KERJASAMA STRATEGIK MALAYSIA-JERMAN BAGI MENINGKATKAN PERDAGANGAN DAN PELABURAN SERTA MEMACU INDUSTRI 4.0 ‘Pusat Kecemerlangan bagi Teknologi Pintar Asia’ ECER ditubuhkan secara kerjasama bagi memacu penerapan Industri 4.0 dan meningkatkan kemahiran bakat tempatan untuk ‘pekerjaan masa hadapan’

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2018: Perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jerman terus diperkukuhkan dengan kerjasama antara kedua-dua negara untuk meningkatkan inisiatif Industri 4.0 serta usaha-usaha pelaburan, sekaligus memacu inovasi dan pertumbuhan industri di dalam dan luar Malaysia. Strategi ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif menyeluruh oleh Kerajaan dalam menjadikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia secara keseluruhan ke arah ekonomi berteraskan produktiviti.
“Pihak Kerajaan komited untuk memanfaatkan peluang-peluang baharu melalui Industri 4.0. Kita ingin melihat lebih banyak proses dan teknologi pembuatan pintar yang mampu meningkatkan fleksibiliti dan kecekapan pengeluaran, yang bakal mengubah rantaian nilai dan model perniagaan secara radikal, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kita ingin mewujudkan ekosistem yang mampan memfokuskan pada bakat, kemahiran dan inovasi, yang mana akan membantu Malaysia untuk “leapfrog in competitiveness”, dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang produktif serta berpendapatan tinggi. Dalam hal ini, memandangkan sektor pembuatan merupakan tunjang utama ekonomi di ECER, yang menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah keseluruhan pelaburan, Wilayah ini akan memainkan peranan penting untuk menerajui industri dan negara dalam penerapan Industri 4.0,” kata YB Dr. Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di majlis Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Bavaria dan Pra-Pelancaran Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) – Industri 4.0 di sini, hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut ialah TYT Nikolaus Graf Lambsdorff, Duta Jerman ke Malaysia, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), serta Hans-Jürgen Radmacher, Penasihat, Timbalan Ketua Bahagian, Perhubungan Ekonomi Luar, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi dan Media, Tenaga dan Teknologi Bavaria, yang mengetuai delegasi para pelabur dan tokohtokoh perniagaan dari negeri Bavaria, Jerman.
Dengan hubungan dua hala sedia ada yang kukuh antara Malaysia dan Jerman, usaha akan terus dipertingkatkan untuk merangsang lebih banyak pelaburan, perdagangan dan pemindahan teknologi ke ECER melalui kerjasama pelbagai serampang yang lebih erat dengan Eropah. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga telah memainkan peranan penting dalam usaha mempromosi dan menarik pelaburan dari negara-negara Eropah ke ECER.
Penekanan telah diberikan kepada sektor-sektor pembuatan maju dan intensif teknologi di taman-taman industri ECER yang bertema khusus, dengan sokongan tenaga kerja berkualiti melalui ACES. Usaha oleh ECERDC dan MIDA ini akan menyokong matlamat MITI dalam menarik pelaburan berkualiti di ECER, dan Malaysia secara keseluruhannya.
MIDA, agensi promosi pelaburan utama negara, telah bekerjasama dengan Kerajaan Bavaria, di Jerman Sejak tahun lepas dan mengadakan beberapa bengkel Industri 4.0 di Selangor, Johor dan Pulau Pinang. “Kami berbesar hati kerana wakil Kerajaan Bavaria datang ke sini bersama pakar-pakar industri yang terlatih untuk memperkenalkan syarikat-syarikat tempatan dengan konsep dan amalan Industri 4.0. Kami sangat mengalu-alukan penglibatan yang sedemikian sebagai usaha untuk meningkatkan produktiviti dan bersaing di peringkat global. Dengan mengguna pakai teknologi seperti ini, syarikat tempatan akan bergerak maju pada kadar yang lebih cepat dan memperluaskan jangkauan pasaran,” kata YBhg. Dato’ Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA.
“Sebagai sebuah entiti di bawah MITI, MIDA bekerjasama dengan agensi-agensi negeri dan koridor-koridor ekonomi seperti ECERDC untuk menarik pelaburan-pelaburan berkualiti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menyumbang kepada pembangunan aktiviti nilai tambah yang tinggi dan tenaga kerja mahir untuk negara. Kerjasama antara ECERDC dan TUMInt melalui penubuhan ACES akan melengkapkan usaha-usaha MIDA dan MITI dalam memacu pertumbuhan Industri 4.0 di Malaysia,” tambah beliau.
Bersempena dengan majlis tersebut, Dr. Ong King Ming turut merasmikan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar atau Asia Centre of Excellence for Smart Technologies (ACES) ECER, yang merupakan sebuah inisiatif bersama antara ECERDC dan TUM International GmbH (TUMInt) dari Jerman untuk menyediakan pensijilan Industri 4.0, khidmat nasihat, rundingan dan latihan mengenai amalan dan teknologi pintar di negara ini serta rantau Asia Tenggara, di samping memacu usaha untuk meningkatkan kemahiran kumpulan bakat tempatan agar bersedia untuk “pekerjaan masa hadapan”, khususnya karier berkaitan Industri 4.0 dalam sektor digital dan automasi. ACES juga memainkan peranan penting dalam Dasar Industri 4.0 Nasional, yang mana ACES akan mewujudkan strategi digital untuk Pantai Timur, sekaligus merangsangkan perindustrian digital secara besarbesaran di rantau ini.
Dr. Ong turut menyaksikan pertukaran Memoranda Persefahaman antara ACES dan penggiat-penggiat industri utama di ECER, antaranya, IJM Corporation Berhad, MCKIP Sdn. Bhd., Konsortium Pelabuhan Kuantan dan Siemens Malaysia, serta universitiuniversiti tempatan seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang akan menyokong inisiatif ACES dalam memacu pengetahuan dalam Industri 4.0 dan menerapkan amalan Industri 4.0 dalam organisasi dan segmen perniagaan mereka.
Mengulas mengenai inisiatif bersama antara Malaysia dan Jerman tersebut, Dr Ong menambah, “Saya berasa gembira dengan kolaborasi antara ECERDC dan TUM International dalam menubuhkan ACES. Pusat tersebut, yang berperanan sebagai sebuah platform neutral dalam menghubungkan pelbagai agensi kerajaan, pemain-pemain industri dan institusiinstitusi pengajian tinggi, sememangnya menepati matlamat kami untuk mengupayakan ekosistem yang sesuai pagi penerapan Industri 4.0 di kalangan pemain industri. Pada masa yang sama, inisiatif ini akan memperkasakan kumpulan bakat tempatan di ECER dengan sumber untuk meningkatkan kemahiran mereka dan seterusnya mara ke peringkat yang lebih tinggi dalam rantaian nilai, yang dipelajari dari kepakaran dan pengalaman para peneraju industri dari Jerman.
“ACES yang terletak di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), dijangka akan melengkapi dan mempercepatkan pertumbuhan di Wilayah ini bagi memastikan ECER bersedia untuk Industri 4.0, dan akan terus berperanan sebagai Gerbang pilihan ke pasaran ASEAN dan Asia Pasifik. Dalam usaha kami untuk terus membina kecekapan dan keupayaan bagi Industri 4.0, kami akan berkerjasama dengan rakan-rakan strategik kami seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) untuk terus menarik pelaburan dengan lebih penekanan terhadap industri-industri nilai tambah tinggi dan intensif teknologi. Usaha-usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk melonjakkan ECER dan Malaysia ke tahap rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi daripada ekonomi berasaskan input kepada ekonomi yang dipacu produktiviti, seperti yang diaspirasi di bawah Dasar Industri 4.0 Nasional yang diterajui MITI,” kata Datuk Seri Issace.
“Sinergi antara ECER dan negeri Bavaria menerusi ACES, yang mendapat sokongan teguh Kerajaan di Malaysia, akan membawa kepada pembangunan positif di kedua-dua wilayah tersebut. Ini termasuk kesan limpahan terhadap ekonomi Malaysia dengan peningkatan industri dan pewujudan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat tempatan, serta peluang pertumbuhan untuk para pelabur Bavaria terutamanya dari sektor pembuatan maju untuk memanfaatkan ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan yang ideal,” kata Daniel A. Gottschald, Pengarah Urusan TUM International GMBH (TUMInt). TUMInt merupakan anak syarikat Universiti Teknikal Munich (Technische Universität München, TUM), universiti tersohor Jerman berdasarkan penarafan “QS World University Ranking”.
“Bagi pihak IJM, MCKIP dan Pelaburan Kuantan, kerjasama pada hari ini bakal membuka peluang bagi kami untuk memacu dan melaksanakan inisiatif Industri 4.0, teknologi pintar dan digitalisasi di ECER, di mana terletaknya MCKIP dan Pelaburan Kuantan. Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan ACES bagi merancakkan lagi penerapan teknologi dan aplikasi baharu yang akan mewujudkan kemajuan dalam industri, serta menyokong pembangunan modal insan dan kesediaan untuk Industri 4.0. Kami akan memanfaatkan sepenuhnya inisiatif baharu ini untuk memacu kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi dalam operasi kami untuk meningkatkan daya saing serta ‘future-proof’ syarikat kami,” kata YBhg. Dato’ Soam Heng Choon, Ketua Pegawah Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad.
Sebelum itu, MITI bersama-sama MGCC, MIDA, dan ECERDC telah bekerjasama dalam menganjurkan sebuah sesi pertemuan perniagaan bagi menghubungkan pelabur-pelabur dan usahawan tempatan dengan delegasi dari Bavaria, Jerman bagi menarik pelaburan nilai tambah tinggi dan intensif teknologi ke Malaysia. Majlis tersebut juga bertujuan memudahcara pertukaran ilmu dan pandangan mengenai inovasi dan digitalisasi, terutamanya dalam sektor pembuatan maju.

-TAMAT-