SIDANG KEMUNCAK SDG MALAYSIA 2024 WILAYAH TIMUR PUPUK KESEDARAN INISIATIF SDG DI ECER

Penganjuran Sidang Kemuncak SDG Edisi Wilayah Timur Buktikan Komitmen ECERDC Terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

KUALA TERENGGANU, 19 MEI 2024 – Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024: Wilayah Timur, yang dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, telah melabuhkan tirainya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024: Wilayah Timur bertemakan ‘SDGs Local Actions for Inclusive, Sustainable and Resilient Malaysia’ mengetengahkan pendekatan holistik oleh ECERDC untuk meningkatkan kesedaran berkenaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kalangan rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), menerusi projek-projek dan program-program ECERDC yang selari dengan matlamat SDG.

Sidang kemuncak tersebut bermula dengan penganjuran tiga acara pra-persidangan bagi meningkatkan kesedaran tentang SDG di Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat, Kelantan, Tasik Chini di Pekan, Pahang, KampungStay@Teluk Buih di Mersing, Johor, serta satu lawatan teknikal ke Setiu Wetlands.

“Kerajaan Negeri Terengganu berbesar hati kerana telah sebahagian daripada inisiatif SDG di peringkat nasional kerana ini adalah selari dengan misi memacu pembangunan negeri secara mampan. Agenda kelestarian merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan penting di Terengganu yang kaya dengan sumber alam, aset semula jadi serta warisan budaya. Oleh itu, peralihan ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan akan membolehkan pemeliharaan alam sekitar serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan pada masa yang sama,” kata YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, dalam ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja.

“Penganjuran Sidang Kemuncak SDG Wilayah Timur membuktikan komitmen dan pendirian ECERDC dalam mencapai matlamat pembangunan mampan. Matlamat kami adalah untuk menjadikan ECER sebuah wilayah yang ‘Distingtif, Dinamik dan Berdaya Saing’ dan ini dizahirkan menerusi setiap projek dan program ECERDC yang sentiasa mengutamakan aspek kelestarian, perlindungan alam sekitar serta pemeliharaan seni, budaya, dan warisan,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Turut hadir di sidang kemuncak tersebut adalah YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; YB Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; YBhg. Dato’ Luqman Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi; YBrs. Tuan Haji Ahmad Azizi bin Zulkifli, Pegawai Daerah Kuala Nerus dan Madam Karima El Korri, Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Sidang kemuncak yang diadakan di UniSZA hari ini menarik lebih daripada 500 peserta. dengan lima ucaptama, empat sesi perkongsian pakar serta bengkel oleh Youth Environmental Living Lab (YELL), sebuah program oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan UNICEF dengan kerjasama Amanah Lestari Alam (ALAM) dan Kesatuan Eropah (EU). Sidang kemuncak ini juga menampilkan pameran oleh usahawan ECER, demonstrasi kraftangan, serta pameran kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan rekreasi (RV).

Antara topik yang dibentangkan oleh para penceramah termasuk ‘Wilayah ECER – Arah Tuju ke arah Pembangunan Mampan’, ‘Pelan Pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia: Pencapaian dan Prospek Masa Depan serta ‘Charting the Course to 2030: Assessing Global SDG Progress and the Imperative for Collective Action’.

Sesi-sesi dialog pula telah membincangkan pelbagai cabaran yang dihadapi di rantau ECER serta hasil usaha kolaboratif dalam memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. Topik lain yang dibincangkan dalam sidang kemuncak tersebut juga adalah ‘Kesaksamaan Gender’ di mana ahli panel membincangkan berkenaan tentang masyarakat yang adil dan saksama. Ini termasuk meningkatkan kesedaran tentang kesaksamaan gender dan mewujudkan ruang untuk perkongsian perspektif dan pengalaman serta mengenal pasti cabaran dan penyelesaian.

Ketiga-tiga acara pra-persidangan ECERDC pula menumpukan kepada elemen pembangunan mampan di setiap lokasi. Acara pra-persidangan pertama diadakan pada 3 Mei 2024 di Laman Warisan Kampung Laut bertujuan untuk menarik perhatian terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan Masjid Kampung Laut yang berusia 400 tahun serta pemindahan masjid tersebut ke tapak asal yang merupakan fokus SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) melibatkan perlindungan warisan budaya dan alam semula jadi, serta SDG 8 (Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi) yang  menggalakkan pelancongan bermanfaat dan mampan.

Acara pra-persidangan yang kedua pula diadakan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC) di Tasik Chini, Pekan, Pahang memfokuskan kepada SDG 14 (Kehidupan di dalam Air) yang bertujuan melindungi dan memulihkan ekosistem dan SDG 15 (Kehidupan di Darat) yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan biodiversiti dan habitat semula jadi. Para peserta diberikan pendedahan tentang kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan rizab biosfera Tasik Chini sambil memastikan hubungan masyarakat Orang Asli dengan ekosistem Tasik Chini terpelihara.

Acara pra-persidangan yang ketiga dan terakhir bertemakan “Tindakan Iklim dalam Mengurangkan Kesan Perubahan Iklim” diadakan di KampungStay@Teluk Buih, Mersing, Johor yang dianjurkan dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang disokong oleh Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Tengah Island Conservation (TIC) dan Reef Check Malaysia. Acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai SDG 11, SDG 12, SDG 13, dan SDG 14, dengan memberi fokus kepada usaha mengurangkan kesan alam sekitar bandar per kapita, menggalakkan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan, membina pengetahuan dan kapasiti untuk mencapai sasaran perubahan iklim serta melindungi dan memulihkan ekosistem.

ECERDC juga telah menganjurkan lawatan teknikal ke Setiu Wetlands bersama Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN), UNDP dan Majlis Daerah Setiu yang memberi pendedahan tentang aset semula jadi di Wilayah ECER yang mempunyai ekosistem yang pelbagai termasuk hutan hujan tropika, sungai, tasik, tanah lembap dan habitat marin. Setiu Wetlands dipilih kerana ia mempunyai antara ekosistem bakau yang terbaik di Malaysia.

Antara aktiviti semasa lawatan tersebut termasuk menelusuri laluan bakau, penanaman pokok bakau serta lawatan ke Rumah Botol di mana para peserta mempelajari kepentingan kitar semula dan pemeliharaan pantai. Para peserta juga telah melawat Kampung Pelancongan Mangkok, di mana mereka berpeluang mempelajari cara membuat kraf tangan tradisional dan menyaksikan demonstrasi memasak juadah tempatan seperti satar dan keropok lekor.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia terdiri daripada siri sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Koridor Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri. Sidang kemuncak ini telah dianjurkan mengikut wilayah dengan sidang pertama diadakan di Wilayah Selatan pada bulan Ogos tahun lepas, diikuti oleh Wilayah Utara, Sabah dan Sarawak. Sidang Kemuncak yang terakhir dalam siri ini di Wilayah Timur akan membuka laluan kepada Sidang Kemuncak SDG Kebangsaan 2024 anjuran Kementerian Ekonomi pada bulan Ogos 2024. Sidang kemuncak peringkat kebangsaan ini akan menjadi platform untuk Malaysia mempamerkan inisiatif dan pencapaian negara secara keseluruhan dalam SDG.

-TAMAT-

MENGENAI ECER AND ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

MENGENAI MALAYSIA SDG SUMMIT 2024: WILAYAH TIMUR

Malaysia terus komited dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030, yang merangkumi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Kementerian Ekonomi telah diberikan mandat untuk meneraju dan menyelia pelaksanaan SDG di seluruh negara.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2023-2024 adalah satu siri persidangan bertemakan ‘SDGs Local Actions for Inclusive, Sustainable and Resilient Malaysia’ yang dijalankan secara berfasa melibatkan wilayah-wilayah dalam negara ini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor serta Kerajaan Negeri. Persidangan ini telah diadakan di Wilayah Selatan, Wilayah Utara, serta Sabah dan Sarawak. Sidang Kemuncak Wilayah Timur, anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), merupakan edisi terakhir di peringkat serantau, membuka jalan kepada Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Jun atau Julai 2024.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media,
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
Emel: mazlinda@ecerdc.com.my