5/20/2012 — Sinar Harian
BACHOK – Kira-kira 900 penduduk dan pelajar di Bachok mendapat manfaat menerusi program “Empower Bachok” yang diperkenalkan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sejak awal tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata program itu bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar yang lemah, selain menambah pendapatan penduduk melalui program latihan kemahiran yang diwujudkan.
“Ini termasuk pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Empower Bachok di Sekolah Menengah Teknik, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Esekutif ECER Datuk Jebasingam Issace John, Rektor Universiti Teknologi Mara Kelantan Prof Madya Dr Mohd Shukri Oamar dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosil ECER Zulkifli Yaacob.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata selain itu, golongan belia dan dewasa akan diberi tumpuan dalam bidang latihan kemahiran keusahawan bagi membantu memperolehi pekerjaaan dan kebolehpasaran.
Matlamat program adalah sama dengan program di Jeli, yang menyaksikan hampir 80 peratus peserta mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri dengan memperolehi pendapatan sehingga RM6,000 sebulan.
Sementara itu, Jebasingam ketika berucap, berkata seramai 500 penduduk di Bachok sedang menjalani latihan serta kursus seperti fisioterapi, andaman pengantin, pembuatan kek, jahitan, dandanan rambut, masakan 1Malaysia dan pendawaian.
Pihaknya menjangkakan peserta mampu meningkatkan pendapatan antara RM800 sehingga RM1,500 sebulan, manakala 80 peratus peserta pula akan memperolehi pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri. – Bernama