KERJASAMA ECERDC DAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BAKAL LONJAKKAN INDUSTRI KAMBING TENUSU, SASAR PASARAN BAHARU







PUTRAJAYA, 14 OKTOBER 2024 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memeterai perjanjian kerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan industri kambing tenusu di Kelantan. Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (Goat Milk Collection Centre (GMCC)) di Ketereh dan Pasir Puteh, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam memajukan sektor pertanian di wilayah ini dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. GMCC ini berfungsi sebagai hab pusat pengumpulan susu kambing yang utama dengan kawalan kualiti yang lebih baik, saluran pemprosesan dan pengedaran yang lebih cekap, serta meningkatkan daya saing pasaran.
Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan hari ini, perjanjian kerjasama telah ditandatangani seterusnya menandakan fasa seterusnya usaha ECERDC untuk memperkukuhkan industri asas tani di Kelantan, khususnya dalam sektor ternakan. GMCC dijangka dapat mengumpul sebanyak 730,000 liter susu kambing segar menjelang tahun 2029. Jumlah pengeluaran susu kambing ini bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang kian meningkat, tetapi juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor kambing tenusu di negeri Kelantan.
Peningkatan kapasiti pengeluaran GMCC dijangka mampu merancakkan lagi ekonomi pertanian tempatan dengan menyediakan peluang pendapatan yang tetap kepada penternak kambing, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta membuka peluang perniagaan baharu dalam industri halal dan tenusu.
“Negeri Kelantan mempunyai potensi yang besar dalam sektor pertanian, dan kerjasama dengan ECERDC untuk membangunkan GMCC ini merupakan langkah strategik dalam merealisasikan potensi tersebut. GMCC bukan sahaja akan membuka peluang ekonomi kepada penternak tempatan, tetapi juga meletakkan Kelantan sebagai salah satu pemain utama dalam sektor halal dan tenusu di Malaysia. Kami komited untuk bekerjasama dengan ECERDC bagi memastikan kejayaan projek ini, dan berharap lebih banyak usaha bersama di masa hadapan yang akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan,” kata YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan, yang turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian tersebut.
Perjanjian kerjasama ini ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang diwakili oleh YM Dato’ Tuan Zainal Abidin bin Tuan Yusuf, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan dan YBrs. Encik Mohamad Nazwan bin Ismail, Pengarah Unit Perancang, Ekonomi Negeri Kelantan. ECERDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, dan Pemangku Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Tani, YBrs. Encik Fakrul Nizam bin Baharum. Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud, YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBrs. Encik Ravikumar A/L Suppiah, Timbalan Pengarah, (Pembangunan Koridor), Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, YBrs. Encik Shahiran bin Sha’ari, Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, dan YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC.
“Pembangunan GMCC ini merupakan pencapaian penting bagi sektor ternakan di Kelantan. Operator Induk dijangka akan dilantik pada Januari 2025 oleh Kerajaan Negeri, dengan fasiliti dijangka siap pada Februari 2025. Kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan ini memodenkan industri susu kambing, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pemain industri yang kompetitif dalam pasaran tenusu negara,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Semasa Mesyuarat ICC Kelantan berlangsung, ECERDC telah membentangkan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasan ICC Kelantan mengenai Perancangan Wilayah Pantai Timur bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta strategi pembangunan untuk tempoh lima (5) tahun sehingga tahun 2030 dengan mengenalpasti empat (4) teras utama iaitu; Bakul Makanan, Mencipta Destinasi, Pembuatan (Hard-to-Abate sectors) dan Industri Marin serta disokong oleh sektor Logistik dan Tenaga Boleh Diperbaharui.
Dalam mesyuarat tersebut, Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan turut dimaklumkan mengenai pelaburan bernilai RM153 juta telah direalisasikan di Kelantan sehingga September 2024, melebihi sasaran RM100 juta bagi tahun ini. Pelaburan ini akan mewujudkan 879 peluang pekerjaan serta 69 peluang keusahawanan dalam sektor pembuatan, pertanian, dan pelancongan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan.
Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan juga diberi taklimat mengenai pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan, termasuk Taman Perindustrian Tok Bali dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu, yang menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Taman Perindustrian Tok Bali dijangka menarik pelaburan swasta bernilai RM400 juta menjelang November 2026, sekaligus memacu pembangunan ekonomi di rantau ini. Selain itu, Zon Pelancongan Bersepadu Geting (GITZ) di Tumpat turut disebut sebagai projek penting yang dibangunkan untuk menjadikan Kelantan destinasi pelancongan utama negara.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Nadhirah Naaim
Eksekutif Kanan, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924
Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my