Feb 5, 2008
PEMBANGUNAN di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan memberi impak positif terhadap
harga dan pembangunan hartanah terutama di kawasan perindustrian, kata
perunding hartanah dan pakar industri.
Pengarah Penyelidikan Hartanah Henry Butcher Malaysia, Fahariah Abdul Wahab, berkata impak
positif adalah ketara sekiranya semua inisiatif ECER dilaksanakan
dengan berkesan.
Katanya, langkah yang diambil tepat pada masanya dalam mengambil peluang potensi industri
pelancongan dan prospek bagi hotel serta resort baru di wilayah
berkenaan.
“Terdapat beberapa peserta yang berminat untuk melabur dalam industri perhotelan di wilayah
berkenaan, tetapi saya percaya mereka akan melihat kepada harga tanah dan kesesuaiannya
sebelum melabur.
“Ini disebabkan wilayah ini masih kekurangan hotel berkualiti, yang mana anda memerlukan hotel
bertaraf lima atau enam bintang bagi menarik pelancong asing dan ahli perniagaan,” katanya dalam
kenyataan yang dikeluarkan sekretariat ECER, semalam.
Farahiah berkata, dalam jangka panjang, impak lebih besar dapat dilihat pada pembangunan industri
terutama bangunan dan tanah bagi industri.
“Secara asasnya, ia akan menjadi pemangkin kepada pelbagai projek di wilayah itu,” katanya.
Mengikut satu sumber yang rapat dengan pelan ECER, Kuantan mampu menampung kira-kira
150,000 meter persegi ruang runcit, Kota Bharu 1100,000 meter persegi dan Kuala Terengganu
135,000 meter persegi.
Walaupun ECER merangkumi 14.8 peratus daripada jumlah penduduk negara ini, ia hanya
merekodkan 9.1 peratus urus niaga kediaman, 6.5 peratus urus niaga komersial dan 8.3 peratus urus
niaga hartanah sepanjang 2006.
Dari segi nilai pula, sektor kediaman di ECER hanya menyumbang 4.2 peratus kepada jumlah
keseluruhan pada peringkat nasional.
Sementara itu, Pengarah Ho Chin Soon Research Sdn Bhd, Ho Chin Soon, berkata walaupun beliau
melihat beberapa kekangan dalam penjualan tanah dan kesan terhadap sektor minyak dan gas serta
pertanian, ECER akan melimpahkan kesan positif terhadap harga hartanah serta aktiviti
pembangunan sektor itu.
Perunding Pereka Moden DPZ Asia, Kamal Ariffin Datuk Zahrain, berkata beliau percaya terdapat
potensi pembangunan yang baik bagi wilayah itu kerana pelan
induk ECER dirangka bagi mengambil peluang penuh terhadapnya.
Katanya, terdapat kesesuaian bagi ECER kerana pelan induknya disepadukan dan cukup fleksibel bagi
membolehkan idea baru dan perubahan dilaksanakan di masa
depan.
Beliau berkata, bagi Kelantan, aktiviti perniagaan di sana dijangka mendapat rangsangan daripada
rancangan ECER untuk membina pusat bandar bersepadu di negeri itu.
“Ketika ini Kota Bharu tidak mempunyai pusat bandar yang jelas, walaupun aktiviti perniagaan
berkembang pesat. Justeru, rancangan pusat bandar bersepadu itu tepat pada masanya dan mampu
mengisi ruang bagi perniagaan,” katanya.
Pada 2006, bangunan pejabat yang dibina di ECER adalah 858,125 meter persegi, merangkumi enam
peratus daripada jumlah penawaran keseluruhan di negara ini.
Farahiah berkata, secara umumnya beliau melihat ECER sebagai pendorong bagi pembangunan
ekonomi dan hartanah dalam jangka panjang serta sederhana.
“Impak itu tidak akan berlaku sekelip mata kerana ia mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,”
katanya.
— Berita Harian (Ekonomi)