TERENGGANU CATAT PELABURAN KOMITED BERNILAI RM4.3 BILION, SEKTOR TENAGA BOLEH BAHARU JADI PEMANGKIN UTAMA
PUTRAJAYA, 27 OKTOBER 2025 – Landskap pelaburan negeri Terengganu terus mencatat momentum positif dengan jumlah pelaburan komited bernilai RM4.3 bilion setakat September 2025, didorong oleh sektor tenaga boleh diperbaharui. Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap daya saing Terengganu sebagai destinasi pelaburan utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pelaburan berjumlah RM4.3 bilion ini dijangka mewujudkan 1981 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri pilihan pelabur merentasi pelbagai sektor. Sektor pembuatan menyumbang 74% daripada keseluruhan pelaburan, diikuti pelancongan (12%), pertanian (8%) dan perkhidmatan (6%), mencerminkan ekosistem pelaburan negeri yang pelbagai dan seimbang.
Pendorong utama kepada pelaburan komited ialah projek solar hibrid bernilai RM2.9 bilion di Tasik Kenyir, hasil usaha sama antara TNB Genco Sdn. Bhd. dan Terengganu Inc. Fasa perintis projek ini telah dilancarkan pada 12 Julai 2025, dan perancangan sedang dijalankan untuk memperluas pelaksanaannya ke peringkat komersial sepenuhnya, dengan perjanjian kontrak utama kini dalam perbincangan.
Pelaburan direalisasikan pula telah mencapai jumlah bernilai RM1.6 bilion, ini membuktikan pembangunan berterusan dalam sektor perindustrian dan pelancongan negeri. Antara projek utama termasuk pembangunan Taman Perindustrian Kertih Terengganu oleh Retro Court Sdn. Bhd., yang bakal menjadi hab strategik bagi industri berintensif tenaga dan hiliran. Dalam sektor pelancongan, GEM Island Resort Sdn. Bhd. sedang membangunkan sebuah hotel bertaraf tiga bintang baharu yang akan memperkukuh daya tarikan pelancongan Terengganu.
Pencapaian ini diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, yang berlangsung di Putrajaya hari ini.
“Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negeri Terengganu dan komitmen kami untuk membangunkan ekonomi yang berdaya tahan serta berpandangan jauh. Dari tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan hingga ke pelancongan dan pertanian, kami sedang membina asas ekonomi yang pelbagai untuk menjamin pertumbuhan mampan dan manfaat jangka panjang kepada rakyat,” YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memperkukuh infrastruktur sokongan di lokasi strategik. Kompleks PKS Fasa 1B di Kerteh Biopolymer Park (KBP) telah siap dibina pada Julai 2025 dan dijangka memperoleh Sijil Siap Bina (CCC) menjelang akhir Oktober. Kemudahan moden ini menawarkan unit kilang separa berkembar dan berkembar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang teknologi hijau dan biopolimer, sekali gus memperkukuh rantaian nilai industri serta merangsang pertumbuhan perniagaan mampan di Terengganu.
Selain pembangunan industri, ECERDC turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti melalui inisiatif inklusif dan lestari. Di Setiu, projek IPR-INTAN Bukit Bidong Fasa 1 sedang dilaksanakan di kawasan seluas 66 hektar yang melibatkan penanaman cili, bendi dan terung menggunakan kaedah fertigasi berteknologi tinggi. Projek ini menggunakan rumah hijau berpersekitaran terkawal dan teknologi Pertanian Pintar berasaskan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan produktiviti serta menjamin pendapatan peserta. Seramai 140 peserta dijangka mendapat manfaat dengan hasil tuaian komersial pertama dijangka pada penghujung 2025 untuk pasaran borong dan runcit.
“Kemajuan yang dicapai di Terengganu membuktikan bagaimana pelaburan strategik, kesediaan infrastruktur dan pemerkasaan komuniti saling melengkapi antara satu sama lain. ECERDC akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek yang akan menarik pelabur, memperkukuh industri tempatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di seluruh Wilayah Pantai Timur.”
“Bagi mempertingkatkan lagi daya tarikan pelabur dan pelancong, ECERDC turut mempergiat pembangunan infrastruktur dan aset pelancongan utama seperti projek naik taraf Laluan Eksekutif Lapangan Terbang Sultan Mahmud–KTCC (KTAR2) yang bakal menyediakan perjalanan terus antara lapangan terbang dan pusat bandar, serta Promenade KTCC Fasa 1 yang membuka ruang kepada pembangunan komersial dan rekreasi baharu di kawasan Muara Utara dan Muara Selatan Kuala Terengganu,” ujar Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Turut hadir dalam Mesyuarat ICC Terengganu ialah Ahli Jawatankuasa termasuk Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu; Dato’ Haji Rosli Latif, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan); Dato’ Haji Abdul Kahar Abdul Latif, Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu; Dr. Ravikumar Suppiah, Timbalan Pengarah (Pembangunan Koridor), Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi; serta Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Kewangan dan Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri.
