DUNGUN, 20 Julai (Bernama) — Program Latihan dan Akademik yang dijalankan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) menerusi program Empower Ecer nyata dapat membantu meningkatkan mutu akademik pelajar di Terengganu terutamanya pelajar sekolah pedalaman.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, Marzuki Abd Rahman berkata program yang dijalankan Empower Ecer memberi 1,001 sinar baharu buat sekolahnya yang jauh di pelosok Hulu Dungun.
“Memang program ini sangat membantu pelajar dan guru di sekolah saya, sebab sekolah saya berada di pedalaman dan memang agak susah sebelum ini kerana kita kekurangan bajet. Alhamdulillah, bila ada program ini, kita dapat perbanyakkan kelas tambahan untuk murid tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Sejak kelas tambahan dan pelbagai program motivasi diadakan, agak ketara perubahan yang berlaku terhadap 12 orang pelajar sekolah saya yang terpilih. Kedatangan mereka ke sekolah pun sekarang ini dah meningkat 100 peratus, malah dari segi peratusan lulus semua mata pelajaran juga meningkat daripada 20 peratus hingga 70 peratus sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Seminar ‘Move The Heart’ Empower Ecer Latihan Akademik di daerah Dungun yang disertai 300 pelajar dari lapan buah sekolah terpilih di daerah ini.
Majlis penutupan itu disempurnakan Pegawai Pembangunan Dungun Datuk Din Adam. Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC Zulkifli Yaacob.
Marzuki berkata selain meningkatkan mutu akademik dan sahsiah pelajar, program tersebut juga sedikit sebanyak dapat membantu pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Bila ECERDC adakan program ini, memang mereka yang tanggung semua dari segi kos guru, modul pembelajaran serta makanan untuk pelajar…jadi sedikit sebanyak memang dapat membantu pelajar yang datang daripada golongan yang susah, ibu bapa tak perlu lagi hantar makanan untuk anak dan mereka tak perlu keluarkan kos untuk kelas tambahan,” katanya.
Guru Besar SK Padang Pulut Azmi A. Bakar berkata program tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti murid yang cemerlang, malah apa yang lebih menggembirakannya dua pelajar tahun enam yang menyertai program tersebut di sekolahnya telah menunjukkan prestasi cemerlang.
“Kalau awal tahun hari tu tak ada pelajar yang dapat 5A, tapi yang terbaharu untuk keputusan peperiksaan pertengahan tahun, dua daripada pelajar dah capai 6A dalam peperiksaan dan bilangan pelajar yang cemerlang juga menunjukkan peningkatan.
“Untuk sekolah di pedalaman, kami tak ada kelas tuisyen sebab jauh dari bandar dan pelajar hanya bergantung kepada kelas tambahan semata-mata, bila ada program ini kami dapat menjemput guru pakar untuk datang mengajar di sekolah ini dan pelajar boleh menimba ilmu terbaharu daripada pakar yang dijemput,” katanya.
Azmi berkata menerusi program tersebut, subjek yang menjadi subjek ‘killer’ diberi penekanan khusus bagi membantu pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
“Kita tekankan subjek seperti Matematik, Bahasa Inggeris Penulisan dan Sains yang mana subjek-subjek yang membimbangkan memang diberi penekanan kerana kita risau subjek ini yang akan menjejaskan prestasi murid.
“Saya harap program ini akan dapat diteruskan dan akan diperluaskan lagi kerana sememangnya program ini sangat bagus dan kita juga berterima kasih kepada pegawai-pegawai daripada Empower Ecer yang sentiasa memberi galakan dan membuat pemantauan di sekolah-sekolah…mereka juga sentiasa menolong kami di sekolah,” katanya.
Bagi pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Paka, Nurul Zalfikal Mohd Zul, melalui Empower Ecer, pelbagai program disediakan sebagai persiapan menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
“Kalau sebelum ini kami hanya menerima ilmu daripada guru-guru di sekolah ini, tapi kini kami dapat berkongsi idea dengan pelajar sekolah lain setiap kali kem motivasi dan akademik diadakan. Setiap hujung minggu juga fasilitator atau guru pakar dari sekolah lain akan datang ke sekolah kami untuk mengajar… memang beruntunglah sekolah kami terpilih menyertai program Empower Ecer ini,” katanya.
Program Empower Ecer merupakan program inisiatif serampang dua mata di bawah program pembangunan modal insan yang memfokuskan dua program iaitu Latihan Akademik serta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.
Untuk rekod, sebanyak RM17.5 Juta diperuntukkan ECERDC untuk melaksanakan program tersebut di Terengganu bagi tahun 2016.
Sejumlah 6,946 peserta Latihan Akademik dan 2,840 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan telah dan sedang mengikuti program Empower Ecer di negeri ini sejak diperkenalkan pada tahun 2011 sehingga kini.
— BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1264753