5/2/2009 — Utusan Malaysia
Tidak dinafikan Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias krisis ekonomi global. Menurut Bank Dunia, ekonomi negara akan menguncup 1.0 peratus ketika pertumbuhan ekonomi negara-negara di Asia Timur juga akan perlahan dengan berlakunya penurunan permintaan eksport negara-negara maju.
Tetapi, di sebalik kelembapan ekonomi global dan penguncupan ekonomi Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilihat terus rancak dengan pelaksanaan pelan pembangunannya.
Hakikat itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan ECER, Datuk Issace John kepada wartawan Utusan Malaysia, SARAH NADLIM ROHIM. Issace John bertanggungjawab memastikan wilayah berkenaan yang mewakili 51 peratus Semenanjung Malaysia dimajukan dengan lebih baik dan berkesan. Dalam wawancara itu, beliau memperkatakan tentang perkembangan ECER dan perancangannya untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan dalam keadaan ekonomi mencabar ini.
Negeri-negeri ECER adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor. ECER menyasarkan 227 projek termasuk pelancongan, pertanian, pembuatan, minyak dan gas serta pendidikan bagi tempoh 12 tahun akan datang dengan pelaburan bernilai RM112 bilion.
Berikut adalah temubual itu:
UTUSAN: Apakah perkembangan ECER sejak penubuhan Majlis Pembangunan ECER pada Jun tahun lalu?
ISSACE JOHN: Sejumlah 107 projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), 48 dimulakan pada 2008. Manakala 29 projek akan bermula pada pertengahan tahun ini, manakala 22 projek lagi akan bermula sebelum akhir tahun ini. Baki lapan projek terakhir akan dilaksanakan pada awal tahun depan. Apabila mula dilaksanakan menjelang 2020, projek- projek ini dijangka akan menjana 560,000 pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dalam ECER sebanyak RM7,650.
ECER telah memperuntukkan dana di bawah pelan rangsangan untuk menyediakan latihan semula kepada penganggur dan mereka yang dibuang kerja ekoran terkena kesan kelembapan ekonomi global. Ia akan dilaksanakan pada Mei tahun ini. Kami akan membangunkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenalpasti dan membantu perniagaan kecil yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Apakah lagi usaha yang dilakukan?
Majlis Pembangunan ECER atau ECERDC telah menggerakkan pembangunan industri halal melalui perjanjian dengan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) untuk memulakan kesemua projek di bawah tiga Pusat Kecemerlangan UDM, termasuk Pusat Serantau bagi Produk Halal, Pusat Bioteknologi dan Produk Herba serta Pusat Kerjasama Industri dan Akademik.
Perjanjian itu membantu ECER membentuk persaingan dalam industri halal melalui pembangunan pusat serantau untuk produk halal, bioteknologi dan produk herba.
ECER yang kaya dengan pelbagai hidupan (biodiversity) dan mempunyai perubatan herba tradisional yang berkualiti tinggi, disasar mengeluarkan 625,000 tan herba menjelang 2020, meningkat lima kali ganda berbanding pada tahun 2005.
Pelbagai aktiviti dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup lebih 22,500 nelayan, termasuk menaik taraf peralatan menangkap ikan dan sokongan infrastruktur serta pembangunan keusahawanan yang dijangka dilaksanakan pada bulan ini.
Bagi membantu golongan wanita, program Pejabat Kecil di Rumah (SOHO) akan menumpukan kepada wanita atau suri rumah yang tidak boleh keluar bekerja tetapi mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
Pada tahun ini, kira-kira 100 peserta dijangka mendapat manfaat daripada program SOHO untuk meningkatkan pendapatan mereka sehingga RM1,500 sebulan. Projek ini juga akan disediakan dengan sokongan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Kami juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mengendalikan seminar dan latihan menyokong program kerajaan sedia ada bagi menggalakkan penyertaan bumiputera.
Inisiatif yang disediakan pada tahun ini termasuk kerjasama dengan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) untuk memperkenalkan program pembangunan francais terutama bagi kumpulan sasaran iaitu siswazah, belia dan wanita. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 200 francaisi dalam ECER menjelang 2010.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp