ECERDC Jalin Kerjasama Dengan PNS Lahirkan Usahawan

3/11/2009 — BERNAMA
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kini menjalin kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) bagi memperkenalkan program pembangunan francais di wilayah berkenaan.
Pengerusi PNS, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kerjasama tersebut akan membantu ECERDC melahirkan lebih ramai pengusaha francais seiring dengan sasaran dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi mewujudkan 1,000 francais baharu.
“Tahun ini, kita akan wujudkan seramai 200 francaisor dalam pelbagai bidang terutama makanan dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) program pembangunan francais ECERDC-PNS, di sini, Rabu.
ECERDC diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John manakala PNS diwakili Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Shahabudin.
Awang Adek berkata MoU tersebut menggariskan peranan ECERDC sebagai penyelaras utama skim itu, PNS sebagai penyedia modal dan pelaksana utama manakala francaisor menyediakan penjenamaan serta tanda dagangan.
Beliau berkata ECERDC-PNS mungkin mengembangkan kursus seumpama itu ke wilayah-wilayah lain supaya dapat melahirkan lebih ramai francaisor di negara ini pada masa akan datang.
Katanya PNS akan membantu peniaga-peniaga francais yang baharu dengan memberi pinjaman sehingga 90 peratus sementara ECERDC akan memberikan geran sebanyak 10 peratus.
“Peruntukan…kita tidak ada masalah, tidak ada had kerana yang pentingnya mereka menunjukkan potensi untuk berjaya dalam industri francais,” katanya.
Beliau berkata program francais itu adalah bertepatan pada ketika ini kerana ia bukan sahaja menjana pendapatan tambahan kepada francaisor dan francaisi malah mempunyai kesan berganda kepada ekonomi negara.
Kira-kira 100 peserta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu menghadiri program pembangunan itu.