PEKAN, PAHANG, 6 DISEMBER, 2014: Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah melakukan lawatan kerja ke Runchang bagi menyerahkan secara rasmi kunci rumah baru kepada 102 Orang Asli yang menyertai projek membasmi kemiskinan Agropolitan Pekan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini hari ini.
Kunci bagi rumah baru mereka yang dibina oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) diserahkan di majlis perasmian kompleks perumahan baru bagi peserta Agropolitan Pekan di Runchang. Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Jebasingam Issace John.
Dilancarkan pada tahun 2009, projek Agropolitan di Runchang, Pekan merupakan tapak Agropolitan pertama yang dilaksanakan oleh pihak ECERDC di ECER. Projek Agropolitan merupakan salah satu inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan melalui ECERDC dengan tujuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan di ECER dan merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar. Pelaksanaannya adalah berdasarkan konsep inklusif atau menyeluruh bagi memastikan semua rakyat Malaysia, termasuklah Orang Asli, mempunyai peluang untuk mempertingkatkan taraf hidup dan status sosio-ekonomi mereka.
Dengan menggunakan aktiviti berasaskan pertanian sebagai landasan ekonomi utamanya, matlamat projek Agropolitan ialah untuk meningkatkan peluang-peluang pekerjaan di kawasan luar bandar dan juga jumlah pendapatan dan kualiti hidup masyarakat pedalaman. Ini adalah sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan, yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Bermula dengan penyertaan seramai 30 peserta Orang Asli tempatan, projek Agropolitan Pekan di Runchang kini menyaksikan penyertaan seramai 102 peserta Orang Asli yang terlibat dalam penternakan biri-biri Dorper sebagai aktiviti ekonomi utama mereka. Kini, mereka berupaya memperoleh pendapatan berjumlah RM950 sebulan dengan bekerja lima jam sehari, yang merupakan peningkatan sebanyak 30% daripada pendapatan RM650 sebulan yang diperolehi sebelum ini.
Projek Agropolitan adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di segenap lapisan di negara ini, kata YBhg. Dato’ Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Projek Agropolitan Pekan di Runchang, yang melibatkan penyertaan 102 peserta Orang Asli, ialah contoh terbaik bagi pendekatan inklusif yang diambil Kerajaan untuk memastikan rakyat dari semua peringkat masyarakat dapat menikmati kemakmuran ekonomi negara, kata Dato’ Issace.
Selain daripada peningkatan pendapatan, kualiti hidup peserta Orang Asli dan keluarga mereka yang menyertai projek Agropolitan turut memperlihatkan peningkatan yang ketara. Peserta-peserta Orang Asli bagi projek Agropolitan Pekan di Runchang telah berpindah ke rumah tiga bilik mereka yang baharu. Penempatan mereka turut dilengkapi perabot baharu, serta kemudahan awam seperti dewan masyarakat, taman permainan dan gelanggang futsal.
Kemudahan latihan akademik turut disediakan untuk anak-anak peserta melalui tuisyen akademik dan kelas motivasi di bawah Program Latihan Akademik empower ECER yang dijalankan oleh ECERDC. Di Pekan, hampir 112 anak-anak Orang Asli telah mendapat menfaat daripada Program Latihan Akademik empower ECER yang dilaksanakan.
Dua pelajar Orang Asli dari Pekan telah berjaya memperolehi 5A dalam keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang baru diumumkan, sementara dua yang lain memperolehi 3A dan 3 lagi mencapai keputusan 2A.
Di majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap) kepada ketua projek Ternakan Biri-biri Dorper Runchang. Dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MyGap merupakan skim pensijilan komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan, dan adalah bukti pematuhan kepada piawai keselamatan makanan untuk perdagangan dan eksport. Sekarang ini terdapat sejumlah 3,500 ekor biri-biri diternak di 35 unit ternakan haiwan yang dibangunkan ECERDC di Runchang. Pekan Agropolitan dijangka muncul sebagai hab ternakan biri-biri Dorper terbesar di Asia Tenggara dengan anggaran jumlah ternakan mencecah 25,000 biri-biri menjelang tahun 2020.
Selain Runchang, projek Agropolitan Pekan turut dilaksanakan di Batu 8 di Mukim Lepar dan Tanjung Batu, yang melibatkan penyertaan keseluruhan seramai 415 peserta tempatan. Selain di Pahang, ECERDC turut melaksanakan projek Agropolitan Kelantan Selatan bertempat di Gua Musang, Kelantan dan Agropolitan Besut-Setiu di Terengganu. Sehingga kini, sejumlah 840 keluarga terlibat di dalam projek Agropolitan yang dilaksanakan di ketiga-tiga negeri ECER tersebut.
Selain daripada projek Agropolitan Runchang, lain-lain program ECERDC yang turut memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di ECER termasuklah Program Latihan Akademik empower ECER,yang telah membantu mempertingkatkan prestasi akademik seramai 1,425 pelajar Orang Asli di ECER, di mana seramai 1,024 pelajar adalah berasal dari Pahang.
Di bawah Program Latihan Kemahiran & Keusahawanan empower ECER, seramai 122 usahawan Orang Asli baru telah berjaya diwujudkan di wilayah ini, dalam mana 109 peserta berasal dari Pahang. Mereka kini memperolehi pendapatan antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan selepas menyertai program tersebut.
Seramai enam lagi usahawan Orang Asli, termasuk dua dari Pahang, kini menyertai program entrepreneur ECER yang dikendalikan dengan kerjasama Agrobank, di mana mereka masing-masing terlibat dalam bidang perniagaan runcit, pertanian komersial, pengeluaran makanan, pembaikan automotif dan perusahaan bas sekolah.