KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2014: Program Latihan Akademik empower ECER yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus membuktikan keberkesanannya dalam membantu mempertingkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar luar bandar di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), seperti yang dapat dilihat melalui keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang diumumkan hari ini.
Kesemua 3,204 peserta empower ECER dari97 buah sekolah di ECER yang menduduki UPSR tahun ini telah memperolehi kelulusan 100%, dengan 575 pelajar mendapat 5A dan ke atas, sementara 430 pelajar lagi mendapat 4A.
Pahang mendahului dengan 760 pelajar memperolehi 3A atau lebih, diikuti Terengganu (405), Kelantan (238) dan Daerah Mersing di Johor (48). Ini merupakan peningkatan sebanyak 36% berbanding tahun lepas.
empower ECER merupakansalah satuinisiatif pembangunan modal insan yang dilaksanakan ECERDC di ECER. Ia terdiri daripada Program Latihan Akademik untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan untuk golongan ibu tunggal, belia menganggur dan individu-individu yang kurang berkemampuan.
Pelajar-pelajar yang dipilih menyertai program Latihan Akademik empower ECER adalah mereka yang lemah dan sederhana dari segi akademik dan kebanyakannya berasal daripada keluarga miskin. Untuk memastikan peserta mempunyai peluang sama rata untuk berjaya, fokus empower ECER ialah untuk mendedahkan para pelajar yang menyertai program kepada pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Selain mengendalikan kelas-kelas tuisyen, ECERDC turut memperkenalkan kursus-kursus kemajuan diri seperti “ Conceive, Believe & Achieve, the Dale Carnegie Way”, “Mind Mapping”, “Speed Reading and Creative Note Taking”, “Mind Science” untuk memperkukuhkan daya ingatan pelajar dan “Number Sense” untuk meningkatkan kemahiran pembelajaran mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Jebasingam Issace John bekata, kejayaan pelajar-pelajar tersebut boleh dikaitkan dengan pendekatan holistik empower ECER yang memfokuskan kepada pembentukan peribadi, keyakinan diri dan keazaman pelajar, di samping bimbingan berkaitan pembelajaran. Program-program khas turut dijalankan untuk para ibu-bapa bagi memastikan pelajar-pelajar mempunyai sokongan yang baik dan padu di rumah, dalam usaha mereka untuk mencapai prestasi akademik yang cemerlang.
“Pihak kami berharap agar kejayaan yang dicapai oleh pelajar-pelajar luar bandar ini akan memberi inspirasi dan semangat kepada mereka untuk terus cemerlang dan berjaya dalam melangkah ke alam sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat universiti, kerana hanya melalui kecemerlangan akademik pelajar-pelajar berkenaan akan dapat membina masa hadapan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga,” kata Dato’ Issace.
Pembangunan modal insan adalah penting dalam menyokong kelangsungan transformasi sosio-ekonomi ECER, dan dalam konteks tersebut, sejar-pelajar sekalianadalah menjadi matlamat empower ECER untuk mempertingkatkan prestasi akademik para peserta di kalangan pelajar, serta memperkasakan peserta dewasanya dengan kemahiran yang boleh dipasarkan yang akan membolehkan mereka menikmati prospek pekerjaan dan perniagaan yang lebih baik, menurut Dato’ Issace lagi.
Program pada tahun ini menyaksikan penyertaan hampir 200 pelajar UPSR berketurunan Orang Asli, kebanyakannya dari negeri Pahang. Pelajar terbaik ialah Salizan a/l Sadan dari SK Runchang, Pekan, Pahang yang telah membanggakan masyarakat di kampungnya dengan memperolehi 5A.
“Saya hanya bersekolah kampung tetapi saya ingin berjaya dalam pelajaran supaya keluarga saya boleh hidup senang di masa hadapan,” kata Salizan. “Saya juga mahu menunjukkan contoh teladan yang baik pada adik-beradik saya. Bapa saya, Sadan a/l Pendek, telah meninggal dunia dan kini saya tinggal bersama nenek dan ibu. Ketiadaan bapa bukanlah penghalang untuk saya maju dalam pelajaran malah menjadi motivasi kepada saya untuk berusaha dengan lebih gigih,” katanya lagi.
Salizan berterima kasih kepada empower ECER kerana telah memberi semangat kepada beliau untuk berusaha mencapai kejayaan. “Saya gementar memikirkan mengenai peperiksaan UPSR, tetapi mula berasa yakin apabila guru pengajar empower ECER terus memberi motivasi kepada saya. Mereka juga mengajar mengenai teknik-teknik belajar, kemahiran menggunakan ingatan dan hafalan, di samping mengadakan kem pembelajaran yang banyak membantu kami para pelajar,” jelasnya.
Pada tahun 2014, Program Latihan Akademik empower ECER mencatatkan penyertaan seramai 9,447 pelajar yang mendudukitiga peperiksaan utama, iaitu 3,204 pelajar UPSR, dan 2,712 pelajar PT3 dan 2,661 pelajar SPM.
empower ECER kini dikendalikan di 17 lokasi di seluruh ECER, iaitu Bentong, Temerloh, Raub, Lipis, Cameron Highlands, Kuala Pahang, Maran, Jerantut dan Rompin di Pahang Jeli; Bachok, Jeli dan Ketereh di Kelantan; Kemaman, Dungun, Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu; dan Mersing di Johor.
Sehingga kini, empower ECER telah mengubah kehidupan kira-kira 34,000 penduduk ECER, yang terdiri daripada 23,000 pelajar dan lebih daripada 11,000 peserta dewasa, sejak pelancaran projek perintisnya di Bentong, Pahang pada tahun 2010.
Pelajar-pelajar tesebut telah mencatatkan kelulusan peperiksaan 100%, dengan sebilangan daripada mereka memperolehi keputusan cemerlang. Di kalangan peserta dewasa, adalah dianggarkan sehingga 80% daripada mereka akan mendapat pekerjaan setelah menamatkan kursus mereka atau mempunyai pengetahuan praktikal yang mencukupi untuk memulakan perniagaan sendiri, dan juga berupaya menjana pendapatan di antara RM500 hingga RM1,500 sebulan, atau lebih.