5/11/2012 — Utusan Malaysia
LIPIS 10 Mei – Program Empower yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di daerah Lipis berjaya melahirkan 15 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 5A ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Antara pelajar terbabit ialah Nur Amni Najihah Zainal Abidin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku yang memperoleh 10A; Kwong Sook Wei dari SMK Benta (9A 2B) dan Anizatun Faezah Muhd. Kasim dari SMK Orang Kaya Haji (7A 1B).
Semua pelajar berkenaan menerima anugerah dan sijil daripada Pegawai Pelajaran Lipis, Misnan Mohd. Damin pada satu majlis khas di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata, sejak program itu dilancarkan pada Mac tahun lalu, ia menunjukkan keputusan memberangsangkan daripada segi pencapaian akademik peserta serta mewujudkan peluang keusahawanan kepada penduduk di daerah ini.
“Ia selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang berhasrat melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, Empower Lipis terdiri daripada program latihan akademik untuk para pelajar yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM.
Selain itu tambahnya, program latihan kemahiran dan keusahawanan juga diwujudkan untuk penduduk tempatan yang sedang mencari pekerjaan atau merancang membuka perniagaan sendiri dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.
Jelasnya, setakat ini seramai 900 peserta perintis tempatan terdiri daripada 400 pelajar untuk latihan akademik dan 500 orang tempatan terlibat dalam latihan kemahiran keusahawanan.
“Para pelajar dipilih di kalangan mereka yang mempunyai tahap pendidikan sederhana dan diberi kelas tuisyen serta bimbingan motivasi oleh ECERDC.
“Daripada 400 peserta program tersebut, seramai 120 pelajar lulus peperiksaan SPM yang mana kira-kira 30 daripada mereka lulus dalam semua mata pelajaran dengan memperoleh keputusan minimum 4A,” katanya.