KUALA LUMPUR 26 Feb. – Bank Pertanian Malaysia (Bank Pertanian) akan
memperuntukkan pinjaman bernilai RM462.7 juta untuk diagih-agihkan kepada projek di
bawah Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada tahun ini.
Pengurus Besarnya, Martini Osman berkata, jumlah itu merupakan 17.4 peratus
daripada keseluruhan peruntukan pinjaman yang berjumlah RM2.66 bilion yang akan
diagih-agihkan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, sehingga bulan November dan Disember tahun lalu, sebanyak RM147.7
juta atau 17 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diperuntukkan untuk ECER bagi
tahun ini telah diluluskan.”Daripada jumlah berkenaan, pinjaman bernilai RM25.3 juta
telah diagih-agihkan kepada 3,975 usahawan di beberapa kawasan pertanian di
Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Martini menjelaskan bahawa pinjaman yang diunjurkan diluluskan pada tahun ini di
Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing berjumlah RM139 juta, RM133.7 juta
dan RM189.2 juta.
— Utusan Online (Ekonomi)