Bank Pertanian sedia dana ECER RM462.7j di ECER

February 27, 2008
RM25.3j sudah diagih kepada 3,975 usahawan
BANK Pertanian Malaysia (BPM) memperuntukkan sejumlah RM462.7 juta tahun ini
untuk disalurkan sebagai pembiayaan bagi projek di Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER).
Jumlah itu mewakili 17.4 peratus daripada peruntukan pembiayaan berjumlah RM2.66
bilion yang akan disalurkannya ke seluruh negara tahun ini.
Pengurus Besar BPM, Martini Osman, berkata sejumlah RM147.7 juta atau 17 peratus
daripada jumlah pembiayaan yang diperuntukkan bagi projek ECER tahun ini sudah
diluluskan pada November dan Disember lalu.
“Daripada jumlah itu, pembiayaan sebanyak RM25.3 juta sudah diagihkan kepada 3,975
usahawan yang terbabit dalam pelbagai bidang pertanian di Kelantan, Terengganu dan
Pahang,” katanya.
Martini berkata, disebabkan kemudahan pembiayaan sedia ada mampu memenuhi
keperluan pembiayaan semua inisiatif pertanian di bawah ECER, tiada peruntukan
khusus yang dibuat untuk wilayah pembangunan ekonomi itu. Beliau bagaimanapun,
menjelaskan semua cawangan bank itu diberikan bajet pembiayaan setiap tahun.
“Peruntukan pembiayaan bagi setiap cawangan adalah berasaskan kegiatan pertanian di
kawasan terbabit.
“Pemantauan dan kajian akan dilakukan setiap masa bagi memastikan sasaran
pembiayaan dicapai,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun ini, sasaran kelulusan pembiayaan bagi Kelantan, Terengganu
dan Pahang masing-masing adalah berjumlah RM139 juta, RM133.7 juta dan RM189.2
juta. Pertanian adalah pemacu utama ECER yang dicetuskan kerajaan bagi
mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan di negeri pantai
timur merangkumi Kelantan, Pahang dan Terengganu serta utara Johor (Mersing).
Wilayah pembangunan ekonomi itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi di Kuala Terengganu dan Kota Bharu pada 29 Oktober lalu serta Kuantan
hari berikutnya.
Pada hari pelancarannya, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM6 bilion bagi
fasa awal pembangunannya.
BPM mempunyai keupayaan struktur bagi menyokong inisiatif ECER, termasuk projek
berkaitan pengeluaran makanan seperti lembah sitrus, penanaman kenaf bagi
menggantikan tembakau, pembiakan kambing dan pusat penyelidikan.
Martini berkata, kegiatan pengeluaran makanan adalah teras utama pembiayaan bank
itu, terutama di bawah skim pinjaman Tabung Untuk Makanan (3F).
“BPM mempunyai rekod baik dalam menyalurkan peruntukan tabung itu sejak ia
dilancarkan dalam tahun 1980-an.
“Tahun lalu jumlah pembiayaan diluluskan di bawah skim itu melepasi peruntukkan
RM300 juta yang ditetapkan,” katanya.
— Berita Harian (Bisnes)