KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan
mendapat dua pusat pemproses ikan yang baru bagi meningkatkan pendapatan nelayan.
Pusat-pusat itu terletak di Kuala Besar di Kelantan dan Kuala Besut di Terengganu.
Pusat di bawah kendalian Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu akan memberi
tumpuan terhadap aktiviti perikanan hiliran, termasuk memproses dan mengeluarkan
produk makanan berasaskan ikan siap untuk dihidang.
Pusat berkenaan juga akan memantau kaedah pemprosesan, kualiti, standard,
pembungkusan makanan serta jenama, bagi menembusi pasaran baru, kata sekretariat
ECER itu.
Ia akan bertindak sebagai pusat akreditasi bagi Amalan Pengilangan Baik (GMP), halal
dan pensijilan Analisis Titik Berbahaya dan Kawalan Kritikal (HACCP).
Pusat di Kuala Besar akan memberi tumpuan terhadap serunding ikan, keropok ikan bilis
dan produk berasaskan ikan, manakala Kuala Besut bakal menjadi pusat keropok lekor
dan isi ikan cincang (otoshimi).
Sebelum ini, proses hiliran ikan di ECER adalah terhad, dengan hampir 78 peratus
tangkapan dijual segar, kebanyakannya ke pasaran luar.
Hasil nilai tambah yang diperoleh sangat kecil meskipun Pantai Timur merupakan antara
pengeluar terbesar ikan.
Ketua Pengarah LKIM Mustafa Ahmad berkata LKIM diberi tanggungjawab untuk
mengurus dan memantau 13 kompleks pendaratan ikan di ECER — tiga di Kelantan,
empat di Pahang dan enam di Terengganu — dengan jumlah kapasiti 138,000 tan
metrik.
Ia dijangka meningkat sebanyak 38,000 tan metrik lagi dengan siapnya pusat
pendaratan ikan Tok Bali, katanya.
Mustafa berkata kompleks pendaratan ikan merupakan sebahagian daripada pendekatan
pelbagai langkah LKIM.
“LKIM juga menggalakkan dan meningkatkan penggunaan karton ikan berpenebat untuk
pasaran dometik dan eksport bagi memastikan kesegaran dan kebersihan ikan bagi
memenuhi standarda natarabangsa yang ketat,” katanya.
— Bernama (Ekonomi)