MEMBANGUNKAN MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG) DI MERSING MELALUI PENGLIBATAN KOMUNITI DAN EKOPELANCONGAN
MERSING, JOHOR, 12 MEI 2024 – Acara terakhir siri Pra-Persidangan Sidang Kemuncak SDG 2024: Wilayah Timur bertemakan “Tindakan Iklim dalam Mengurangkan Impak Perubahan Iklim”, telah berlangsung di KampungStay@Teluk Buih, di Mersing, Johor anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme – UNDP) dengan sokongan Global Environment Centre (GEC), Tengah Island Conservation (TIC) dan Reef Check Malaysia.
Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) khususnya matlamat-matlamat dalam SDG 11, SDG 12, SDG 13 dan SDG 14 dengan memberi tumpuan kepada pengurangan kesan buruk bandar raya terhadap alam sekitar per kapita, menggalakkan amalan penggunaan dan pengeluaran mampan, meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai sasaran perubahan iklim serta melindungi dan memulihkan ekosistem.
“ECERDC komited dalam memastikan projek yang dilaksanakan mempunyai impak minima kepada alam sekitar bandar, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang strategi tindakan iklim, serta meningkatkan penglibatan komuniti tempatan dalam mencapai sasaran-sasaran SDG demi meningkatkan kualiti hidup,” kata Dato’ Ragu Sampasivam, Ketua Pegawai Operasi ECERDC dalam ucapan perasmian beliau di program pra-persidangan SDG ketiga, hari ini.
KampungStay@Teluk Buih adalah sebuah projek ‘homestay’ atau inap desa unik yang dibangunkan oleh ECERDC untuk menonjolkan daya tarikan Mersing melalui strategi pembangunan ‘Rainforest to Reef’ (R2R) yang menghubungkan semua khazanah dari Taman Negara Endau-Rompin ke pantai, pulau dan terumbu karang di sepanjang pantai Mersing. Kesan limpahan daripada pertumbuhan sektor pelancongan membolehkan penduduk tempatan terlibat dalam aktiviti-aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan sekaligus dapat menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup sebagaimana dalam matlamat SDG 8, tambah beliau.
Projek KampungStay@Air Papan yang terletak kira-kira 11 km ke utara bandar Mersing merangkumi pembinaan 10 buah chalet, sebuah dewan serbaguna, surau, dua buah restoran, bangunan resepsi dan sebuah kolam renang. KampungStay@Air Papan telah mula beroperasi pada 1 Mei 2023. Pembangunan infrastruktur dan promosi aktiviti pelancongan tempatan di sini adalah selaras dengan matlamat SDG 9.
Pada tahun 2021, ECERDC telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing dan Kelab Sahabat Cakna Lembah Pantai untuk menanam 200 pokok bakau di sepanjang dinding penghadang projek KampungStay. Inisiatif ini bertujuan, antara lain, untuk melindungi kawasan pantai daripada hakisan seperti sasaran SDG 15, mentransformasi habitat pantai untuk pelbagai spesies hidupan marin (SDG 14), membantu mengurangkan kandungan karbon dioksida dalam atmosfera dan memerangi perubahan iklim (SDG 13), serta meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai tarikan pelancong (SDG 8).
Program pra-persidangan ketiga ini juga melibatkan sesi taklimat oleh UNDP, TIC dan GEC mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), aktiviti praktikal, dan penanaman pokok oleh lebih 30 peserta yang terdiri daripada pelajar dan tetamu Politeknik Mersing, agensi-agensi dan pihak berkuasa tempatan.
Semua peserta termasuk tetamu dari pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan turut terlibat dalam penanaman pokok bakau di Kampungstay bersama Global Environment Centre (GEC) sebagai komitmen terhadap kelestarian yang merangkumi perlindungan lautan dan kawasan paya. Objektif utama adalah untuk mendidik belia dan anak muda mengenai kepentingan memelihara ekosistem lautan dan pulau, dengan memberi penekanan terhadap pemeliharaan terumbu karang dan biodiversiti marin.
Aktiviti-aktiviti praktikal oleh TIC dan GEC juga telah diadakan, termasuk permainan pengasingan sisa dan kuiz interaktif sambil mempelajari bagaimana untuk memelihara dan menyokong pengurusan hutan dan kawasan paya secara lestari. Program ini juga telah memperkenalkan teknologi yang digunakan untuk menukar sisa yang biasanya dibuang ke tapak pelupusan atau dibakar menjadi produk yang boleh digunakan semula.
Program tersebut turut dihadiri oleh Tn. Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing; En. Azfaazam Kasbani, Pengarah Pusat SDG Kebangsaan; Pn. Sheela Inthiram, Penolong Pengarah (Pembangunan Mampan) Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli, Kementerian Ekonomi; En. Muhammad Lutfi bin Abbas, Penolong Pegawai Daerah Segamat;
pegawai-pegawai alam sekitar dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, wakil daripada Kementerian Ekonomi, Pejabat Daerah Mersing, Pejabat Daerah Segamat, dan para pemegang taruh utama lain.
Siri pra-persidangan Sidang Kemuncak SDG 2024: Wilayah Pantai Timur yang ketiga ini merupakan yang terakhir sebelum Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024: Wilayah Pantai Timur diadakan pada 19 Mei 2024 di Kuala Terengganu. Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, sidang kemuncak ini akan membuka tirai kepada penganjuran Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2024.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
MENGENAI MALAYSIA SDG SUMMIT 2024: WILAYAH TIMUR
Malaysia terus komited dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030, yang merangkumi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Kementerian Ekonomi telah diberikan mandat untuk meneraju dan menyelia pelaksanaan SDG di seluruh negara.
Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2023-2024 adalah satu siri persidangan bertemakan “Sokongan Masyarakat Tempatan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk Malaysia yang Inklusif, Mampan dan Berdaya Tahan,” yang dijalankan secara berfasa melibatkan wilayah-wilayah dalam negara ini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor serta Kerajaan Negeri. Persidangan ini telah diadakan di Wilayah Selatan, Wilayah Utara, serta Sabah dan Sarawak. Sidang Kemuncak Wilayah Timur, anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), merupakan edisi terakhir di peringkat serantau, membuka jalan kepada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Jun atau Julai 2024.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media,
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
Emel: mazlinda@ecerdc.com.my