2/16/2009 — BERNAMA
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) bagi membangunkan produk halal di rantau ini.
Ketua Eksekutif ECER Datuk Jebasingam Issace John berkata perjanjian itu akan mengukuhkan komitmen ECER untuk melaksanakan semua projek yang dikenal pasti di bawah ketiga-tiga pusat kecemerlangan UDM.
Pusat itu ialah Pusat Serantau untuk Produk Halal, Pusat Teknologi Bio dan Produk Herba serta Pusat Kerjasama Akademi Industri (CIAC).
“Perjanjian itu akan membantu ECER dalam mengenal pasti kelebihan bersaing dalam industri makanan halal melalui pembangunan pusat serantau untuk produk halal dan pusat untuk produk teknologi bio dan herba,” katanya pada majlis MoU antara UDM dan ECER di sini, Isnin.
ECER diwakili Jebasingam manakala Naib Canselor Datuk Prof Dr Alias Daud mewakili universiti itu. Majlis itu disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.
Jebasingam berkata di bawah pelan induk ECER, UDM akan menjadi pusat kecemerlangan untuk pembangunan produk halal di rantau ini.
“Inisiatif pertama ialah bagi memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan UDM sebagai pusat serantau untuk produk halal dan pusat produk teknologi bio dan herba kepada firma-firma kecil dan sederhana,” katanya.
Sementara itu, Dr Alias berkata melalui Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, UDM telah mendapat pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi merealisasikan pusat bioteknologi dan penyelidikan herba dan pusat produk halal wilayah ECER.
“UDM mengamalkan prinsip pengembangan universiti. Dasar ini membolehkan masyarakat akses kepada universiti untuk menyelesaikan masalah mereka khususnya dalam bidang tanaman, ternakan, ekonomi rumah tangga dan belia,” katanya.