PAHANG, 1 OGOS 2016: Koperasi Agropolitan Lepar Berhad (KALB) yang ditubuhkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) baru-baru ini telah menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia atas kejayaannya mengubah kehidupan para peserta apabila meraih anugerah di bawah kategori “Pertanian dan Industri Asas Tani” sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2016 peringkat negeri Pahang.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Haji Shahiruddin bin Ab Moin, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan merangkap ADUN Dong.
“Anugerah ini adalah hasil kegigihan dan keazaman para peserta projek Agropolitan kami untuk menaik taraf kehidupan mereka. Kami gembira kerana usaha untuk membina ekonomi yang inklusif untuk rakyat di ECER berjalan lancar, terutama dalam memperkasakan kumpulan pendapatan isi rumah bawah 40% (B40). Ini adalah selaras dengan model ekonomi baru Kerajaan yang memberi penekanan sama rata kepada ekonomi berteraskan modal dan juga ekonomi berteraskan rakyat,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
KALB, yang kini mempunyai seramai enam orang pekerja daripada peserta Agropolitan ECER, telah berjaya meningkatkan taraf kehidupan peserta. Sejak penubuhannya, Koperasi ini berupaya memenangi keyakinan para pelanggan, termasuklah Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. yang telah melantik KALB sebagai “Penternak Kontrak Ayamas” sejak tahun 2012. Berikutan rekod dan prestasi KALB yang Cemerlang, koperasi tersebut berjaya mengagihkan dividen secara konsisten kepada para ahli.
Bagi memperkembangkan aktiviti ekonomi KALB, KALB turut merancang untuk menjual rumput Napier dan Silaj kepada penternak tempatan berikutan peningkatan permintaan daripada industri pertanian.
“Projek Agropolitan telah menyediakan platform kepada individu dan keluarga berpendapatan rendah untuk mengubah kehidupan mereka melalui aktiviti ekonomi berkaitan pertanian. Selain daripada mendapat peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap daripada aktiviti ekonomi utama, para peserta turut menerima pendapatan tambahan daripada aktiviti sampingan di bawah koperasi ini. Kini, kebanyakan peserta Agropolitan mampu memperoleh pendapatan isi rumah purata sebanyak RM1,500 sebulan. Ini merupakan satu peningkatan besar berbanding RM350 yang diperoleh sebelum menyertai program tersebut,” beliau menambah.
Projek Agropolitan adalah program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui ECERDC. Melalui program ini, para peserta daripada kumpulan B40 ditempatkan semula dan diambil bekerja dalam industri perladangan dan penternakan. Bagi negeri Pahang, projek Agropolitan telah dilaksanakan di tiga buah lokasi di Pekan; iaitu Lepar (Batu 8), Runchang dan Tanjung Batu. Projek ini mula diperkenalkan pada tahun 2011 di Lepar, di mana 100 orang peserta terlibat dalam penternakan kambing biri-biri Dorper sebagai aktiviti ekonomi utama dan memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM1,100 sebulan. Bagi meningkatkan lagi kedudukan sosio-ekonomi peserta, KALB telah ditubuhkan bertujuan untuk meneroka peluang dalam ekonomi sampingan seperti penternakan ayam dan penjualan baja.
“Program Agropolitan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang pesat terutama di kawasan luar bandar ECER. Melalui pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu, kami telah berjaya meningkatkan taraf hidup kumpulan B40 dan membolehkan mereka sama-sama mengecapi kemajuan sosio-ekonomi setempat,” kata Datuk Seri Issace lagi.
Selain Agropolitan Pekan, ECERDC turut melaksanakan projek Agropolitan Besut-Setiu di Terengganu, dan Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, Kelantan. Secara keseluruhannya, lebih daripada 1,087 orang peserta terlibat dalam program ini dan mereka menikmati pendapatan bulanan sehingga RM1,500.