‘RAINFOREST DISCOVERY CENTRE’ (RDC) PETA DI TAMAN NEGARA JOHOR ENDAU-ROMPIN SIAP SEPENUHNYA DAN DISERAHKAN KEPADA TAMAN NEGARA JOHOR
Lembah Tenusu Jemaluang (JDV), Projek Lembah Tenusu Kedua ECERDC Capai Tahap 75% dan Dijadual Siap pada September 2025
MERSING, 29 APRIL 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencipta satu lagi destinasi dengan menaik taraf kemudahan pelancongan di Taman Negara Johor Endau-Rompin (TNJER) dengan siapnya ‘Rainforest Discovery Centre’ Peta (RDC Peta) yang telah diserahkan kepada Taman Negara Johor. RDC Peta telah menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 18 April 2024 sebelum majlis penyerahan dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2024.
RDC Peta merupakan pusat informasi hutan hujan kedua yang dibangunkan oleh ECERDC selepas RDC Kinchin di Taman Negeri Rompin yang telah siap pada tahun 2019. RDC Peta menempatkan kompleks pelawat, pejabat pengurusan, tandas awam, surau, dewan serbaguna dan kafeteria. Ia akan menjadi pusat sehenti untuk pengunjung mendapatkan maklumat sebelum meneroka dan menjalankan aktiviti di TNJER, yang merupakan antara tarikan eko-pelancongan terkemuka di negara ini.
Pada masa yang sama, ECERDC sedang menaik taraf jalan Taman Negara Johor Endau-Rompin (TNJER) dari Kahang ke Sungai Emas, yang dijadualkan siap pada bulan Oktober 2025. Apabila siap kelak, jalan ini akan meningkatkan kesalinghubungan ke Kampung Peta, meningkatkan akses kepada penduduk tempatan dan pelancong, seterusnya memacu pertumbuhan dalam sektor eko-pelancongan di TNJER.
Menteri Besar Johor YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi semasa mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor yang diadakan di projek inap desa ECERDC, Kampungstay@Teluk Buih di sini, hari ini, berkata, beliau menghargai peranan ECERDC dalam mewujudkan destinasi baharu bagi merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar dan memperkasakan tarikan lokasi pelancongan sedia ada di Mersing.
“Sektor pelancongan merupakan nadi pertumbuhan penting di Mersing, dan projek infrastruktur yang telah siap dilaksanakan oleh ECERDC termasuk Mersing Harbour Centre, Medan Ikan Bakar Endau, pembangunan Tanjung Penyabong Waterfront, serta pembinaan dan penaiktarafan kemudahan awam seperti jeti dan laluan pejalan kaki di Pulau Aur, Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil telah menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan dan pertumbuhan sosioekonomi penduduk di Mersing. Usaha ECERDC adalah selaras dengan penjenamaan daerah Mersing, ‘Naturally Splendid’ dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030,” kata YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Ahli Jawatankuasa ICC Johor; YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor; YBrs TPr Saidin bin Lateh, Pengarah PLANMalaysia @Johor; dan YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
“Mersing merupakan destinasi pelancongan istimewa yang akan menjadi pintu masuk utama pelancongan pantai dan pulau. ECERDC akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Johor untuk memanfaatkan keunikan daerah Mersing dan potensi eko-pelancongan pantai bagi menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan. Kemasukan Segamat secara rasmi ke dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mulai Januari 2024 juga akan membawa pertumbuhan positif dalam sektor pelancongan di daerah ini,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat tersebut.
Selepas Mesyuarat ICC Johor, YAB Menteri Besar Johor dan Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Johor telah melawat Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dalam satu lawatan kerja bagi memantau kemajuan projek lembah tenusu kedua ECERDC yang telah mencapai 75% siap. Projek JDV dijangka siap pada bulan September 2025 dan apabila beroperasi sepenuhnya, ia akan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan dengan penghasilan 5.4 juta liter susu segar selepas tiga (3) tahun beroperasi, pada masa yang sama menyumbang kepada Tahap Sara Diri (SSL) dan mengurangkan pergantungan negara kepada susu segar import dan produk tenusu. Projek ini dijangka mewujudkan 30 petani satelit dan 100 peluang pekerjaan.
Selain JDV, satu lagi projek perniagaan tani ECERDC iaitu Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) yang diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada tahun lepas telah menarik minat tiga (3) penyewa dengan pelaburan berjumlah RM6.5 juta. Dua (2) syarikat telah mula beroperasi di EMFPP dan syarikat ketiga dijangka mula beroperasi pada Julai 2024.
Semasa mesyuarat hari ini, Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Johor turut diberi taklimat mengenai pelaburan di Mersing dari tahun 2008 hingga tahun 2024. Usaha ECERDC untuk memudahcara kemasukan pelaburan, fasilitasi end-to-end dan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM826 juta yang mencipta lebih 3,200 peluang pekerjaan dan lebih 1,500 peluang keusahawanan. Bagi tahun 2024, ECERDC menyasarkan untuk menarik pelaburan komited berjumlah RM100 juta ke daerah Mersing dan Segamat.
Ahli-ahli Jawatankuasa ICC Johor juga telah dimaklumkan tentang perkembangan kajian kebolehlaksanaan pemecah ombak Mersing, cadangan projek pembangunan muara Sungai Mersing, projek fertigasi cili skala komersial di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INTAN) di Segamat serta rancangan pembangunan keseluruhan untuk daerah Segamat yang terdiri daripada projek dalam sektor pertanian, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.
TAMAT