USAHAWAN KECIL DAN MIKRO ECER BERJAYA TEMBUSI PASARAN CHINATiga Syarikat Bumiputera Peroleh Kontrak Eksport Bernilai RM8.5 juta di CAEXPO 2016

NANNING, CHINA, 14 SEPTEMBER 2016: Usahawan Malaysia dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menembusi pasaran eksport negara China selepas berjaya memeterai pelbagai perjanjian dan perkongsian di EXPO China-ASEAN ke-13 (CAEXPO) 2016.
Antara syarikat yang berjaya melebarkan tapak di pasaran global adalah Softa Marketing Sdn. Bhd. dari Besut, Terengganu, salah satu daripada 20 syarikat usahawan ECER yang menyertai CAEXPO. Softa Marketing telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini dengan Shanghai C-HK International Logistic Inc. dari China, untuk mengeksport produk makanan halal berasaskan ikan bernilai lebih RM5 juta ke negara tersebut untuk tempoh tiga tahun yang akan datang.
Menerusi MoU ini, Softa Marketing akan membekalkan produk-produk makanan berkualiti tinggi termasuk keropok lekor, keropok udang dan keropok sotong kepada rakan strategiknya, Shanghai C-HK International Logistics yang akan mengagih, mempromosi dan memasarkan produk tersebut di China. MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Softa Marketing, Wan Mohd Faizal Azizi dan Pengarah Urusan Shanghai C-HK International Logistics, Wilson Wang.
Mitra Food Industries Sdn. Bhd. pula telah membaharui kontrak tahunannya yang bernilai RM3 juta dengan Zhoulun (Nanning Guangxi) Co., Ltd, untuk terus membekalkan produk yang laris di pasaran China, iaitu Kopi Durian “Musang King” dan Cappuccino Brazil. Manakala, Siti Nora Enterprise yang baru pertama kali menyertai misi perdagangan CAEXPO pula telah memperoleh tempahan bernilai RM500,000 dari Trendset Commerce (Shanghai) Co., Ltd. untuk membekalkan “Muruku” ke China.
“MoU yang ditandatangani serta kontrak yang dimeterai oleh para usahawan ECER di CAEXPO merupakan satu pencapaian yang amat bermakna. Usahawan baru ini telah berjaya meneroka pasaran China yang amat besar dengan menembusi Nanning. Ini merupakan satu titik permulaan bagi kejayaan yang lebih besar. Kejayaan mereka membuktikan bahawa dengan sokongan yang sewajarnya, para usahawan kecil dan sederhana dari ECER mampu bersaing dan berjaya di pasaran antarabangsa, termasuk di negara China. Pencapaian mereka juga mencerminkan keyakinan para pengimport terhadap produk halal keluaran Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta digemari ramai,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC setelah menyaksikan majlis pertukaran MoU di Pavilion Malaysia pada hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ong Yew Chee, Pengarah Unit China MATRADE dan Puan Zaimah Osman, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Guangzhou.
“Selain daripada tiga syarikat tersebut, kesemua 17 usahawan ECER yang lain juga telah mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada bakal pengimport di CAEXPO 2016. Saya berasa amat bangga melihat para usahawan ECER berkembang menjadi syarikat bertaraf global yang bersedia untuk menyahut cabaran serta bersaing di persada antarabangsa. Ini adalah hasil daripada kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Pencapaian mereka selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang 2020, dengan kemajuan dan perhatian yang seimbang kepada ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan insan,” tambah beliau.
Menyentuh tentang kejayaan Softa Marketing di pasaran antarabangsa, Wan Mohd Faizal Azizi berkata, “MoU yang ditandatangani hari ini membuktikan bahawa para usahawan tempatan dari Terengganu dan ECER mampu bersaing di peringkat antarabangsa walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi global. Kami bersyukur dipilih menyertai ekspo kerana banyak manfaat yang diterima daripada pendedahan di sini. Penyertaan ini juga memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan perniagaan dan seterusnya, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan. Semua ini adalah berkat sokongan dan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh ECERDC dan SIRIM yang telah berusaha untuk menyediakan asas yang kukuh agar kami berkembang maju.”
ECERDC telah melaksanakan entrepreneur ECER, sebuah program pembangunan usahawan dengan kerjasama rakan strategik termasuk SIRIM, Agrobank dan Maybank untuk melatih dan membangunkan usahawan tempatan di ECER. Melalui program yang dijalankan bersama SIRIM, para peserta diberi bimbingan dan latihan tentang mutu produk, pelabelan dan penjenamaan, sijil halal, pengurusan kewangan dan pemasaran. Memandangkan dana dan modal merupakan faktor penting dalam membantu usahawan, ECERDC turut membentuk perkongsian strategik dengan Agrobank dan Maybank untuk menawarkan para peserta panduan serta akses kepada pembiayaan kewangan.
Sehingga Ogos 2016, program ini telah memberi manfaat kepada 4,719 buah syarikat tempatan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Daerah Mersing di Johor. Program ini telah berjaya meningkatkan prospek perniagaan dan kemampanan peserta untuk menghasilkan kumpulan usahawan yang berjaya, di mana para peserta telah mencatatkan peningkatan keuntungan dan tahap pendapatan. Ini secara tidak langsung mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat di wilayah ini.
Tahun ini merupakan penyertaan kali kedua para usahawan daripada program entrepreneur ECER di CAEXPO. Pada tahun lepas, enam usahawan terbaik, termasuk Softa Marketing Sdn. Bhd. dan Mitra Food Industries Sdn. Bhd., telah dipilih oleh ECERDC untuk menyertai CAEXPO 2015. Berikutan maklum balas yang amat memberangsangkan, 20 usahawan terbaik di ECER telah dipilih untuk menyertai CAEXPO 2016 yang dianjurkan dari 11 September hingga 14 September 2016. Syarikat-syarikat ini telah menjalani proses pemilihan ketat yang ditetapkan oleh ECERDC, MATRADE, SIRIM serta Kerajaan China, termasuklah pematuhan piawaian produk makanan antarabangsa serta penjenamaan dan pembungkusan.
Sempena dengan CAEXPO, ECERDC juga turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan bakal pelabur serta wakil kerajaan dalam usaha berterusan untuk menarik lebih banyak pelaburan dari China ke ECER. Selain daripada kejayaan usahawan, penyertaan ECERDC di CAEXPO juga turut menghasilkan pencapaian dari segi pelaburan, di mana ECERDC berjaya menarik pelaburan komited yang berpotensi bernilai RM4.5 bilion daripada pelabur yang berminat untuk beroperasi di Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP).
“Perniagaan teras syarikat-syarikat ini adalah tenaga lestari, bahan kimia dan teknologi. Kami sedang meneliti butiran tersebut dan pengumuman akan dibuat setelah pelaburan dimuktamadkan,” kata Datuk Seri Isssace.