KUANTAN: Seramai 337 pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan di daerah Pekan dan Kuantan diraikan dalam Majlis Kecemerlangan Akademik 2015 empower ECER Mahkota di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang di sini, hari ini.
Program anjuran UMP Advance Education (UAE) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali.
Turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif UAE, Mohamad Rozi Hassan.
Daing Nasir dalam ucapannya berkata, UMP turut memikul tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu transformasi landskap ilmu pengetahuan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat di sekitar universiti berkenaan.
“Adalah menjadi tekad kepada pengurusan UMP untuk menggerakkan pelbagai agenda, inisiatif dan program yang boleh memastikan masyarakat sekitar mendapat manfaatnya,” katanya.
Katanya, keberkesanan program berkenaan amat bergantung kepada sinergi yang berterusan oleh pihak UMP, ECERDC dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Justeru saya percaya lebih banyak ruang baharu dapat diteroka semua pihak yang berkaitan bagi membolehkan lebih ramai lagi pelajar bakal mendapat manfaat,” katanya.