11/4/2009 — Utusan Malaysia
Eco Tower Sdn. Bhd., (Eco Tower) akan melabur RM272 juta (AS$80 juta) bagi membina kilang pengeluaran menara angin untuk dieksport ke luar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Lim berkata, kilang seluas 21 hektar di Gebeng, Pahang mampu mengeluarkan 800 menara angin setahun untuk dipasarkan ke Amerika Syarikat, Eropah dan China.
Katanya, menara angin itu dikeluarkan bagi membangunkan teknologi tenaga yang diperbaharui dan merupakan potensi baru untuk pelaburan global pada masa depan.
“Bagi fasa pertama, sejumlah RM102 juta akan dilaburkan untuk pembangunan kilang di mana ia dijangka beroperasi penghujung tahun 2010 manakala selebihnya akan bermula selepas fasa pertama selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perjanjian jual beli tanah antara Eco Tower dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Taman Perindustrian Gebeng fasa III di sini hari ini.
PKNP diwakili oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Menurut Lim, Eco Tower merupakan sebuah syarikat persendirian yang melabur di Gebeng bagi membangunkan teknologi itu dengan mendapat manfaat serta faedah hasil dari kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang.
Katanya, dengan pembukaan kilang di situ pihaknya dijangka dapat memanfaatkan keseluruhan jentera pengangkutan yang terdapat di Pahang iaitu Pelabuhan Pahang dan untuk mengeksport produknya ke China.
Bagaimanapun katanya, beliau enggan mendedahkan pelanggan-pelanggan berpotensi di mana telah memeterai perjanjian dengan pihaknya.
Lim berkata, sebagai permulaan operasi pada tahun 2010, Eco Tower dijangka memperoleh pendapatan kira-kira RM125 juta sebelum pertumbuhan sebanyak dua angka untuk tahun-tahun berikutnya.
Sementara itu, Adnan berkata, pelaburan Eco Tower merupakan pelaburan asing langsung (FDI) pertama ke Pahang selepas krisis kewangan global baru-baru ini.
Beliau berkata, Pahang akan menarik kedatangan lebih ramai pelabur asing selain membanyakkan peluang kerja untuk penduduk tempatan melalui apa yang ditawarkan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).