PAKEJ INSENTIF PERCUKAIAN KHAS AKAN MENINGKATKAN PELABURAN KE NEGERI KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 7 JANUARI 2021: Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk Pakej Insentif Percukaian Khas untuk pelaburan di negeri Kelantan. Menerusi insentif ini, para pelabur akan mendapat pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% selama 15 tahun dan pada kadar cukai 17% untuk 5 tahun selanjutnya. Untuk knowledge workers, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi syarikat yang diluluskan insentif, hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15%.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC telah berjaya merealisasikan pelaburan swasta berjumlah RM690 juta di Kelantan sewaktu pandemik. Pelaburan-pelaburan ini telah menjana lebih 500 peluang pekerjaan dan 300 peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

“Ini merupakan suatu pencapaian yang amat memberangsangkan oleh ECERDC dan saya percaya ianya merupakan hasil dari usaha dan kerjasama erat berbagai pihak iaitu Kerajaan Negeri, ECERDC, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan lain-lain agensi yang berkaitan dalam menarik pelaburan ke negeri ini,” kata YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, Menteri Besar Kelantan ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) untuk negeri Kelantan.

“Insentif Percukaian Khas bagi negeri Kelantan yang baharu diluluskan oleh Kementerian Kewangan dijangka akan menjadi daya tarikan utama kepada para pelabur. ECERDC menjangka akan menarik lebih banyak pelaburan baharu dengan adanya insentif khas ini,” kata YH Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Berdasarkan kepada pembentangan pihak ECERDC, YAB Menteri Besar Kelantan juga menyarankan agar satu kajian terperinci dapat dilaksanakan untuk mengkaji impak projek Chumphon-Ranong land bridge yang sedang dilaksanakan oleh pihak Thailand, kepada negeri Kelantan. YAB Menteri Besar turut menyeru supaya pelaksanaan pembangunan LPT 3 serta lain-lain infrastruktur sokongan dipercepatkan dan diberi keutamaan bagi mengekalkan kelebihan saingan (competitive advantage) kepada negeri Kelantan.

PROJEK-PROJEK ECERDC UNTUK MEMACU EKONOMI TEMPATAN

ECERDC sedang melaksanakan Projek Perintis – Transformasi Perikanan di Tok Bali. Ianya melibatkan keseluruhan rantaian nilai perikanan dan termasuk pembangunan modal insan terutamanya mengenai penglibatan rakyat tempatan di dalam aktiviti tangkapan laut dalam.  Pembangunan infrastruktur asas bagi aktiviti huluan di Fasa 1A telah siap dan telah mula menarik minat para pelabur untuk melabur di kawasan tersebut. Kini, ECERDC sedang giat membangunkan infrastruktur asas di Fasa 1B dan dijangka siap pada November 2022.

Selain industri perikanan, perancangan untuk membangunkan kawasan Tok Bali akan turut memberi penekanan kepada sektor minyak dan gas, pembuatan dan logistik serta perkhidmatan bagi meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi.

Bagi memastikan pembangunan di Tok Bali berjalan secara terancang, Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed and YAB Menteri Besar Kelantan akan menyelaras dan menyelia pembangunan, memudah cara pelaksanaan dan memainkan peranan dalam menarik dan merealisasikan lebih banyak pelaburan ke negeri Kelantan.

Pada 31 Oktober lepas, Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan telah diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

Manakala Laman Warisan Seni Kampung Laut yang termasuk dalam Fasa 2, dijangka siap pada awal tahun ini. Kompleks ini akan memelihara dan mempromosi seni dan budaya tempatan Kelantan. Laman Seni akan diserahkan kepada pihak MOTAC dan dijangka beroperasi pada bulan Jun 2022.

Pada masa yang sama, projek penempatan semula dan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Laut yang berusia lebih 300 tahun juga akan siap pada bulan Jun 2022. Kerajaan Negeri Kelantan dan ECERDC telah mengambil inisiatif untuk mengembalikan masjid tersebut ke tapak asalnya dalam usaha mengekalkan ciri-ciri seni bina, sejarah, budaya dan warisan masjid tersebut.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DIUTAMAKAN

Dibawah inisiatif PENJANA-ECERDC, 150 orang para graduan dan lepasan SPM di Kelantan bakal dilatih di bawah program Upskilling & Reskilling dan sekurang-kurangnya 80% dari jumlah tersebut akan ditawarkan pekerjaan dengan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Manakala di bawah program ACES-ECER Jobs Train & Place, seramai 387 peserta dari Kelantan daripada jumlah keseluruhan 706 peserta telah dilatih dan berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang ICT. Melalui latihan ini, para peserta ini boleh bekerja dari keselesaan rumah mereka dan tidak perlu berhijrah ke luar dari negeri Kelantan.

Program pembangunan modal insan ECERDC telah dilaksanakan dengan memastikan semua peserta mematuhi pelan vaksinasi kebangsaan. Kesemua 700 orang peserta Program empower ECER Latihan dan Kemahiran di 4 jajahan iaitu Bachok, Jeli, Pasir Puteh dan Tanah Merah telah divaksinasi sebelum dibenarkan menghadiri kursus latihan.