MERSING, JOHOR, 21 OGOS 2016: Para pelancong yang bercuti di Mersing dan pulau-pulau yang berhampiran akan berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan dan kemudahan di Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) yang bakal dibina di Pulau Besar. Para pengunjung ke pusat ini bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang keistimewaan pulau-pulau di Taman Laut Sultan Iskandar serta kisah dongeng di sebalik setiap pulau, malah mereka juga berpeluang menikmati pelbagai kemudahan awam yang bakal disediakan di sini.
Selaras dengan konsep “Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang” (Rainforest to Reef atau secara ringkasnya, ‘R2R’), pusat yang bakal dibina ini turut berfungsi sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (Rural Transformation Centre ataupun RTC) bagi gugusan kepulauan di Mersing dengan menawarkan pelbagai khidmat dan kemudahan awam di bawah satu bumbung. Ini termasuklah kemudahan kaunter informasi, pusat pameran, surau, klinik, balai polis dan juga kafeteria di pulau yang cantik ini. Selain itu, para penduduk tempatan akan turut mendapat kemudahan perkhidmatan agensi kerajaan seperti Majlis Daerah Mersing dan Jabatan Laut Wilayah Selatan di RTC.
“PIPTLSI dan pembinaan prasarana yang baru mencerminkan komitmen kukuh kami ke arah membangunkan Mersing menjadi pusat pelancongan serantau. Mersing serta gugusan pulau yang berhampiran amat sesuai dijadikan pusat ekopelancongan yang hebat, mengikut konsep R2R yang menyatukan semua produk, aset dan pembangunan dari Taman Negara Endau-Rompin hinggalah ke kawasan pantai, pulau dan terumbu karang di perairan Mersing,” kata Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
“Selain itu, PIPTLSI juga akan menyediakan satu landasan yang akan membolehkan cerita-cerita rakyat tentang kehidupan di pulau-pulau, kisah-kisah dongeng serta legenda dapat disampaikan yang menambahkan lagi daya tarikan untuk para pelancong mengunjungi Mersing dan pulau-pulau yang berhampiran,” tambah beliau lagi.
Pelaksanaan projek PIPTLSI telah dilancarkan hari ini oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada acara “Kembara Mahkota Johor Jelajah Pulau-Pulau Daerah Mersing 2016”.
Pembangunan PIPTLSI adalah sebahagian daripada pelan pelaksanaan strategik ECERDC dan Kerajaan Negeri Johor untuk membangunkan Mersing sebagai destinasi pelancongan utama. Kerja-kerja pembinaan PIPTLSI dijangka bermula pada bulan Mac 2017 dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2018.
ECERDC turut bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor (UPEN Johor) untuk membina dan menambahbaik prasarana asas di Mersing dan lima buah pulau yang berhampiran, iaitu Pulau Besar, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Tinggi.
Selaras dengan usaha pembangunan pelancongan mampan, kerja-kerja penaiktarafan prasarana serta projek pembinaan di tiga buah pulau iaitu Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Tinggi telah pun siap. Pembinaan jeti baru di Pulau Pemanggil dijangka akan bermula pada bulan Mac 2017 manakala kerja-kerja untuk menaik taraf bekalan air akan dilaksanakan di Pulau Besar, Pulau Aur dan Pulau Sibu.
Manakala di tanah besar pula, beberapa projek seperti program Inap Desa Mersing (Mersing Homestay), pembangunan dan menaik taraf kemudahan perikanan rekreasi di Tanjung Penyabong serta menaik taraf prasarana jalan raya telah pun dilaksanakan. Projek-projek ini bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong, malah turut meningkatkan tahap pendapatan penduduk setempat dan juga masyarakat Orang Asli.
Sebanyak RM29 juta telah diperuntukkan oleh ECERDC untuk menaik taraf prasarana dan kemudahan di gugusan kepulauan Mersing bagi menyokong program pembangunan pelancongan dan juga untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 1,710 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan modal insan di kalangan masyarakat tempatan bagi memastikan mereka memiliki kemahiran dan keyakinan diri yang tinggi untuk merebut pelbagai peluang yang menanti warga Mersing.
Sehingga kini, seramai 2,300 orang penduduk Mersing telah menerima manfaat daripada program modal insan ECERDC, iaitu program empower ECER dan entrepreneur ECER. Ini termasuklah seramai 1,500 orang pelajar melalui program Latihan Akademik, 718 orang melalui program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan 130 orang bawah latihan entrepreneur ECER. Dianggarkan 98% daripada para peserta terangkum dalam kategori pendapatan B40 atau ke bawah.