PELAN INDUK ECER 2.0: MEMACU LONJAKAN SETERUSNYA PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI WILAYAH PANTAI TIMUR RM70 pelaburan swasta baharu, menjana 120,000 pekerjaan baharu dan mewujudkan 60,000 peluang keusahawanan diantara 2018 dan 2025

KUALA LUMPUR, 20 JUN – Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini telah melancarkan Pelan Induk ECER 2.0 (2018-2025) bagi memacu lonjakan seterusnya pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di Wilayah ini.
Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0), yang bertemakan “Lonjakan Seterusnya” menggariskan strategi utama, projek-projek berimpak tinggi dan program-program inklusif berteraskan rakyat yang akan dilaksanakan di ECER bagi mengekalkan transformasinya menjadi rantau yang Distingtif, Dinamik dan Kompetitif menjelang tahun 2025 dan seterusnya.
Antara matlamat utama yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0 menjelang tahun 2025 termasuk:

  • RM70 bilion pelaburan swasta baharu
  • 120,000 peluang pekerjaan dan
  • 60,000 peluang keusahawanan untuk rakyat

“Pelancaran EMP 2.0 adalah sebuah detik bersejarah. Dengan memanfaatkan asas kukuh yang dibina di atas pembangunan sosioekonomi ECER dalam tempoh sedekad lepas, EMP 2.0 dibangunkan berteraskan kesejahteraan rakyat. Melalui penyampaian projek dan program berimpak tinggi, rakyat akan terus menerima manfaat melalui peluang inklusif dan saksama untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan yang diwujudkan di Wilayah ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBrs. En. Baidzawi Che Mat.
Pelan Induk ECER 2.0 telah dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi ECERDC, di Pejabat Perdana Menteri. Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail, Menteri Besar negeri-negeri di ECER, Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi YB Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali.
Turut dilancarkan ialah Coffee Table Book bertajuk “Menyinari kehidupan, empower ECER untuk kemakmuran komuniti yang diterbitkan untuk memaparkan kejayaan transformasi peserta program empower ECER supaya mereka boleh menjadi contoh kepada rakyat bukan sahaja di ECER tetapi di seluruh negara.
MEMACU ECER DALAM LONJAKAN SETERUSNYA
Untuk memacu ECER ke hadapan dalam tempoh tujuh tahun akan datang, penekanan diberikan kepada Enam Inisiatif Strategik iaitu: meningkatkan produktiviti pekerja; mempelbagaikan asas ekonomi; memudahcara ekonomi skala; menggerakkan tenaga kerja; memanfaatkan kesalinghubungan; dan menambahbaik pengupaya seperti jalur lebar ICT.
Di bawah EMP 2.0, penekanan yang lebih besar akan diberikan untuk mempercepat kesediaan ECER untuk Industri 4.0, memandangkan kepentingan platform digital dalam membentuk ekonomi dan memacu inovasi di seluruh dunia. ECERDC dengan kerjasama Technische Universitat Munchen (TUM), telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) di Cybercentre yang terletak di Taman Teknologi Pahang (PTP). ACES, yang dijangka berkhidmat sebagai hab pembangunan kemahiran untuk rakyat dan perusahaan dari Malaysia dan Asia Tenggara, akan melengkapkan kumpulan bakat tempatan serta perniagaan dengan pengetahuan Industri 4.0 bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kecekapan.
Sementara itu, dua projek pencetus perubahan iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek peluasan Pelabuhan Kuantan, di Pahang dijangka akan memudahcara tarikan pelaburan dan meningkatkan mobiliti barangan dan rakyat. ECRL akan membuka hab pelancongan baharu dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang jajarannya sementara peluasan Pelabuhan Kuantan di Pahang boleh menampung kemasukan kapal-kapal yang lebih besar sekaligus memperkukuhkan kedudukan ECER sebagai Gerbang ke rantau Asia Pasifik.
ECER kini juga bersedia untuk menyahut gelombang pertumbuhan dalam aktiviti berkaitan logistik. Dalam hal ini, ECERDC telah mengenal pasti pemacu utama baharu iaitu “Logistik dan Perkhidmatan” di bawah rangka kerja Pelan Induk ECER 2.0. Pemacu utama baharu ini akan meningkatkan daya saing keseluruhan Wilayah ECER dengan mengenal pasti dan menangani isu-isu rantaian bekalan untuk pemacu ekonomi ECER yang sedia ada termasuk Sektor Pembuatan; Minyak, Gas dan Petrokimia; Pelancongan dan Perniagaan Tani.
RAKYAT, NADI ECER
Dalam pembangunan modal insan, ECERDC akan terus membangunkan dan menambahbaik program empower ECER, entrepreneur ECER dan Program Pemerkasaan Graduan ECER (ETEP) bagi meningkatkan lagi penglibatan belia dan wanita di dalam tenaga kerja, serta meningkatkan produktiviti di Wilayah ini, disamping membangunkan perusahaan mikro dan kecil menjadi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Penekanan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membina kumpulan pekerja mahir. Usaha-usaha ini sangat kritikal bagi ECER untuk berubah kepada ekonomi berasaskan produktiviti dan mengelakkan penghijrahan keluar tenaga kerja.
“Lonjakan Seterusnya pasti membawa cabaran tersendiri tetapi tiada apa yang tidak dapat dicapai sekiranya semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, rakyat, para pelabur dan pihak berkepentingan bersama-sama berganding bahu dalam fasa seterusnya ini,” tambah En. Baidzawi.
Sepanjang 10 tahun yang lalu, transformasi sosioekonomi ECER dapat disaksikan apabila sasaran pelaburan pada tahun 2020 sebanyak RM110 bilion berjaya dicapai tiga tahun lebih awal. Sehingga kini, jumlah pelaburan swasta di ECER berjumlah RM115.6 bilion, sebanyak 164,500 peluang pekerjaan diwujudkan dan kira-kira 38,000 usahawan telah berjaya dibangunkan.
 
-TAMAT-
 
Mengenai ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan arah tuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.
Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing dan Segamat di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun dan menjadi destinasi pelaburan yang unik, dinamik dan berdaya saing.
Wilayah ECER merangkumi kawasan seluas 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh lima kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani dan Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Prasarana, Hartanah dan Persekitaran untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.