KUALA LUMPUR, 31 Mei 2016: Malaysia dan China telah memperkasakan lagi komitmen masing-masing ke arah mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala, berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara para pelabur dari kedua-dua buah negara yang dijangka bakal meningkatkan lagi jumlah pelaburan dua hala.
MoU yang ditandatangani mengesahkan daya tarikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai sebuah hab pelaburan antarabangsa. Ini termasuklah perjanjian antara dua pelabur baru dari China dan Malaysia yang telah memberi komitmen untuk melabur sebanyak RM1.58 bilion (USD395 juta) di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang merangkumi Pelabuhan Kuantan, Kuantan, Gambang dan Pekan, Pahang. Dengan usaha sama yang terbaru ini, jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk kini meningkat kepada RM15.08 bilion (USD3.77 bilion).
Antara pelabur yang baru termasuklah Guangxi Investment Group Co., Ltd., yang akan melabur sebanyak RM580 juta (USD145 juta) untuk membina kilang pengeluaran komponen aluminium dan LJ Hightech Material Sdn. Bhd., yang akan melabur sebanyak RM1 bilion (USD250 juta) untuk membina sebuah pusat pengeluaran berasaskan teknologi tinggi bagi menghasilkan panel konkrit untuk industri pembinaan dan serbuk getah yang diaktifkan. Kerja-kerja pembinaan untuk projek-projek ini di MCKIP dijangka bermula secara berperingkat pada suku pertama 2017. Apabila siap kelak, projek ini dijangka akan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.
Majlis menandatangani MoU telah diadakan semasa Persidangan Promosi Pelaburan Ke-2 untuk “Dua Negara, Dua Taman” Malaysia-China yang diadakan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia. Persidangan tersebut telah dianjurkan bersama oleh MITI, Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Majlis Perniagaan Malaysia-China dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). ECERDC telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John. Persidangan Promosi Pelaburan “Dua Negara, Dua Taman” Malaysia-China yang pertama telah dianjurkan pada 19 September 2015 di Nanning, China.
Majlis menandatangani perjanjian hari ini telah disaksikan oleh YB Dato’ Seri Ong Ka Chuan, Menteri Kedua MITI; YBhg. Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China, dan TYT Encik Zhang Xiaoqin, Naib Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.
“Minat yang tinggi para pelabur terhadap MCKIP dan taman kembarnya, Taman Industri Qinzhou China-Malaysia (CMQIP), menunjukkan kerjasama erat sudah sekian lama wujud antara kedua-dua buah negara dalam memacu pertumbuhan ekonomi di rantau ini. Kami percaya bahawa dengan pelaburan yang berterusan terhadap pembangunan kedua-dua taman berkembar yang menjadi komponen penting dasar ‘Lingkaran Darat, Laluan Laut’ atau ‘One Belt One Road’ negara China, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China akan bertambah kukuh,” kata Datuk Seri Jebasingam Issace John.
“Hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua buah negara ini akan membantu menarik lebih ramai pelabur terutamanya dari negara China. Ini seterusnya akan meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat setempat di ECER SEZ,” tambah beliau lagi.
MCKIP telah dilancarkan pada tahun 2013 dan merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan bersama oleh Malaysia dan China. Ia diberi status “Taman Perindustrian Nasional” dan merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan China-Malaysia. MCKIP menyasarkan industri berteknologi tinggi termasuk teknologi penjimatan tenaga dan mesra alam sekitar, tenaga alternatif dan boleh diperbaharui, pengeluaran peralatan canggih dan pembuatan bahan termaju.
MCKIP dan CMQIP telah dikenal pasti oleh kerajaan Malaysia dan China sebagai “Projek Ikonik untuk Kerjasama Pelaburan Dua Hala” yang akan memacu pembangunan kelompok perindustrian kedua-dua buah negara. Sebagai salah sebuah nod yang paling aktif di ECER SEZ, MCKIP telah menerima pelaburan yang dijangka akan menghasilkan sebanyak 12,000 peluang pekerjaan baru menjelang 2020.
“China dan Malaysia sudah sekian lama memiliki tradisi saling mempercayai antara satu sama lain dan hubungan ini telah diperkukuhkan lagi melalui pengenalan Program Pembangunan bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan selama lima tahun yang telah diatur untuk pertumbuhan masa depan,” kata YBhg. Dato’ Soam Heng Choon, Pengerusi Malaysia-China Kuantan Industrial Park Sdn. Bhd. (MCKIPSB), pemaju utama MCKIP.
“Selain menjanjikan peluang yang menarik untuk para pelabur dari negara China, MCKIP turut memberi manfaat kepada komuniti perniagaan di Malaysia melalui peluang usaha sama dan pelaburan dengan syarikat-syarikat China. Kedudukan Kuantan yang hampir dengan negara China menjadikannya sebagai sebuah lokasi yang strategik untuk para pelabur, bukan sahaja dari kedua-dua buah negara ini malah kepada mereka yang mahu memasuki pasaran China dan juga ASEAN,” tambah Dato’ Soam, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad.
MCKIPSB merupakan sebuah syarikat usaha sama 51:49 peratus antara dua buah konsortium dari Malaysia dan negara China. Konsortium Malaysia terdiri daripada perkongsian awam-swasta yang diterajui oleh Kuantan Pahang Holding Sdn. Bhd. dan terdiri daripada IJM Land Berhad, Sime Darby Property dan Kerajaan Negeri Pahang. Baki 49 peratus kepentingan konsortium dari negara China diketuai oleh Guangxi Beibu Gulf International Port Group, sebuah syarikat konglomerat milik negara, dan Qinzhou Investment Development Co., Ltd.
Berikutan permintaan yang menggalakkan daripada para pelabur, MCKIP akan diperluaskan lagi sebanyak 800 ekar menjadikan keluasan keseluruhan MCKIP kini meliputi 3,060 ekar termasuk jumlah kawasan sekarang seluas 2,260 ekar.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan dana berjumlah RM1.7 bilion (USD425 juta) dalam bentuk insentif dan prasarana bagi menyokong pertumbuhan MCKIP. Antara projek prasarana utama yang sedang dilaksanakan termasuklah perluasan Pelabuhan Kuantan serta menaik taraf Jalan Penghubung Pelabuhan yang akan memudahkan lagi laluan antara MCKIP, Pelabuhan Kuantan dan Lebuh Raya Pantai Timur. Kerajaan Malaysia juga turut menyediakan pakej insentif istimewa untuk semua pelabur di MCKIP, termasuklah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus sehingga 15 tahun.
Bagi menyokong pertumbuhan di Kuantan dan juga ECER, Pelabuhan Kuantan kini sedang giat diperluaskan menjadi pelabuhan laut dalam yang berupaya mengendali 52 juta tan kargo dan menerima kapal sehingga 200,000 tan berat muatan (DWT).
Projek peluasan pelabuhan terdiri daripada Fasa 1 dan Fasa 2 di mana kerja-kerja pembinaan Fasa 1A dengan lembangan sedalam 16 meter yang terdiri daripada ruang himpitan sepanjang 400 meter dan kawasan penerimaan kargo seluas 20 hektar dijangka siap pada bulan Ogos 2017. Manakala kerja pembinaan Fasa 1B dengan lembangan sedalam 16 meter, yang terdiri daripada ruang himpitan sepanjang 600 meter dan kawasan penerimaan kargo pukal kering seluas 25 hektar, dijangka siap pada bulan Ogos 2018. Kerja-kerja pembinaan Fasa 2 pula bergantung kepada permintaan pasaran.
Pembinaan struktur pemecah ombak sepanjang 4.7 km, yang menjadi antara yang terpanjang di dunia, akan mewujudkan kawasan pelabuhan yang terlindung. Lembangan yang terlindung ini membolehkan kawasan himpitan kapal beroperasi dengan selamat dan cekap sepanjang tahun. Projek peluasan Pelabuhan Kuantan akan menyediakan laluan yang lebih pantas dan dekat antara ECER dan pelabuhan-pelabuhan sebelah timur negara China serta seluruh dunia. Pada masa ini, kapal hanya mengambil masa selama lima hari untuk belayar dari Pelabuhan Qinzhou ke Pelabuhan Kuantan.
Ini akan meningkatkan lagi keyakinan dan peluang perniagaan untuk para pelabur melabur di MCKIP, yang berada di lokasi strategik dalam Zon ECER di Bandar Pelabuhan Kuantan. Malah kerja perluasan pelabuhan serta pembangunan taman industri akan memberi peluang kepada ekonomi tempatan untuk menaiki rantaian nilai dan seterusnya meningkatkan status Kuantan sebagai Bandar Pelabuhan yang maju.
Kerajaan Malaysia dan Kuantan Port Consortium (KPC), pemegang konsesi Pelabuhan Kuantan Kuantan Port, masing-masing melabur sebanyak RM1.1 bilion dan RM3 bilion dalam usaha meluaskan pelabuhan tersebut. KPC adalah sebuah syarikat milik bersama Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co., Ltd dari negara China dan IJM Corporation Berhad dari Malaysia.
Manakala, sebagai sebahagian daripada atur cara persidangan, para pelabur dari negara China dan Malaysia turut dibawa melawat MCKIP dan Pelabuhan Kuantan pada hari berikutnya bagi meneroka peluang pelaburan dan perkongsian perniagaan di ECER.
Sejak tahun 2009, negara China telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk tahun ketujuh berturut-turut. Malaysia pula muncul sebagai rakan dagang kelapan terbesar China di peringkat dunia dan rakan dagang terbesar di kalangan negara-negara ASEAN. Perdagangan Malaysia dengan China telah meningkat kepada US$97.35 bilion daripada segi jumlah dagangan, walaupun menghadapi kelembapan ekonomi pada 2015, sekali gus mengesahkan daya saing Malaysia di rantau ini.