KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2014: Kerajaan, melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), telah menjalin usahasama dengan kumpulan perbankan terbesar di tanahair, Maybank / Maybank Islamic Berhad, bagi menyediakan bantuan pembiayaan kewangan untuk usahawan tempatan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank tersebut, ECERDC akan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi menampung kadar faedah atau keuntungan pinjaman yang dikenakan, sementara Maybank akan menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk pembiayaan perniagaan. Skim ini dijangka akan memberi manfaat kepada 2,000 usahawan mikro dan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing menjelang akhir 2015.
Usahasama tersebut akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan, di mana ia dijangka akan memanfaatkan sebanyak 6,000 usahawan di ECER menjelang 2020.
Sesi pertukaran dokumen perjanjian usahasama tersebut merupakan acara kemuncak di Majlis Pengumuman Pelaburan ECER Untuk Suku Keempat 2014 yang berlangsung di bangunan Parlimen, susulan Mesyuarat Kedua Majlis ECERDC untuk 2014 yang berlangsung di sini hari ini.
Majlis tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak yang juga merupakan Pengerusi ECERDC. ECERDC diwakili oleh Ketua Pengawai Eksekutifnya Y.Bhg Dato’ Issace Jebasingam John, sementara Maybank diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Y.Bhg. Datuk Abdul Farid Alias.
Program-program pembangunan modal insan yang dilaksanakan ECERDC seperti entrepreneur ECER, empower ECER, Agropolitan, Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) dan Suri@Home telah berjaya memberi manfaat kepada hampir 37,000 rakyat dan juga mewujudkan lebih 8,000 usahawan di ECER setakat ini, di mana 62% daripadanya adalah golongan wanita.
Pelaksanaan Skim Keusahawanan ECER-Maybank ini dijangka akan meningkatkan jumlah usahawan baru di ECER, mempertingkatkan pendapatan bulanan usahawan mikro dan PKS, serta memperkukuhkan keupayaan mereka untuk mengembangkan perniagaan masing-masing. Ini adalah sejajar dengan Program Trransformasi Kerajaan yang bertujuan mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di seluruh negara.
Skim Keusahawanan ECER-Maybank ini merupakan program baharu yang diperkenalkan di bawah program entrepreneur ECER yang telah dilaksanakan oleh ECERDC sejak tahun 2011. Program entrepreneur ECER merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan tujuan untuk membangunkan golongan usahawan di Wilayah tersebut. Selain Maybank, ECERDC turut menjalankan kerjasama dengan pihak Agrobank dan SIRIM Berhad di bawah program yang sama, yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 1,365 usahawan lagi di ECER.
Skim Keusahawanan ECER-Maybank ini akan mula dilaksanakan pada bulan ini dan menawarkan empat jenis bantuan pembiayan, iaitu Jaminan Portfolio PKS (SME Portfolio Guarantee-i), Pembiayaan Aset Perniagaan PKS (SME Property Business Financing-i), Pembiayaan-Mikro Untuk PKS (SME Micro Financing) dan Pembiayaan-Mikro Peruncitan (Retail Micro Financing). Skim Pembiayaan-Mikro Peruncitan adalah unik kerana ia ditawarkan khusus untuk usahawan wanita, dengan pinjaman maksima sebanyak RM10,000. Bagi tiga lagi bentuk pinjaman yang ditawarkan, jumlah pembiayaan adalah antara RM20,000 hingga RM500,000.
Di bawah skim ini, ECERDC akan menampung (“topping up”) sehingga 50% daripada kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan di bawah skim-skim pembiayaan tersebut, sekaligus membolehkan para usahawan menikmati kadar pembayaran semula pinjaman yang lebih rendah.
Untuk memohon mendapatkan kemudahan pinjaman tersebut, perniagaan yang terlibat mestilah beroperasi di ECER. Lain-lain syarat permohonan ialah para usahawan mestilah menjalankan perniagaan mereka secara penuh masa, perniagaan hendaklah berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan dan 51% ekuiti perniagaan mestilah di bawah pegangan rakyat Malaysia. Para usahawan yang berminat bolehlah menghubungi ECERDC atau mengunjungi mana-mana cawangan Maybank di Kelantan, Terengganu, Pahang atau Mersing.
ECERDC dan Maybank akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi mempromosikan skim ini kepada orang ramai, bermula bulan November ini.
Pada majlis ini, ECERDC turut mengumumkan bahawa pada suku keempat 2014, ECER telah berjaya memperolehi komitmen pelaburan baharu bernilai RM3.57 bilion daripada 16 buah syarikat, di mana lapan daripada syarikat-syarikat tersebut merupakan syarikat yang mendapat manfaat dari inisiatif Kerajaan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera atau TERAJU.
Sehingga kini, sebanyak 29 syarikat di ECER dengan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM646.5 juta, telah mendapat manfaat daripada Dana Mudahcara TERAJU bernilai RM84.1 juta, sementara 65 syarikat di ECER pula telah dikenalpasti sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS).
Majlis pada hari ini turut menyaksikan pengumuman perlantikan tiga syarikat induk yang akan mengendali dan menguruskan projek-projek pertanian komersil berskala besar di ECER. Syarikat-syarikat tersebut terdiri daripada The Holstein Milk Company Sdn Bhd, CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd dan Genetic Improvement and Farm Technologies Sdn Bhd (GIFT).
The Holstein Milk Company Sdn Bhd dilantik sebagai syarikat induk bagi Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) yang dibina oleh ECERDC di Pahang. The Holstein Milk Company akan melabur sebanyak RM30 juta untuk mengendali dan menguruskan MSCRIC, dan projek ini dijangka akan dapat mewujudkan seramai 100 peladang satelit (satellite farmers) sebagai sebahagian dari rangkaian sokongan operasinya.
CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd akan melabur, mengendali dan menguruskan projek Pembangunan Kelompok Herba Bersepadu ECER di Chegar Perah, Pahang. Syarikat tersebut akan melabur sejumlah RM20 juta menjelang 2020 dalam projek penanaman pelbagai produk helbal. Projek ini dijangka akan dapat mewujudkan sejumlah 36 petani kontrak dan usahawan di kalangan penduduk tempatan, yang berpotensi memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.
Genetic Improvement and Farm Technologies Sdn Bhd (GIFT)dilantik sebagai syarikat induk bagi Pusat Pembiakbakaan & Inovasi Bebiri Kuala Berang yang dibina oleh ECERDC di Terengganu. Syarikat tersebut akan melabur sejumlah RM10 juta bagi memperkukuh dan membangunkan program pembiakan biri-biri yang efisyen dan lestari.
Sejak 2007 sehingga kini, ECER telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM72.26 bilion, yang telah mewujudkan 73,281 peluang pekerjaan untuk rakyat. Jumlah pelaburan tersebut merupakan 66% daripada sasaran pelaburan ECER sebanyak RM110 bilion menjelang tahun 2020.
Negeri Pahang mendahului dari segi nilai pelaburan, dengan pelaburan bernilai RM35.23 bilion, diikuti Terengganu dengan RM24.24 bilion, Kelantan RM11.17 bilion dan Mersing RM1.61 bilion.