BPM tambah dana pertanian RM462.7j

Rabu, 27 Februari 2008
BANK Pertanian Malaysia (BPM) meluluskan tambahan peruntukan RM462.7 juta bagi
membangunkan projek berkaitan pertanian sepanjang tahun ini daripada keseluruhan
RM2.66 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER).
Peruntukan itu akan diagihkan kepada tiga negeri utama iaitu Kelantan RM139 juta,
Terengganu (RM133.7 juta) dan Pahang (RM189.2 juta).
Pengurus Besarnya, Martini Osman, berkata sebelum ini, pihaknya memperuntukkan
RM147.7 juta bagi projek pembangunan di ECER yang diluluskan pada November dan
Disember tahun lalu.
Menurutnya, dalam tempoh itu, BPM meluluskan pinjaman RM25.3 juta kepada 3,975
usahawan yang terbabit dalam sektor pertanian di ketiga-tiga negeri itu.
“Peruntukan yang disediakan di setiap negeri di wilayah itu bergantung kepada
kerancakan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan.
“Pertanian adalah penjana utama bagi ECER yang diwujudkan kerajaan untuk
mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan tahap pendapatan penduduk
di pantai timur merangkumi Kelantan, Pahang, Terengganu dan Mersing di Johor,”
katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.
BPM mempunyai keupayaan bagi menyokong inisiatif khusus bagi ECER termasuk
membabitkan projek berkaitan pengeluaran makanan seperti lembah sitrus, ladang
kenaf untuk menggantikan tembakau, pembiakan kambing dan pusat penyelidikan.
Katanya, kegiatan pengeluaran makanan adalah faktor utama bagi meluluskan
pembiayaan terutama di bawah skim pinjaman Tabung bagi Makanan.
— Harian Metro