ECER tarik pelaburan RM36.5 bilion

12/17/2010 — Utusan Malaysia
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga kini berjaya menarik pelaburan sebanyak RM36.5 bilion dari dalam dan luar negara sejak ia ditubuhkan pada 2007, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Daripada jumlah itu, RM15.3 bilion daripadanya telah pun diterima, kata beliau.
Pelaburan yang diterima merangkumi 158 projek dan telah mewujudkan 17,500 peluang pekerjaan baru untuk para penduduk ECER dalam tempoh tersebut.
Para pelabur termasuk Eco Tower Sdn. Bhd. dari Singapura dan Oilfields Supply Centre Ltd. dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta syarikat tempatan seperti Sentoria Themeparks and Resorts Sdn. Bhd. dan Hi Essence Sdn. Bhd.
“Jumlah pelaburan yang memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan para pelabur terhadap ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan yang mempunyai kelainan, dinamik dan kompetitif,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat majlis yang ketiga untuk tahun 2010 bagi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini hari ini.
“Saya amat berbesar hati mengumumkan bahawa wilayah ini kini bersedia untuk menerima kedatangan lebih ramai lagi pelabur, baik dari Malaysia mahupun antarabangsa. Kebanyakan infrastruktur asas di ECER telah pun siap dibina dan wilayah ini turut menawarkan pakej insentif fiskal dan bukan fiskal yang kompetitif kepada para pelabur,” tambah beliau.
Najib berkata, beliau sangat berpuas hati dengan usaha promosi pelaburan secara berfokus yang dijalankan oleh ECERDC pada tahun ini, yang merupakan sebahagian daripada arah tuju strategik majlis tersebut bagi 2010.
Perdana Menteri juga amat gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh ECER dari segi pelaksanaan projek, yang mengambil kira keseluruhan rantaian nilai dan integrasi rangkaian bekalan dan bermatlamat untuk menjana pertumbuhan ekonomi di wilayah ini.
Pembangunan di ECER sedang berjalan lancar mengikut jadual, dengan kesemua projek yang diluluskan oleh kerajaan untuk wilayah tersebut di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.