Bernama Online – Kerja Menaik Taraf Infrastruktur Taman Negeri Endau Rompin Bermula Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Projek menaik taraf infrastruktur di Taman Negeri Endau Rompin yang bernilai RM13 juta dijangka dapat dimulakan tahun ini.

Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin berkata projek yang mengambil masa selama satu tahun itu merupakan antara rancangan bagi membangunkan daerah Rompin sebagai destinasi pelancongan utama negara bertaraf antarabangsa.

“Projek kini di peringkat proses tender. ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur) yang akan melaksanakannya.

“Rompin merupakan kawasan pelancongan berasaskan ekopelancongan yang mendapat perhatian dunia seperti aktiviti memancing yang menjadi industri terbesar daerah Rompin,” katanya di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kelab Anak Rompin (KELAR) di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Beliau berkata rancangan pembangunan kawasan itu akan terus dipergiat dalam usaha menyemarakkan lagi kegiatan ekopelancongan daerah Rompin, termasuk tumpuan kepada kegiatan pertanian moden serta membangunkan kawasan hutan simpan yang terdapat di daerah itu.

“Pertanian bertaraf moden ‘high skill’ kawasan jelapang padi dilihat dapat memberi impak yang besar seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Sebelum itu, Hasan yang juga penaung KELAR, melancarkan perasmian kelab itu disaksikan oleh kira-kira 500 tetamu terdiri daripada anak jati Rompin khususnya yang berada di perantauan di seluruh negara.

Majlis turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman Datuk Mohd Johari Hussain, Adun Muadzam Shah Datuk Seri Maznah Mazlan, Adun Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain dan Ketua Pemuda UMNO Pahang Shahar Abdullah.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1263873