8/6/2009 — Berita Harian
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merancang mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang kedua untuk memastikan pembangunan bersepadu di seluruh wilayah berkenaan.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John, berkata antara kawasan yang sedang dikaji bagi dijadikan SEZ kedua itu adalah sekitar Tok Bali dan Besut serta kawasan berhampiran di sepanjang sempadan Kelantan dan Terengganu.
Dalam temu bual dengan Berita Harian dan Business Times, beliau berkata langkah kerajaan mewujudkan SEZ pertama yang meliputi kawasan dari Kertih dan Chukai di Terengganu sehingga ke Bandar Pelabuhan Kuantan, Kuantan, Gambang dan Pekan di Pahang akan menyediakan rangsangan kukuh bagi pelaburan di ECER.
Katanya, zon dengan tumpuan terhadap kegiatan berteknologi tinggi dan sektor perkhidmatan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu disasarkan menarik pelaburan berjumlah RM90 bilion menjelang 2020 dan mewujudkan 220,000 pekerjaan baru.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya, beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal telah diperkenalkan bagi meningkatkan lagi daya saing SEZ, di samping insentif yang dirangka khusus untuk pelabur yang layak.
“Bagi menyokong insentif itu pula, SEZ akan menyediakan prasarana moden serta institusi khusus untuk meningkatkan kepakaran dan kecekapan.
“Pemprosesan permohonan juga akan dipercepatkan menerusi pusat sehenti ECER yang diwujudkan di pejabat Majlis Pembangunan ECER, manakala projek prasarana pula direka bentuk supaya dapat mengurangkan jarak perjalanan ke pelabuhan, lapangan terbang atau lebuh raya kepada 45 minit,” katanya.
Jebasingam bagaimanapun menegaskan, langkah kerajaan mewujudkan SEZ tidak akan menjejaskan kemasukan pelaburan ke dalam kawasan lain dalam ECER.
Beliau berkata, ini kerana pelbagai projek dan inisiatif lain di bawah Pelan Induk ECER akan diteruskan mengikut perancangan.
“Walaupun tumpuan SEZ adalah dalam kegiatan pembuatan dan perindustrian, projek untuk kelompok pelancongan, pertanian dan pendidikan di luar SEZ akan terus tidak terganggu,” katanya.
Malah tegasnya, projek berkenaan akan bertindak sebagai sumber pembekalan bahan mentah untuk menyokong pembangunan pusat pungutan, pemprosesan dan penggalakkan (PPC) bagi industri berasaskan pertanian dan pengeluaran produk untuk tujuan eksport dan pasaran tempatan.
Kegiatan di SEZ juga, katanya, tidak akan menggantikan kegiatan pertanian tetapi ia akan menggalakkan lagi sektor itu dan ia juga akan membuka peluang baru kepada petani menerusi kontrak pembekalan, serta daya usaha pemasaran, penjenamaan dan pembungkusan.
Beliau turut menegaskan bahawa tanpa SEZ, sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Induk ECER adalah sukar untuk dicapai berikutan kelembapan ekonomi global yang tidak dijangkakan.