ECERDC perlu perluaskan program latihan di Pahang

5/28/2012 — Utusan Malaysia

KUALA LIPIS 27 Mei – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) perlu memperluaskan lagi program latihan di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan usaha ECERDC itu menunjukkan tanda positif dalam meningkatkan taraf hidup usahawan wanita di luar bandar.
”Program latihan ini dilihat mampu mendedahkan suri rumah tangga dan belia dengan kemahiran perniagaan supaya mereka yang di luar bandar ini dapat menambah pendapatan.
“Sehingga ini, ECERDC sudah melatih seramai 500 orang pengusaha industri kecil termasuk Orang Asli dalam bidang makanan khususnya pengeluaran kuih dan kemahiran vokasional berasaskan jahitan, dandanan, solekan dan gunting rambut,” katanya kepada pemberita sempena program ECERDC Lipis di Kuala Koyan, dekat sini baru-baru ini.