PROJEK BERIMPAK TINGGI DAN PEMBASMIAN KEMISKINAN, FOKUS UTAMA UNTUK JANA PERTUMBUHAN DI KELANTAN

Pelancongan dan Pertanian Dikenal Pasti Sebagai Sektor Utama Untuk Memacu Kemajuan Sosioekonomi Negeri Kelantan

KELANTAN, 22 FEBRUARI 2021: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi dan program pembangunan modal insan bagi menjana pembangunan sosioekonomi di negeri Kelantan. Ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan, selaras dengan agenda nasional.

Kelantan mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di ECER dan kedua tertinggi di Malaysia. Semakan semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negeri Kelantan pada tahun 2020 daripada RM894 kepada RM2,139, dijangka akan meningkatkan jumlah isi rumah yang hidup di dalam kemiskinan dari 18,345 kepada 50,255. Manakala keseluruhan 16,712 Orang Asli di Kelantan tergolong dalam golongan miskin tegar.

“Dianggarkan lebih daripada 28,000 orang di Kelantan menganggur dan hampir separuh daripadanya adalah graduan. Inilah sebabnya pewujudan peluang pekerjaan dan keusahawanan tetap menjadi keutamaan kami di Kelantan. Walaupun pandemik ini memberi impak kepada matlamat ECERDC dalam jangka masa pendek, kami akan terus melaksanakan projek infrastruktur dan program pembangunan modal insan demi menjamin pertumbuhan jangka panjang negeri Kelantan. Usaha ini akan menjadi asas yang akan memudahkan tarikan pelaburan yang lebih besar ke negeri ini, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan yang diadakan hari ini.

Sektor utama yang telah dikenal pasti berpotensi untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang adalah pelancongan. Walaupun sempadan masih ditutup kepada pelancong asing, penambahbaikan infrastruktur di lokasi pelancongan utama akan meningkatkan daya tahan industri setelah sempadan dibuka kelak di samping menarik kedatangan pelancong domestik. Selain itu, ECERDC turut memberi fokus kepada sektor pertanian, terutamanya industri perikanan, tenusu dan daging, yang berpotensi tinggi untuk menjana pembangunan sosioekonomi.

 

PEMBANGUNAN PELANCONGAN

Teras bagi usaha pembangunan pelancongan di Kelantan adalah dengan penyediaan asas yang akan membolehkan kelangsungan kegiatan sosioekonomi bagi jangka masa panjang untuk rakyat, di samping mengekalkan budaya tempatan. Projek utama di bawah usaha ini adalah pembangunan semula Kampung Laut sebagai “Kampung Warisan”. Kampung Laut disasar menjadi pusat pelancongan warisan ikonik dan sebuah destinasi ‘mesti dikunjungi’ di Kelantan. ECERDC menyasarkan untuk menjadikan projek ini sebagai muzium hidup yang bukan sahaja akan meningkatkan aktiviti sosioekonomi melalui pelancongan, malah turut memelihara budaya dan tradisi kampung tempatan.

ECERDC sedang membangunkan dua buah kompleks komersial baharu berhampiran dengan Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun, iaitu Laman Warisan dan Laman Seni. Projek-projek ini dibangunkan untuk menarik dan memenuhi keperluan pelancong di lokasi tersebut. Kompleks tersebut akan menyediakan ruang niaga bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menyajikan makanan tradisional tempatan seperti serunding Kampung Laut yang terkenal, barang-barang kraf dan cenderamata kepada pengunjung. Laman Warisan yang dijangka siap pada Mei 2021 akan mewujudkan  peluang perniagaan kepada 11 pengusaha tempatan, manakala Laman Seni yang dijangka siap pada Januari 2022 pula akan mempamer dan menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan oleh 12 PKS.

Projek utama lain yang sedang dibangunkan adalah pembangunan Pasar Terapung Pulau Suri. Projek ini dijangka akan menarik lebih ramai pelancong ke pasar terapung seperti yang terdapat di negara Thailand tersebut dan akan turut akan memberi manfaat kepada peniaga tempatan. Skop projek merangkumi pembinaan platform pasar dan jeti, medan selera tertutup dan kerja-kerja infrastruktur awam lain.

 

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR

Projek infrastruktur yang meningkatkan kesalinghubungan akan membuka peluang ekonomi baharu di Kelantan dan merealisasikan potensi negeri ini. Kelantan bakal menerima manfaat daripada lima projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Projek-projek tersebut adalah Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), Central Spine Road (CSR) yang merangkumi jalan raya Kota Baru-Kuala Krai, penaiktarafan jalan Pasir Puteh-Machang-Jeli, peluasan dan penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan pembinaan jambatan Palekbang. Projek-projek pencetus perubahan (game changer) ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesalinghubungan antara Kelantan dengan negeri lain, malah ia juga akan mencetuskan kesan riak (ripple effect) ekonomi di kawasan-kawasan di sepanjang jalan tersebut.

 

PERTANIAN

Pertanian adalah fokus ekonomi utama di negeri ini sejajar dengan inisiatif keselamatan makanan negara. Antara projek yang akan mendorong aktiviti tambah nilai dan membuka peluang keusahawanan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat adalah Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP). Projek ini akan mewujudkan kemudahan bersepadu yang akan membuka peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghasilkan produk hiliran seperti produk berasaskan ikan bernilai tinggi seperti pemprosesan udang, produk sejuk beku, pengetinan ikan dan penghasilan serta pengeluaran produk berasaskan surimi.

Bagi terus mendorong perkembangan sektor pertanian, ECERDC bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, pelabur swasta, serta pihak berkepentingan lain untuk membangunkan Lembah Tenusu Kelantan, dengan tujuan mereplikasi kejayaan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah di Rompin, Pahang.

 

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Pembangunan modal insan di Kelantan kekal menjadi keutamaan kepada ECERDC untuk membantu rakyat menyesuaikan diri dan bertahan dalam realiti ekonomi baharu, akibat pandemik dan peningkatan jumlah isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan berikutan peningkatan PGK. Program pembangunan modal insan ECERDC dilaksanakan menerusi dua asas yang selari; menangani keperluan semasa bagi penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dalam ekonomi yang pantas berubah, dan juga keperluan untuk mencegah kemiskinan di masa hadapan. Penekanan diberikan kepada program latihan dengan mengambil kira jangkaan keperluan masa hadapan seperti digitalisasi dan kemahiran Industri 4.0 (IR4.0) demi meningkatkan kebolehpasaran rakyat.

Bagi menangani impak pandemik COVID-19, ECERDC telah mengembangkan Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) di bawah PENJANA-ECERDC untuk menyokong para pelabur dan rakyat yang terkesan dengan pandemik ini untuk jangka pendek. Program ETEP ‘Train & Place’ menawarkan beberapa kursus teknikal bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri melalui penempatan pekerjaan yang dijamin sebelum latihan bermula. ECERDC menyasarkan untuk melatih 5,000 orang di bawah program ini dan sehingga kini, 989 peserta telah berjaya mendapat penempatan pekerjaan. Peserta selebihnya dijangka melengkapkan program ini menjelang Mei 2021.

ECERDC turut membangunkan usahawan menerusi program empower ECER. Seramai 2,393 usahawan baharu telah diwujudkan dan dilatih dengan kemahiran seperti simpan kira dan digitalisasi. Seramai 96% daripada mereka telah pun menggunakan platform digital untuk meningkatkan penjualan. Selain itu, ECERDC juga membantu para peserta mendaftarkan perniagaan mereka. Di bawah program entrepreneur ECER, seramai 4,081 usahawan telah dibantu untuk meningkatkan perniagaan masing-masing melalui peningkatan kualiti pengeluaran, pembungkusan, penjenamaan dan pensijilan. Para usahawan ini telah mencipta kira-kira 8,000 pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam komuniti mereka.

 

PELABURAN

Bagi tahun 2021, ECERDC menyasarkan untuk menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion yang dijangka dapat menjana 2,300 peluang pekerjaan dan 270 peluang keusahawanan.

Untuk meningkatkan momentum pelaburan ke Kelantan, ECERDC akan meneruskan libat urus bersama pelbagai dewan perdagangan, selain daripada usaha promosi bersama institusi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) yang menumpukan kepada sektor fokus. ECERDC juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan strategi pelaburannya melibatkan kluster ekonomi utama yang dikenal pasti (untuk Kelantan), yang merangkumi industri perniagaan tani, pelancongan dan industri berasaskan sumber.

Projek-projek strategik yang sedang dilaksanakan dan sedang dirancang akan melengkapkan usaha mempromosi pelaburan ke Kelantan kerana projek-projek seperti ini merupakan antara faktor utama yang dipertimbangkan dalam membuat keputusan pelaburan.

 

KESIMPULAN

“ECERDC kekal komited untuk meningkatkan prospek ekonomi dan taraf hidup rakyat di Kelantan menerusi pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi dan program transformasi yang akan mendorong promosi pelaburan, membangunkan infrastruktur awam Kelantan dan memperkasakan rakyat melalui usaha pembangunan modal insan,” kata Encik Baidzawi.