ECER tapak pengeluaran stem cell

WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan menjadi tapak kemudahan pengeluaran
stem cell terbesar dunia dengan keputusan Pertubuhan Penyelidikan Bio-Cellular (BCRO)
yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) untuk menubuhkan operasinya di Pahang.
Memorandum persefahaman (MoU) bagi penubuhan kemudahan itu akan dimeterai oleh
BCRO Stem Cell Xenotransplantation Sdn Bhd dengan Pahang Technology Resources Sdn
Bhd pada Isnin ini.
Ia akan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sekretariat ECER dalam kenyataannya di Kuala Lumpur semalam, berkata BCRO, firma
penyelidik terkenal dalam pemindahan stem cell sejak hampir tiga dekad lalu akan akan
menubuhkan kilang pengeluaran utamanya di daerah Janda Baik, Pahang.
Kilang sedia ada BCRO ialah di Slovakia.
“BCRO mensasarkan kira-kira RM280 juta untuk tempoh tiga tahun bagi memindahkan
kepakaran teknikal oleh saintisnya daripada AS dan Kesatuan Eropah,” kata kenyataan
ECER itu.
BCRO ketika ini membekalkan pemindahan stem cell kepada doktor dan hospital di
Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Afrika, Asia dan Australia.
Ia sudah merawat 200 pesakit di Asia Tenggara, Hong Kong dan Australia, termasuk
kira-kira 100 kes di Malaysia sejak dua setengah tahun lalu.
Pemindahan stem cell mula diperkenalkan dalam amalan merawat pesakit pada 1931
dan sejak itu sudah menggantikan pemindahan organ.
Ia berpotensi mendominasi pasaran perubatan pada abad ke-21 ini.
Rawatan Stem cell mempunyai potensi untuk mengubah keadaan penyakit manusia,
sekali gus mengurangkan kesengsaraan.
Penyelidik perubatan menjangkakan stem cells mampu antara lain merawat penyakit
kanser, diabetes jenis pertama, kecederaan tulang belakang dan juga kerosakan otot.
Mengikut kenyataan ECER itu, dengan penubuhan kemudahan BCRO di Malaysia, lebih
ramai rakyat Malaysia mampu membiayai kos untuk rawatan stem cell itu.
— Berita Harian (Ekonomi)