Menggalakkan Pelaburan Swasta, Meneruskan Projek-projek Strategik dan Mengekalkan Tumpuan Kepada Program Pembangunan Modal Insan Penting Demi Memastikan Pertumbuhan Berterusan di ECER
KUANTAN, PAHANG, 28 JANUARI 2022: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM13.4 bilion ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melebihi sasaran awal RM12 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2021. Angka pelaburan baharu ini mencatat rekod sebagai pencapaian tahunan tertinggi di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) sejak tahun 2018. Pelaburan ini berpotensi untuk mewujudkan lebih 11,000 pekerjaan baharu dan lebih 680 peluang keusahawanan untuk rakyat, sekaligus memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia. ECERDC turut merealisasikan pelaburan berjumlah RM4.7 bilion di ECER pada tahun 2021.
“Saya gembira kerana ECERDC telah mencatatkan banyak pencapaian terutamanya dari segi menarik pelaburan baharu, melaksanakan projek-projek pembangunan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan. Pencapaian ini membuktikan bahawa sokongan yang diberikan oleh kerajaan dari segi projek-projek prasarana strategik dan pelanjutan insentif cukai adalah berkesan dalam meningkatkan daya saing wilayah ini sebagai destinasi pelaburan pilihan,” kata Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis ECER yang diadakan di Kompleks Bandaraya Kuantan hari ini.
Hadir di mesyuarat tersebut ialah YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan; YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; dan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang. Mesyuarat turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, YBM Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali.
“ECERDC telah memanfaatkan insentif cukai istimewa yang dilanjutkan sehingga akhir tahun 2022 untuk mempromosikan ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan bagi mengembalikan momentum pertumbuhan. Di bawah EMP 2.0, kami menetapkan sasaran untuk mencapai pelaburan swasta sebanyak RM70 bilion menjelang tahun 2025 dan sehingga kini, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM27.7 bilion. Kami berharap dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam masa tiga tahun akan datang, terutamanya dengan adanya projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan bagi menambah baik kesalinghubungan di Wilayah ini seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Jalan Central Spine (CSR),” kata YH Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Tambah beliau, projek-projek yang sedang dilaksanakan dan projek yang telah siap dibina seperti peluasan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan laut dalam, taman-taman perniagaan bertema serta insentif cukai istimewa yang diumumkan baru-baru ini untuk menarik pelaburan ke Kelantan akan mempercepatkan lagi usaha pemulihan ekonomi oleh ECERDC.
Selepas mesyuarat berlangsung, ahli Majlis ECER telah berkunjung ke Menara Kuantan 188 yang merupakan salah satu daripada projek pelancongan ikonik oleh ECERDC di tengah-tengah bandaraya Kuantan. Menara Kuantan 188 telah menerima seramai 23,600 orang pelawat sejak dibuka secara rasminya pada 15 Disember 2021, dengan purata 500 orang pengunjung setiap hari. Di Menara Kuantan 188, YAB Perdana Menteri serta delegasi telah diberi taklimat tentang projek pelancongan terkini yang dicadangkan oleh ECERDC iaitu pelancongan RV (kenderaan rekreasi), di mana sebuah kenderaan RV telah dipamerkan di pintu masuk menara. Selepas menunaikan solat Jumaat, ahli Majlis ECER telah dibawa melawat Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC), salah satu daripada projek perniagaan tani ECERDC yang paling berjaya. Projek ini dilaksanakan dengan menggunakan Model Syarikat Induk dengan kerjasama rapat Farm Fresh Sdn. Bhd.
Menerajui ECER Dalam Realiti Baharu
Selain menarik pelaburan baharu, ECERDC juga akan meneruskan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi, terutamanya dalam bidang perniagaan tani dan pelancongan, selain mengukuhkan program pembangunan modal insan dengan kerjasama Yayasan PETRONAS dan MyKasih bagi membina keupayaan rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan.
“Apa yang berlaku sejak dua tahun lalu telah mengubah cara kami bekerja dan mendorong kami untuk berfikir secara lebih kreatif bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Oleh itu, ECERDC akan terus mengusahakan projek-projek baharu yang diperlukan susulan pandemik bagi menyumbang ke arah mengukuhkan jaminan bekalan makanan negara seperti agrofood@ECER dan projek seperti Pelancongan RV, selari dengan perubahan trend pelancongan global,” kata Dato’ Baidzawi.
Pelancongan
Selari dengan perubahan trend ke arah kebebasan mengembara dan peningkatan bilangan pekerja nomad digital, pelancongan RV kini semakin popular kerana ia memberi pilihan konsep pelancongan yang lebih terbuka untuk pelbagai aktiviti luar dan aktiviti peribadi.
“Industri pelancongan RV sedang berkembang pesat di negara-negara seperti Australia, China, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand serta menjadi komponen penting bagi ekonomi negara-negara tersebut. Ini telah membuka peluang untuk Malaysia secara amnya dan ECER secara khususnya bagi memanfaatkan trend ini untuk mewujudkan peluang pertumbuhan pelancongan yang baharu di ECER dan meneroka potensi untuk membangunkan industri RV di Wilayah ini,” tambah Dato’ Baidzawi.
Pembangunan Modal Insan
Fokus utama Program Pembangunan Modal Insan ECERDC adalah untuk menghapuskan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia dan mewujudkan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong kemasukan pelaburan swasta di Wilayah ini.
Program Latihan Kemahiran Akademik empower ECER memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik para pelajar berprestasi rendah daripada keluarga miskin di kawasan luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli. Antara tahun 2018 hingga tahun 2021, seramai 24,695 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program ini, di mana 96% daripada peserta program telah lulus peperiksaan SPM 2020 dan 91% daripada mereka berjaya meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan teknikal.
Selaras dengan konsep pembangunan inklusif Keluarga Malaysia, mengarusperdanakan pendidikan dan mengukuhkan ekonomi masyarakat Orang Asli adalah antara tumpuan utama ECERDC. Antara tahun 2018 hingga tahun 2021, seramai 4,670 pelajar Orang Asli telah menyertai program Latihan Akademik empower ECER dan 89% daripada mereka telah lulus SPM 2020. Pada masa ini, seramai 100 Orang Asli sedang mengikuti program latihan kemahiran seperti menanam cili, menternak lebah kelulut dan inap desa bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk menjana pendapatan.
Manakala Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula membangunkan warga tempatan terutamanya kumpulan B40 untuk menjadi pekerja berkemahiran atau usahawan mikro. Antara tahun 2018 hingga tahun 2021, seramai 10,965 peserta telah dilatih dan 6,294 orang usahawan baharu berjaya diwujudkan. Selain itu, melalui program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula PENJANA-ECERDC, seramai 6,642 peserta telah berjaya menamatkan latihan dan daripada jumlah ini, 85% atau 5,667 peserta telah berjaya mendapat pekerjaan pada tahun 2021.
Program entrepreneur ECER memberi tumpuan untuk membangunkan usahawan yang sedia ada di Wilayah ini, terutamanya PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan kerjasama erat Agrobank dan Maybank yang menyediakan pinjaman mudah di mana 50% daripada kadar faedah dibiayai oleh ECERDC. SIRIM pula membantu para peserta untuk meningkatkan mutu produk dari segi penjenamaan, pembungkusan serta mendapatkan persijilan MeSTI dan Halal. Program ini telah memberi manfaat kepada 9,082 orang usahawan dan mewujudkan sebanyak 16,860 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.
ACES, Membuka Laluan Penerimaan Industri 4.0 (I4.0) di ECER
ECERDC komited untuk meningkatkan kemahiran rakyat supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam ekonomi baharu terutamanya ke arah menarik para pelabur dalam industri berteknologi tinggi dan bernilai tinggi dalam Industri 4.0 (I4.0). Dalam hal ini, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) akan membuka laluan dengan menyediakan latihan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat di Wilayah ini.
Pada tahun 2021, Program ACES-ECER Jobs Train & Place telah membantu 706 orang graduan menganggur dan mereka yang sedang mencari pekerjaan di ECER untuk mendapat kemahiran yang berkaitan dan menghubungkan mereka kepada pengusaha industri bagi mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor ICT. ACES akan meneruskan inisiatif ini pada tahun 2022 untuk 180 orang graduan menganggur dan mereka yang sedang mencari pekerjaan di ECER. Pada tahun 2021 juga, ACES juga telah menganjurkan siri webinar berkaitan I4.0 meliputi peluang pekerjaan masa depan dalam industri ini untuk para peserta program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula PENJANA ECERDC. Program ini telah membuka mata para peserta tentang bagaimana I4.0 boleh mempengaruhi laluan kerjaya mereka pada masa hadapan.
ACES juga telah memulakan langkah untuk mendidik belia negara melalui pelaksanaan Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 pada tahun 2021 untuk 3,110 lepasan SPM dari ECER. Program ini direka untuk membangkitkan kesedaran tentang I4.0 supaya para pelajar dapat menyumbang ke arah pertumbuhan pekerjaan pada masa hadapan. Program ini akan dikembangkan ke fasa seterusnya pada tahun 2022 melibatkan seramai 3,000 orang pelajar di tiga buah daerah di Johor, iaitu Mersing, Segamat dan Kota Tinggi. Program ini mungkin diperkenalkan di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada tahun-tahun berikutnya.