MENTERI KEWANGAN HADIR SESI LIBAT URUS BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN DAN OGP DALAM PENYEDIAAN BELANJAWAN 2021

TERENGGANU, 6 SEPTEMBER 2020: Menteri Kewangan, Yang Berhormat Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menghadiri sesi libat urus bersama penggiat industri sektor pelancongan dan minyak, gas dan petrokimia (OGP) di Terengganu hari ini untuk mendapatkan maklum balas dalam penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Jelajah Belanjawan 2021: Sesi Focus Group dengan Industri, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), mendapatkan maklum balas dan idea daripada para penggiat industri pelancongan dan OGP untuk terus merancakkan pelancongan domestik dan menarik pelaburan baharu yang akan membantu memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

“Maklum balas dan input daripada penggiat industri adalah sangat bernilai dalam penyediaan Belanjawan 2021. Input yang diberikan adalah relevan bagi pembangunan dan pertumbuhan sektor- sektor ini di negeri Terengganu dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” kata Yang Berhormat Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Libat urus bersama penggiat utama dalam industri Pelancongan di ECER ini sangat penting kerana pelancongan telah dikenal pasti sebagai salah satu sektor utama yang sangat terjejas semasa bermulanya pandemik COVID 19. Semasa Sesi Focus Group bersama Penggiat Industri Pelancongan, wakil daripada pihak kerajaan dan industri telah berkongsi idea, meneroka strategi dan membincangkan peruntukan insentif kepada perniagaan-perniagaan tempatan serta pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk memastikan kelestarian pulau-pulau serta memajukan pelancongan Seni, Budaya dan Warisan di Terengganu.

Lokasi sesi libat urus yang diadakan di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu, amat bertepatan dan sesuai dengan topik perbincangan tersebut. Sesi ini dihadiri oleh wakil-wakil agensi, persatuan, hotel, universiti dan organisasi bukan kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pejabat Terengganu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH Cawangan Terengganu), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Berjaya Redang Resort.

Pelancongan merupakan antara pemacu ekonomi terpenting di ECER yang menarik pelaburan swasta sebanyak RM21.5 bilion dari tahun 2007 hingga 2019. Untuk mengembangkan sektor ini secara strategik dan mampan, ECERDC telah mencipta destinasi untuk meningkatkan kehadiran pelancong dan membuka lebih banyak peluang bagi penduduk tempatan untuk terlibat dalam industri pelancongan melalui peluang keusahawanan dan pekerjaan. Untuk terus mempromosikan pembangunan

pelancongan pulau di ECER, pelbagai projek infrastruktur strategik telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan akses tapi pada masa yang sama, aset-aset semula jadi akan tetap dipelihara.

“Pulau-pulau kini berhadapan dengan cabaran daripada segi infrastruktur dan ancaman terhadap biodiversiti marin. Oleh itu, pembangunan dan peningkatan infrastruktur sokongan seperti jeti, laluan pejalan kaki, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal akan membantu memelihara aset semula jadi pulau-pulau dan sekaligus memacu industri pelancongan di pulau-pulau tersebut. Ini sangat penting kerana pelancongan domestik ke pulau-pulau ini dijangka akan meningkat pasca pandemik COVID-19. Oleh itu, langkah-langkah lain termasuk peningkatan kemudahan pelancongan dan insentif kepada perniagaan tempatan perlu dipertimbangkan secara serius dan dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pelancong,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Di bawah Pelan Induk ECER 2.0, selain daripada penekanan terhadap pembangunan infrastruktur di destinasi-destinasi pulau popular seperti Pulau Perhentian, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah dan Pulau Tenggol, ECERDC juga telah membangunkan pelancongan pesisir dan pelancongan bandar seperti mercu tanda ikonik Terengganu, iaitu jambatan angkat Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) serta tapak ekopelancongan di Kenyir dan Setiu Wetlands untuk menarik orang ramai berkunjung ke destinasi-destinasi ini dan bukan hanya menumpu kepada pelancongan pulau bagi memelihara kelestarian pulau-pulau ini.

Menteri Kewangan juga telah mengadakan sesi berasingan bersama penggiat industri utama Minyak, Gas dan Petrokimia (OGP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP). Antaranya ialah PETRONAS, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Majlis Minyak dan Gas Terengganu (TOGC), dan Kemaman Bitumen Sdn. Bhd.

OGP merupakan sektor penting yang menyumbang 34.3% (RM12.3 bilion) kepada KDNK Terengganu. Ekosistem OGP di ECER berpusat di sekitar Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC), sebuah kompleks petrokimia bersepadu yang terdiri daripada sembilan (9) buah loji petrokimia. Lapan (8) daripadanya dimiliki penuh oleh PETRONAS manakala sebuah lagi dikendalikan secara usahasama oleh PETRONAS dan syarikat multinasional (MNC) asing. Ekosistem ini juga disokong oleh Taman Biopolimer Kertih (KBP), sebuah projek andalan ECER yang menjadikan Terengganu sebagai hab bertaraf dunia untuk produk berasaskan bio dan petrokimia. Infrastruktur sekitarnya seperti Pelabuhan Kertih, Pelabuhan Kemaman dan Pangkalan Bekalan Kemaman menawarkan kesalinghubungan dan pangkalan bekalan yang unggul bagi menyokong keperluan pelabur sedia ada dan berpotensi dalam sektor OGP.

“Industri OGP di Terengganu semakin matang dan untuk ke tahap seterusnya, ECERDC mengusulkan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan. Antaranya termasuk mencadangkan sektor huluan sebagai sebahagian daripada aktiviti ECER yang dipertimbangkan untuk insentif, serta meningkatkan dan menambah penyertaan daripada syarikat tempatan dalam program vendor. ECERDC juga mencadangkan bidang fokus baharu, terutama bahan kimia khusus untuk mendorong pertumbuhan dan menarik pelaburan hiliran bernilai tambah yang tinggi,” kata Encik Baidzawi.

Fokus dan inisiatif baharu adalah sejajar dengan strategi yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0), iaitu untuk membawa sektor OGP ke peringkat yang lebih tinggi meliputi peningkatan hubungan dengan industri hiliran, memperhebatkan pembangunan teknologi dalam bahan dan aplikasi produk, serta meneroka industri perkhidmatan berkaitan pembuatan dan industri sokongan.

ECERDC juga bekerjasama rapat dengan Kementerian yang berkaitan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur strategik utama seperti elektrik, bekalan air dan jalur lebar dalam menyokong keperluan

pelabur yang semakin meningkat. Pakej Insentif ECER akan terus ditawarkan untuk menarik lebih ramai pelabur ke Wilayah ini. Ini sebagai tambahan kepada usaha-usaha lain untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan melalui Program Pemerkasaan Graduan ECER (ETEP), iaitu program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang selaras dengan Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (PENJANA).

“Kerjasama adalah kunci bagi membuka potensi Wilayah ini. Kami yakin bahawa maklum balas yang diperoleh daripada sesi dialog hari ini adalah bermanfaat dalam penyediaan Belanjawan 2021. ECERDC akan terus bekerjasama dengan penggiat industri Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memacu pelaburan dan pertumbuhan sosioekonomi di Wilayah ini,” kata Encik Baidzaw.

 

Tentang ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood Pengurus, Perhubungan Media

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085

E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my