ECER sasar pelaburan domestik, antarabangsa

1/2/2010 — Berita Harian
WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) meletak sasaran membawa lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa pada 2010 ini dan meningkatkan pembabitan pihak swasta di wilayah berkenaan.
Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, berkata buat masa ini ECER telah menarik pelaburan berjumlah RM26 bilion dalam bentuk penyataan minat dan komited pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing.
Beliau berkata, mendahului usaha untuk mendapatkan pelaburan itu ialah Zon Ekonomi Khas (SEZ) ECER, iaitu zon pembangunan integrasi merentasi Kertih, Chukai, Bandar Pelabuhan Kuantan, Kuantan, Gambang hingga Pekan dan Tanjung Agas di selatan.
“Ada beberapa projek sedia ada di Zon Ekonomi Khas (SEZ) ECER dianggap pelabur berupaya memberi pulangan tinggi dan selamat seperti taman plastik dan polimer pertama bersepadu di Malaysia, Taman Polimer Kertih (KPP) yang telah sedia beroperasi dalam kawasan seluas 140 hektar.
“Dibina bagi mempromosikan konsep ‘plug-and-play’, KPP menggunakan sepenuhnya potensi sinergi hasil integrasi dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC) di Terengganu yang terletak berhampiran,” katanya.
Jebasingam berkata, taman itu dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 2015 dan berupaya menarik pelaburan sebanyak RM2 bilion serta mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan.
Setakat ini, katanya taman berkenaan telah menerima komitmen pelaburan lebih RM565 juta.
Beliau berkata, satu lagi kawasan tumpuan ECER adalah Taman Industri Automotif Pekan yang mempunyai perancangan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur dan landskap serta pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CMC) pada tahun 2010.
“Keseluruhannya, Taman Industri Automotif Pekan ini dijangka akan menjana pelaburan sebanyak RM4 bilion melalui empat fasa pembangunan dan mewujudkan sekurang-kurangnya 10,580 peluang pekerjaan,” katanya.
Katanya, pembinaan Taman Industri Halal Gambang dijangka bermula Mei tahun ini yang akan menempatkan industri makanan dan bukan makanan berlandaskan prinsip Syariah, selain menempatkan pusat inkubasi bagi pengusaha kecil dan mikro berasaskan makanan.
Jebasingam berkata, dengan pelaksanaan kerja pembinaan infrastruktur bagi Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjung Agas dijangka siap pada awal 2011, beberapa pelabur telah memeterai perjanjian pajakan dan persefahaman sementara menanti siapnya kerja pembinaan infrastruktur di taman berkenaan.
Selain itu, katanya pelbagai langkah sudah dilaksanakan bagi menarik pelabur dalam projek berdaya maju di luar Zon Ekonomi Khas (SEZ), yang akan bertindak sebagai pembekal stok suapan dan juga untuk menyokong projek di dalam SEZ, termasuk projek kelompok pelancongan dan pertanian.