ECER bangun 7,400 hektar kawasan tanaman nanas

Jan 4, 2008
WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (Ecer) memperuntukkan kawasan seluas 7,400 hektar di
Pahang bagi membangunkan projek pembangunan bersepadu bagi tanaman nanas
Pekan-Rompin untuk membantu negara kembali menguasai antara tiga pengeluar
terbesar dunia seperti berlaku dalam tempoh antara 1960 hingga 1970.
Dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam, antara kawasan dikenal pasti
ialah Permatang Bedon seluas 2,000 hektar di Pekan, Kampung Jemari (5,000 hektar)
dan Kampung Tebu Hitam (400 hektar) di Rompin.
Sebelum ini, kira-kira 2,000 hektar sudah di tanam tanaman itu untuk keperluan
pasaran buah-buahan segar tempatan dan tanaman seluas 5,000 hektar bagi pasaran
makanan dalam tin.
“Projek pembangunan tanaman terbaru itu turut membantu menghasilkan makanan
ternakan lembu yang diproses daripada kulit nenas,” katanya.
Kira-kira 70 peratus daripada projek tanaman itu akan dibangunkan syarikat teras dan
bakinya pekebun kecil di bawah skim penanaman.
Syarikat besar berpotensi termasuk Lee Nanas Co Pte Ltd, Pineapple Cannery of
Malaysia Sdn Bhd dan Polyno Resources untuk pengetinan dan Malaysia Agrifood Corp
pula bagi pemasaran buah-buahan segar.
Buat masa ini, Kelantan mempunyai tanaman paling besar bagi Pantai Timur iaitu seluas
309 hektar, diikuti Terengganu seluas 169 hektar dan Pahang (58 hektar).