5/29/2009 — Utusan Malaysia
Syarikat pengimejan Jepun, Canon Marketing Malaysia (Canon) menyasarkan pertumbuhan jualannya sebanyak 29 peratus di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Liew Sip Chon berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan keyakinan Canon terhadap pembangunan ekonomi wilayah berkenaan.
“Negeri-negeri di Pantai Timur mula menunjukkan pembangunan ekonomi seperti yang dialami di pantai barat dua puluh tahun yang lalu.
“Disebabkan pelbagai rangsangan ekonomi melalui pelaksanaan ECER di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Pahang, Terengganu dan Kelantan akan meningkat.
Canon percaya negeri-negeri ini bakal menjadi enjin pertumbuhan seterusnya di Semenanjung ,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Tambah Sip Chon, baru-baru ini Canon telah mengumumkan sasaran jualan produk berjumlah RM22 juta daripada negeri-negeri pantai timur tahun ini.
“Wilayah Pantai Timur menawarkan potensi perniagaan yang menggalakkan didorong oleh kesan limpahan pembangunan pantai barat.
“Apabila Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua siap pada 2011, ia bakal meningkatkan kedatangan pelancong dan perniagaan tempatan yang akan meningkatkan pendapatan penduduk di Pantai Timur,” katanya.
Kedatangan pelancong di ECER menjelang 2020 disasarkan meningkat kepada 7.4 juta bagi pelancong asing manakala pelancong tempatan akan meningkat kepada 21.4 juta.
Terengganu dijangka mempunyai penerbangan terus dari Singapura dan sedang merancang bagi penerbangan terus dari Guangzhou, China.
“Selain menyediakan peluang saluran kreativiti dan nilai estetik, penyelesaian dan peralatan pengimejan, Canon juga dapat menggalakkan penduduk pantai timur memulakan perniagaan seperti fotografi dan videografi.
“Canon juga boleh membantu mereka menerokai alternatif lain bagi menambah sumber pendapatan pada ketika ketidaktentuan ekonomi semasa,” jelasnya.
Canon merupakan peneraju penyedia penyelesaian pengimejan di Malaysia.
Canan telah menerima anugerah jenama oleh Reader’s Digest Most Trusted Brand Award 2008, sebagai jenama paling dipercayai bagi kategori kamera dan kamera digital, pencetak dan mesin pengimbas dan peralatan pejabat (mesin fotokopi).