Bernama Wire Service, April 4, 2008
KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Bank Pertanian Malaysia (BPM)
merancang untuk melancarkan beberapa produk dan perkhidmatan baru untuk
komuniti pertanian terutamanya yang terlibat dalam projek di Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECER), pada Jun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata inisiatif berkenaan merupakan
sebahagian daripada usaha untuk memberi pendedahan kepada masyarakat
perladangan.
“Beberapa perkhidmatan serta produk pinjaman baru dalam perancangan dan
dijangka dilancarkan pada suku kedua bagi memenuhi keperluan komuniti
pertanian yang semakin bertambah,” kata pengurus besar BPM Martini Osman.
Sebagai usaha untuk melengkapkan inisiatif ini dan menyediakan akses mudah
kepada kredit, Martini berkata BPM kini mengkaji semula dasar pinjaman, sistem
penyampaian dan menaik taraf sistem ICTnya. Beliau berkata semakan dasar
pinjaman bank termasuk kelonggaran syarat cagaran terutamanya untuk
kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana.
“Program pinjaman BPM sekarang ini dapat memenuhi aktiviti utama pertanian
yang dipertuntukkan di bawah inisiatif ECER,” kata Martini.
“Bagaimanapun, bank, di bawah entiti korporatnya yang baru, akan dapat
memperluaskan skop pembiayaan, memperkenalkan produk pinjaman baru dan
menyusun semula kemudahan sedia ada bagi memenuhi keperluan perbiayaan
pertanian di negeri-negeri dalam ECER seperti Kelantan, Pahang, Terengganu
dan Mersing di Johor.”