KUANTAN, PAHANG 25 OGOS 2020: Menteri Kewangan, Yang Berhormat Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mempengerusikan sesi dialog bersama penggiat sektor pertanian di negeri Pahang, penggiat industri di Kawasan Perindustrian Gebeng dan agensi berkaitan bagi bertukar idea dan maklum balas untuk merancakkan pembangunan kedua-dua sektor. Sesi dialog tersebut dianjurkan secara bersama antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi mendapatkan pandangan industri dalam merangka Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan.
Belanjawan 2021: Sesi Focus Group Bersama Industri diadakan untuk membolehkan penggiat industri berkongsi idea bagi menyumbang ke arah kecukupan bekalan makanan (food sufficiency) negara menerusi pertanian berskala besar dan komersial yang akan mewujudkan peluang ekonomi dan pelaburan baharu di negeri Pahang. Perkongsian bersama penggiat industri ini sangat penting dalam penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
“Melalui dialog hari ini serta sokongan daripada pihak Kerajaan, kita mampu meningkatkan potensi ekonomi dan membantu menarik lebih banyak pelaburan dan aktiviti perdagangan untuk sektor-sektor ini di negeri Pahang,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Pandemik COVID-19 telah menyerlahkan kepentingan sektor pertanian dalam menjamin keselamatan makanan (food security) negara. Oleh itu, dialog bersama penggiat industri pertanian adalah amat perlu bagi mengenal pasti strategi-strategi dan langkah seterusnya dalam memastikan penggunaan tanah yang efisien dan kemampanan jangka masa panjang sektor ini di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Sesi Focus Group dengan Industri Pertanian telah dihadiri oleh 18 penggiat industri, di mana empat daripadanya adalah syarikat induk ECERDC, iaitu The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Rompin Integrated Plantation Industries Sdn Bhd, MHC Cold Storage Sdn Bhd dan CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd.
Antara strategi utama dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) adalah memperkenalkan perusahaan perniagaan tani komersial berskala besar menerusi penggunaan Model Syarikat Induk. Pelaksanaan Model Syarikat Induk adalah game-changer untuk sektor pertanian di ECER. Melalui model ini, Kerajaan menerusi ECERDC melabur dalam infrastruktur yang diperlukan. Manakala syarikat dan pakar yang berkelayakan daripada sektor swasta dilantik untuk menguruskan projek perniagaan tani dan melabur dalam teknologi yang diperlukan.
“Model Perniagaan Syarikat Induk yang menjadi asas kepada kluster perniagaan tani ECERDC telah membuktikan kejayaan kerjasama awam swasta, mentransformasi industri pertanian, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat. Pendekatan ini akan melonjakkan ekonomi di Pahang dengan menarik pelaburan swasta, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan kepada masyarakat setempat di samping meningkatkan jaminan keselamatan makanan negara,” tambah En. Baidzawi.
Salah satu daripada projek utama ECER yang menerapkan model perniagaan ini ialah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) yang dibangunkan oleh ECERDC untuk menjadi hab bagi menerajui pembangunan dan perkembangan industri tenusu tempatan. Melalui kerjasama dengan The Holstein Milk Company Sdn Bhd, MSCRIC telah berjaya mengubah industri pertanian tempatan di negeri Pahang. MSCRIC kini menghasilkan 6 juta liter susu setahun dan menyasarkan untuk menghasilkan 7 juta liter susu setahun iaitu bersamaan dengan 16% daripada pengeluaran susu negara tahun ini.
Satu lagi projek pertanian yang berjaya di Pahang ialah Rompin Integrated Pineapple Plantation (RIPP) yang menyasarkan untuk mengusahakan 1,200 kawasan tanah bagi menghasilkan nenas MD2 untuk pasaran eksport. Projek ini memberi peluang kepada masyarakat setempat, termasuk Orang Asli untuk menjadi petani kontrak bagi syarikat induk Rompin Integrated Plantation Industries Sdn Bhd. Projek RIPP menghasilkan 30,000 metrik tan nenas segar setiap tahun.
Selain itu, satu lagi sesi libat urut bersama penggiat industri di Kawasan Perindustrian Gebeng telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi pelaburan ke Kawasan Perindustrian Gebeng di Pahang.
Kawasan Perindustrian Gebeng yang terletak di dalam Zon Ekonomi Khas ECER (ECER-SEZ) telah dikenal pasti sebagai kawasan pertumbuhan berpotensi tinggi bagi sektor pembuatan. Walaupun ECER-SEZ hanya merangkumi enam peratus daripada keseluruhan kawasan ECER, kawasan seluas 25km lebar dan 140km panjang ini bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan desentralisasi aktiviti ekonomi tertumpu yang telah berjaya menarik 56% pelaburan ke Wilayah ini sehingga kini.
Untuk mengukuhkan lagi daya tarikan Wilayah ini sebagai destinasi pelaburan yang distingtif dan dinamik, ECERDC dan Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Gebeng Investor Facilitation Centre (GIFC). Menerusi GIFC, Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan bekerjasama bagi merealisasikan pelaburan serta aktiviti perniagaan untuk para pelabur di Wilayah ini. Ini akan memudahkan lagi urusan perniagaan bagi pelabur dan memastikan aktiviti perniagaan berjalan lancar, khususnya dalam tempoh pasca COVID-19.
Selain itu, ECERDC bekerjasama rapat dengan Kementerian-kementerian yang berkaitan untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan infrastruktur strategik utama seperti elektrik, bekalan air dan jalur lebar bagi menyokong keperluan pelabur yang semakin meningkat. Pakej Insentif ECER akan terus ditawarkan untuk menarik lebih banyak pelabur ke Wilayah ini, selain daripada Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) yang dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran (reskilling and upskilling) selaras dengan Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (PENJANA).
Sesi Dialog dengan Penggiat Industri Gebeng dihadiri oleh 12 wakil syarikat global seperti Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd, BASF Petronas Chemical, Eastman Chemical (Malaysia) Sdn Bhd dan Flexsys Chemicals (M) Sdn Bhd. Para penggiat industri ini telah bertapak di Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng.
“Sesi yang diadakan hari ini adalah amat bermanfaat. Kami yakin bahawa maklum balas yang dikemukakan akan dipertimbangkan dalam merangka Belanjawan 2021. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan penggiat industri dan Kerajaan Negeri untuk memastikan strategi-strategi kami dalam memacu pelaburan dan pertumbuhan sosioekonomi di Wilayah ini adalah selari,” tambah Encik Baidzawi.
Tentang ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.
Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my