ECER SEZ tarik pelaburan RM90 bilion

8/5/2009 — Harian Metro
Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) dijangka mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan dan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
ECER SEZ ialah zon ekonomi khas pertama di Malaysia yang bersepadu, dari Kertih, Terengganu ke Pekan, Pahang dengan insentif istimewa bagi menarik pelaburan dan memberi lebih tarikan kepada aktiviti ekonomi di kawasan tertentu.
“Projek di luar kawasan SEZ akan terus berjalan. Oleh sebab kawasan ini (ECER) sangat luas, ia memerlukan satu kawasan tumpuan,” katanya selepas melancarkan ECER SEZ serta projek Agropolitan ECER di Runchang, dekat Pekan, Pahang.
Beliau berkata, empat zon bebas akan diwujudkan di ECER SEZ bagi menggalakkan serta menumpukan rantaian antara kelompok industri yang akan memberikan impak yang signifikan terhadap ekonomi ECER – kelompok Pembuatan Bernilai Tinggi, Industri Asas Tani; Gas dan Petrokimia; Pelancongan/ Hartanah; Ilmu/Pendidikan dan ICT serta Logistik. – Bernama