KUANTAN, Sabtu 4 April 2015: Syarikat hartanah dan pembinaan terkemuka IJM Land Berhad dan Sime Darby Property Berhad hari ini diumumkan sebagai rakan kongsi baru bagi Konsortium Malaysia dalam membangunkan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed mengumumkan demikian ketika melakukan lawatan kerja ke MCKIP di sini hari ini. Semasa lawatan tersebut, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan kerja-kerja yang sedang dijalankan di tapak projek MCKIP oleh YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan juga oleh para pegawai dari Alliance Steel (M) Sdn Bhd dan Malaysia-China Kuantan Industrial Park Sdn Bhd (MCKIPSB).
“Sebagai Pemaju Induk MCKIP, MCKIPSB memainkan peranan penting dalam membina infrastruktur utama di taman industri ini dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh pelabur-pelabur di MCKIP. Saya berasa amat gembira dengan perkembangan terkini MCKIP,” kata YB Dato’ Sri Mustapa.
MCKIP merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan secara bersama oleh Malaysia dan China dan dianugerahkan status “Taman Perindustrian Nasional”. Bersama-sama dengan taman berkembarnya di China, China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP), kedua-dua taman ini telah diisytiharkan oleh kedua-dua kerajaan sebagai “Projek Ikonik bagi Kerjasama Pelaburan Dua Hala” yang akan menggerakkan pembangunan kluster perindustrian di kedua-dua negara.
MCKIPSB merupakan usahasama 51:49 antara sebuah Konsortium Malaysia dengan sebuah Konsortium China. IJM Land mempunyai 40 peratus ekuiti dalam Konsortium Malaysia yang dikenali sebagai Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd, sementara Sime Darby Property memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus. Baki 30 peratus ekuiti dimiliki oleh kerajaan negeri Pahang.
Baki 49 peratus dalam MCKIPSB dimiliki oleh Konsortium China, yang diterajui konglomerat milik kerajaan Guangxi Beibu Gulf International Port Group dengan kepentingan 95 peratus ekuiti. Selebihnya iaitu 5 peratus dipegang oleh Qinzhou Investment Company.
“Dengan sokongan dan komitmen daripada kedua-dua pihak Kerajaan Malaysia dan China serta penglibatan sektor swasta, kami yakin dengan kejayaan projek MCKIP dan CMQIP. Taman-taman tersebut akan menjadi bukti hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara,” tambah Dato’ Sri Mustapa lagi.
Beliau berkata bahawa penyertaan IJM Land dan Sime Darby Property dalam pembangunan MCKIP merupakan perkembangan yang penting dalam pembangunan MCKIP. “Kedua-dua syarikat tersebut mempunyai kelayakan kukuh sebagai pemaju utama dan mereka juga merupakan nama-nama terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.
MCKIP setakat ini telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM9.7 bilion, manakala kerja-kerja pembinaan bagi infrastruktur utama yang dijalankan oleh ECERDC dan pembinaan sebuah kilang keluli bersepadu oleh Alliance Steel (M) Sdn Bhd juga sedang giat berjalan.
Alliance Steel (M) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Co Ltd dari China, melabur sebanyak RM4.2 bilion untuk membina sebuah kilang keluli bersepadu moden di lokasi seluas 710 ekar di MCKIP. Kilang tersebut, yang akan menghasilkan keluli karbon tinggi dan keluli berbentuk H, dijangka beroperasi pada 2017, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3.5 juta tan.
Di samping itu, Guangxi Beibu Gulf International Port Group dan IJM Corporation Berhad akan melabur sebanyak RM3 bilion dalam projek perluasan Pelabuhan Kuantan. MCKIPSB turut memberikan komitmen pelaburan sebanyak RM2.5 bilion. Pelaburan-pelaburan di MCKIP dijangka akan mewujudkan lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan baru menjelang 2020, kata Datuk Seri Issace.
Industri sasaran MCKIP merangkumi industri-industri yang memfokuskan kepada teknologi-teknologi yang menjimatkan tenaga dan mesra alam, tenaga alternatif dan boleh diperbaharui, serta pengeluaran peralatan premium dan pembuatan bahan berteknologi tinggi.
Untuk menarik minat industri-industri strategik yang baharu ke MCKIP, ECERDC sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri Pahang untuk mempromosikan MCKIP kepada para pelabur berpotensi.
MCKIP telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 2013 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan TYT Jia Qinlin, Pengerusi, Chinese People’s Political Consultative Conference, Republik Rakyat China. China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk tempoh lima tahun berturut-turut. Pada 2014, jumlah perdagangan antara China dan Malaysia adalah berjumlah USD102 bilion. Sasaran MITI adalah untuk meningkatkan perdagangan dua hala sehingga USD160 bilion menjelang 2017.
Perluasan Pelabuhan Kuantan untuk menjadi sebuah pelabuhan laut dalam yang dijangka siap menjelang 2016, akan membantu meningkatkan kedudukannya sebagai laluan yang terpantas dan laluan secara terus antara Malaysia dan pelabuhan-pelabuhan di wilayah Timur China. Kejayaan projek ini juga akan menyaksikan bandar Kuantan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perindustrian dan logistik bersepadu untuk wilayah ECER.