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya akan
menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra di Tanjung Lumpur. Ia akan meningkatkan akses dan mengatasi kesesakan jalan raya di Kuantan.

“Pembangunan projek Kuantan Waterfront adalah sebahagian daripada stategi keseluruhan ECERDC untuk merancakkan sektor pelancongan serta meningkatkan lagi minat pelabur ke kawasan-kawasan sekitarnya. Ini akan mewujudkan aktiviti-aktiviti limpahan sosioekonomi untuk manfaat rakyat. ECERDC akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dan pihak-pihak lain yang terlibat untuk memastikan projek-projek dan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi yang dilaksanakan di ECER akan mewujudkan impak positif serta pertumbuhan yang seimbang dan inklusif kepada rakyat,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.