MEMACU PELUANG PELABURAN DI ECER MALAYSIAECERDC sasar pelaburan yang lebih besar dari negara China melalui penyertaan di CAEXPO 2016

NANNING, CHINA, 10 September 2016: Hubungan dagang antara Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan negara China terus meningkat walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.  Dalam usaha untuk terus menarik lebih banyak pelaburan dari China serta menjalin hubungan yang lebih erat dengan agensi kerajaan dan entiti swasta dari negara tersebut, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyertai China-ASEAN EXPO 2016 (CAEXPO 2016) ke-13 di Nanning, China. Penyertaan tersebut berikutan kejayaan penyertaan sebelum ini yang berjaya menghasilkan peluang pelaburan selain mengukuhkan reputasi ECER di pasaran global.
Demi memanfaatkan lagi hubungan dagang yang kukuh dengan China, ECERDC akan turut mengadakan beberapa siri mesyuarat perniagaan dengan bakal pelabur serta rakan kongsi yang telah dikenal pasti. Kebanyakan bakal pelabur ini telah menyertai Persidangan Promosi Pelaburan Ke-2 untuk “Dua Negara, Dua Taman” Malaysia-China yang diadakan awal tahun ini di Kuala Lumpur. Ini mencerminkan perkembangan positif serta keyakinan China terhadap pelaburan di ECER. Selain itu, ECERDC bakal mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan atasan pelabur-pelabur China yang sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyelaras dan memudah cara pelaburan semasa di Wilayah ini.
“Negara China telah menjadi salah satu pelabur asing yang terbesar di dunia pada hari ini. Bersandarkan inisiatif ‘Satu Lingkaran, Satu Laluan’ atau ‘One Belt One Road’ dan Laluan Sutera (Silk Road), kami percaya kemasukan pelaburan dari negara China ke ECER dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini,” kata Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
“Kini, semakin banyak organisasi serta syarikat pembuatan mencari peluang untuk membina rantaian nilai global di lokasi yang kompetitif dari segi kos. CAEXPO terbukti mampu menjadi landasan yang efektif dan platform strategik untuk menonjolkan pelbagai peluang pelaburan di ECER kepada bakal pelabur, terutamanya kepada mereka yang mempunyai minat yang tinggi terhadap industri hartanah, pembuatan bernilai tinggi dan industri berasaskan sumber asli di taman-taman perindustrian utama ECER. Untuk itu, kami telah mengatur beberapa siri mesyuarat dan acara bagi meluaskan hubungan dua hala dengan pelabur China bagi membincangkan peluang yang terdapat di ECER,” jelas Datuk Seri Issace lagi.
Majlis pembukaan Malaysia Pavillion di Nanning International Convention and Exhibition Centre (NICEC) disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Dato’ Seri Ong Ka Chuan, di sini, hari ini. YB Dato’ Seri Ong Ka Chuan mengetuai delegasi Malaysia ke CAEXPO manakala ECERDC pula diketuai oleh Datuk Seri Issace.
Beberapa taman perindustrian utama serta peluang pelaburan di ECER akan dipromosikan di CAEXPO 2016. Antaranya termasuklah Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Taman Bio Bersepadu Kuantan, Taman Industri Halal Gambang dan Pusat Bandar Kuala Terengganu.
Sasaran ECERDC adalah untuk menarik pelaburan berjumlah RM110 bilion menjelang 2020, mewujudkan seramai 60,000 orang usahawan serta 200,000 peluang pekerjaan. Sehingga Mei 2016, ECERDC telah berjaya mencapai 82% daripada sasaran pelaburan RM110 bilion, dengan RM90.8 bilion pelaburan yang komited dan telah diluluskan serta RM25.2 bilion lagi merupakan pelaburan berpotensi. Usaha ini turut menjana lebih 97,683 peluang pekerjaan untuk penduduk di Wilayah ini.
Sementara itu, dari segi jumlah pelaburan asing di ECER, lebih RM13.6 bilion atau 38.5%  pelaburan terdiri daripada pelaburan daripada pelabur China yang kebanyakannya tertumpu di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terletak di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ). Bagi memenuhi permintaan terhadap tanah yang semakin meningkat daripada para pelabur China, MCKIP yang mempunyai keluasan asal 1,400 ekar pada tahun 2013 telah pun mendapat kelulusan untuk penambahan 3,000 ekar lagi. Ini menandakan keyakinan pelabur China terhadap pelaburan di ECER.
Awal tahun ini, MCKIP telah menerima pelaburan bernilai RM1.58 bilion daripada China dan Malaysia yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ECER. LJ Hightech Material Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM1 bilion untuk membina sebuah pusat pengeluaran berteknologi tinggi bagi menghasilkan panel konkrit untuk industri pembinaan dan produk serbuk getah yang diaktifkan (activated rubber). Selain itu, Guangxi Investment Group telah memberi komitmen untuk melabur sebanyak RM580 juta bagi membina kilang pengeluaran komponen aluminium.
“ECER sedang berkembang dengan pesat untuk menjadi antara Wilayah yang paling dinamik di Malaysia.  Ia mampu menarik pelbagai peluang perniagaan bagi para pelabur antarabangsa yang ingin membuat pelaburan baru atau mengembangkan kemudahan mereka yang sedia ada. Pihak Kerajaan, melalui ECERDC akan terus melabur dalam infrastruktur strategik yang penting seperti pelabuhan, lebuh raya dan taman perindustrian dan pada masa yang sama memperkenalkan pelbagai insentif dan dasar yang mesra pelabur bagi memastikan Wilayah ini kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan,” kata Datuk Seri Issace.
CAEXPO 2016 akan diadakan di Nanning, China mulai 11 hingga 14 September 2016 dengan membawa tema “Membina Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, Mengukuhkan Matlamat Bersama Komuniti China-ASEAN”. Acara tahunan yang mula dianjurkan pada tahun 2004 telah berjaya mengumpul para pegawai kerajaan dan kementerian, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta dari negara China dan ASEAN bagi menggalakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi. Ini merupakan penyertaan CAEXPO kali kelima bagi ECERDC.
Selain CAEXPO 2016, ECERDC akan turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menggiatkan lagi usaha menarik minat dagang dan pelaburan China di ECER dengan menyertai “Program Promosi 1Malaysia” di Shanghai pada 10 dan 11 November 2016.