MEMANTAPKAN SEKTOR AGRO MAKANAN SEBAGAI PERANGSANG PERKEMBANGAN EKONOMI MERSING

Perniagaan Tani Bakal Tarik Pelaburan Baharu di Mersing

SEGAMAT, 28 APRIL 2022: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus mengutamakan sektor pertanian dan agromakanan di Mersing, selaras dengan Dasar Agromakanan negeri Johor untuk menerajui inisiatif keselamatan makanan dan meningkatkan pembangunan sosioekonomi Mersing.

Dua daripada projek pertanian utama ECERDC yang dijangka akan menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi Mersing ialah Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) dan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV). Projek Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) dijangka siap pada bulan Jun tahun ini, manakala kerja pembersihan tapak untuk kompleks JDV sedang dijalankan dan syarikat induk dijangka akan dilantik menjelang akhir tahun ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor buat pertama kali hari ini, melahirkan keyakinannya bahawa ECERDC akan berjaya mengembangkan sektor pertanian dan agromakanan di Mersing, seterusnya melengkapkan projek infrastruktur strategik seperti yang telah dirancangkan. Beliau berkata, satu pertemuan telah diadakan dan beliau telah diberi taklimat mengenai aktiviti ECERDC di Johor oleh YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, sebelum mesyuarat ICC Johor diadakan.

Mesyuarat ICC Johor yang diadakan di Segamat hari ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai penting Segamat, memandangkan kemasukan Segamat ke dalam ECER telah berada di peringkat akhir.

“ECERDC komited dalam membantu Johor memenuhi visi untuk menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dan produktif dalam sektor pengeluaran makanan negara. Melalui inisiatif agrofood@ECER, visi ECERDC adalah untuk mentransformasi ECER, termasuk Mersing untuk menjadi hab pengeluaran makanan utama bagi negara. Justeru itu, ianya dijangka akan dapat menangani kebimbangan mengenai keselamatan makanan negara dengan mengurangkan import makanan terutamanya produk tenusu. Inisiatif ini juga dijangka bakal mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat, selaras dengan Dasar Agromakanan Johor,” kata Dato’ Baidzawi.

ECERDC bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai rakan strategik untuk menguruskan EMFPP yang dibangunkan untuk menambah baik aktiviti hiliran dan meningkatkan pengeluaran produk berasaskan ikan oleh syarikat PKS. Lima (5) syarikat berpotensi telah dikenal pasti untuk beroperasi di taman tersebut.

Manakala JDV yang bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, dijangka akan menghasilkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun dan seterusnya dapat meningkatkan pengeluaran negara sebanyak 11%.

ECERDC juga sedang giat menarik pelaburan ke Mersing, dengan sasaran sebanyak RM200 juta pelaburan komited pada 2022, termasuk daripada syarikat-syarikat berasaskan pertanian selaras dengan objektif kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan makanan dan pembangunan pengeluaran agromakanan.

Dato’ Baidzawi juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Johor atas keyakinan dan sokongan yang diberikan terutamanya dalam sektor perniagaan tani dan program Aplikasi Web ACES I4.0. Bajet Johor 2022 menyaksikan komitmen Johor untuk membangunkan ladang kelapa dengan bahan penanaman hibrid dan tanaman selingan hasil tinggi seperti buah-buahan dan ubi, melalui inisiatif swasta bersama ECERDC. Kerajaan negeri Johor juga mengumumkan peruntukan untuk program aplikasi web ACES I4.0 untuk diteruskan di tiga (3) daerah iaitu Mersing, Segamat dan Kota Tinggi yang akan memanfaatkan seramai 3,000 orang pelajar.

Selain daripada perniagaan tani, penduduk Mersing juga bakal menerima manfaat daripada aktiviti-aktiviti berasaskan pelancongan setelah siapnya Kampungstay di Air Papan pada separuh kedua tahun ini. Kampungstay Air Papan ialah pembangunan pelancongan berasaskan komuniti yang akan merancakkan industri pelancongan di Mersing sekaligus memberikan kesan limpahan kepada ekonomi dan komuniti tempatan menerusi penawaran pengalaman inap desa dan perkhidmatan berkaitan pelancongan. ECERDC juga merancang untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan untuk Kenderaan Rekreasi (RV) di Kampungstay yang akan menjadi daya tarikan tambahan kepada Air Papan, Mersing.

Satu lagi projek pelancongan yang sedang dilaksanakan ialah Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre) PETA di Taman Negara Endau-Rompin (Johor) yang akan siap pada April 2023. Tarikan pelancongan baharu itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri pelancongan kepada masyarakat setempat khususnya Orang Asli di sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, program pembangunan modal insan seperti program Latihan Akademik empower ECER, program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER serta entrepreneur ECER Groom & Grow akan diteruskan di Mersing, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia di mana tiada siapa yang akan ketinggalan. Tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk melatih seramai 200 pelajar di bawah program Latihan Akademik empower ECER dan 130 peserta di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER. Manakala di bawah program entrepreneur ECER Groom & Grow pula, seramai 57 usahawan sedia ada akan dibangunkan di Mersing.