Bernama Online – Peruntukan RM69 Juta Selesaikan Masalah Hakisan Pantai Di Dungun

DUNGUN, 8 Feb (Bernama) — Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM69 juta dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai sepanjang tujuh kilometer di Dungun.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata sebanyak 10 benteng hakisan akan dibina di sepanjang pantai bermula dari Pantai Teluk Lipat hingga Pantai Teluk Gadong.

“Pantai Teluk Lipat dikategorikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berada pada tahap kritikal tahap satu, dan kerja-kerja menaik taraf dan melindungi pantai ini sedang dilaksanakan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

“Sehingga kini, tiga benteng hakisan sudah dibina dan masih ada tujuh lagi akan dibina bagi memastikan masalah hakisan selesai kerana keadaan ini semakin hari semakin membimbangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tebing runtuh di Pantai Sura di sini Isnin.

Zainal Abidin berkata kerja-kerja pembinaan benteng hakisan di sepanjang pantai berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

“Keadaan hakisan pantai di Dungun memang kritikal dan ECER bersama JPS akan menyegerakan kerja-kerja membina benteng hakisan supaya keadaan ini tidak berterusan.

“Bagi runtuhan tebing ini, ECER akan bertanggungjawab dan selepas ini mereka akan membuat penilaian kos bagi kerja-kerja membaik pulih tebing ini,” katanya.

Jalan di Pantai Sura ditutup sementara sejak semalam, setelah tebing jalan sepanjang 100 meter runtuh hingga menyebabkan lubang sedalam lima meter.

Tinjauan Bernama di sepanjang jalan di pantai berkenaan mendapati banyak pokok rhu yang menjadi penahan ombak musnah akibat fenomena air pasang besar, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tanah Lot, Anis Fajre Awang, 45, berkata hakisan pantai di sepanjang enam kilometer dari Pantai Teluk Lipat ke Pantai Teluk Gadong semakin membimbangkan sejak beberapa tahun lepas.

“Dahulu jarak pantai dengan jalan kira-kira 500 meter, tapi sekarang keadaan jauh berubah, tidak sampai 10 meter dari jalan raya terutama di kawasan Teluk Gadung.

“Kawasan pantai ini yang indah menjadi tumpuan pelancong dulu, tetapi sekarang apabila berlaku hakisan, pelancong semakin berkurangan…bimbang juga kalau kawasan pelancongan ini terus lenyap,” katanya.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1214124&cat=tm