10/21/2009 — Utusan Malaysia
Kerajaan Pahang mengenal pasti lima sektor industri yang berpotensi bagi memacu pertumbuhan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (K-Ekonomi) di bawah Pelan Strategik Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, lima sektor itu adalah perkhidmatan logistik dan data, agro bioteknologi, aplikasi serta kandungan pendidikan dan pembelajaran.
Menurut beliau, dua sektor lagi adalah teknologi komunikasi untuk pertahanan dan kandungan multimedia bersepadu.
“Kelima-lima sektor itu selari dengan fokus pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian dan makan malam sempena Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Perisian dan Sistem Komputer 2009 (ICSECS 09) di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi Persidangan ICSECS, Profesor Dr. Jasni Mohamad.
Sebanyak 200 kertas kerja dibentangkan daripada pelbagai negara termasuk Pakistan, India, Jordan, Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Thailand dan Ghana dalam persidangan yang bermula sejak Jumaat lalu.
Menurut Adnan, ICT akan dapat menghasilkan sumber ekonomi baru dan meningkatkan nilai tambah kepada produk ekonomi negeri sedia ada.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini meningkatkan pengetahuan dalam bidang ICT yang merupakan salah satu bidang penting dalam kehidupan masa kini.
Beliau berkata, ICT merupakan salah satu bidang yang sangat penting dalam kehidupan seharian dan ia berubah dengan begitu pantas sekali.
“Jika kita tidak mempelajarinya, kita akan ketinggalan di belakang berbanding orang lain,” katanya.
Menurutnya, penganjuran persidangan seumpama itu amat penting kerana banyak perkara baru dapat dirumuskan dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan.
Tambahnya, ia dapat mendedahkan peserta dengan pelbagai maklumat mengenai perkembangan teknologi dalam semua bidang kehidupan.
“Persidangan ini juga boleh dimanfaatkan oleh kerajaan dan rakyat negeri Pahang,” katanya.