LAMAN WARISAN SERUNDING KAMPUNG LAUT DISERAHKAN KEPADA KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA

Serunding Kampung Laut kini bertapak di Laman Warisan Serunding Kampung Laut

TUMPAT, KELANTAN, 31 OKTOBER 2021: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini menyerahkan Laman Warisan Serunding Kampung Laut, yang merupakan Pakej 1 dalam Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan, kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Majlis penyerahan kunci telah disempurnakan oleh YBrs. En. Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC dan YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari bin Hamat, Ketua Setiausaha MOTAC. Upacara tersebut telah disaksikan oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Projek Pembangunan Semula Kampung Laut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC untuk membangunkan sektor pelancongan Kelantan dan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada warga tempatan. Apabila siap sepenuhnya pada tahun 2022, Kampung Laut yang terletak di Jajahan Tumpat akan menjadi sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan.
Laman Warisan Serunding Kampung Laut menyediakan ruang niaga untuk sembilan (9)usahawan anak tempatan Kampung Laut yang menjual makanan istimewa tempatan seperti serunding, dodol dan gelembung buaya.

Pakej 2 projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang dijangka siap awal tahun depan, terdiri daripada Laman Warisan Seni Kampung Laut yang akan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempamer serta menjual hasil seni dan kraf tangan mereka, dan juga pemindahan Masjid Kampung Laut. Selain ruang niaga, terdapat juga bengkel di mana pengunjung boleh menyaksikan para penggiat seni menghasilkan karya seni mereka, selaras dengan konsep ‘muzium hidup’.

Masjid Kampung Laut, yang menjadi daya tarikan utama projek ini merupakan masjid tertua yang dibina daripada kayu yang masih digunakan di Malaysia. Pemindahan masjid yang berusia lebih 300 tahun dari Nilam Puri ke tapak asal masjid akan memelihara nilai sejarah, budaya dan senibina, selain mewujudkan mercu tanda pelancongan yang baharu di Kelantan.

“Seperti sirih pulang ke gagang. Apabila kerja-kerja pemindahan masjid ke tapak asalnya dan pembinaan Laman Warisan Serunding serta Laman Warisan Seni ini siap kelak, ia akan menjadi titik permulaan baharu dan merancakkan usaha memajukan industri pelancongan di Kelantan. Pembangunan projek ini sebagai perkampungan warisan adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dan rakyat Kelantan,” kata YAB Menteri Besar Kelantan di majlis penyerahan.

Selaras dengan slogan “Coming Back Stronger”, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pihak Kementerian telah merangka pelbagai strategi untuk menggalakkan usaha memulihkan industri pelancongan negara. Penyiapan projek ini adalah tepat pada masanya dengan pembukaan semula sempadan negeri yang dijangka akan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong domestik.

“Negeri Kelantan kaya dengan budaya serta memiliki warisan yang unik. Ia memenuhi kriteria untuk menjadi destinasi pelancongan warisan bertaraf dunia. MOTAC akan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti promosi dan pada masa yang sama, memastikan prosedur operasi standard dipatuhi,” kata beliau di majlis tersebut.

Sementara itu, YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, pembinaan Jambatan Palekbang dan Kota Bharu Promenade yang akan dibangunkan bakal menjadi pelengkap kepada projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan, selaras dengan aspirasi RMKe-12 untuk merancakkan industri pelancongan di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, En. Baidzawi Che Mat berkata, beliau yakin bahawa MOTAC mampu membawa projek ini ke tahap yang lebih tinggi. “Serunding kini akan menjadi lebih terkenal dan sinonim dengan kawasan ini dengan wujudnya Laman Warisan Serunding Kampung Laut,” tambah beliau.